Jom Rebut 7 Amalan Sunnah Ini Pada Bulan Ramadhan Bagi Menghidupkan Lagi Keimanan Diri

Semua tahu bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan. Selain berpuasa, ada banyak lagi amalan sunnah Rasulullah SAW pada bulan Ramdhan yang dapat menghidupkan lagi keimanan kita sebagai hamba.

Rasulullah SAW merupakan penghulu manusia dan manusia contoh yang wajib kita jadikan idola dan ikutan. Baginda telah menunjukkan contoh yang sempurna dengan amalan-amalan dan kata-kata baginda sejak dari dulu lagi.

Sempena Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi, perkongsian ini adalah berkaitan dengan 7 amalan sunnah yang boleh kita ikuti sepanjang Ramadhan.

7 AMALAN SUNNAH DI BULAN RAMADHAN

1. Bersedekah & Memberi Makan Orang Untuk Berbuka

Nabi SAW adalah seorang insan yang paling pemurah, malah Baginda adalah lebih pemurah sewaktu bulan Ramadhan. Dalam salah satu hadis ada menyebutkan tentang keutamaan memberi makan untuk orang berbuka.

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu” (HR Nasa’i dan Tirmidzi)

2. Mempercepatkan Berbuka Apabila Masuk Waktu

Ini tentunya salah satu sunnah yang mudah untuk kita lakukan. Jangan lupa meniatkan menyegerakan berbuka kerana ianya adalah salah satu amalan sunnah.

Seperti sabda Baginda melalui sebuah hadis:

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Menurut riwayat, Rasulullah akan berbuka puasa dengan beberapa butir kurma muda (ruthb atau kurma basah) sebelum melakukan solat (Maghrib). Jika tidak menemukan beberapa kurma muda, maka Baginda berbuka dengan beberapa butir kurma matang (tamr atau kurma kering). Jika tidak menemukannya juga, maka Baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

3. Bersahur

Bersahur bukan saja membantu kita mengisi tenaga untuk persediaan berpuasa, tetapi ia juga adalah suatu amalan yang amat dituntut dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:

“Bersahurlah kalian, karena pada sahur itu ada keberkatan.” (HR. Bukhari)

Selain bangun sahur untuk makan, elok juga mengawalkannya sedikit supaya dapat melakukan solat sunat tahajud dan membaca Al-Quran.

4. Memperbanyakkan Berdoa

Menurut sumber oleh Mufti Wilayah Persekutuan, doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah kerana orang yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa apabila mereka berpuasa kerana Allah.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak”. (HR Ibn Majah)

Untuk itu, rebutlah kesempatan sepanjang bulan Ramadhan ini untuk mengecapi tawaran yang amat berharga daripada Allah. Berikut adalah doa yang amat dianjurkan, terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadhan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau Mengasihi untuk Mengampun, Maka ampunilah diriku.”

5. Saling Mengingatkan Kepada Kebaikan

Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi juga mengawal nafsu daripada melakukan perkara keburukan. Dengan adanya media sosial pada hari ini, kita cenderung menyebarkan berita yang diketahui kebenarannya.

“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan mengamalkannya maka Allah sudah tidak lagi memerlukan dia meninggalkan makanan dan minumannya.” (HR Bukhari)

Maka, cuba jadikan bulan puasa ini sebagai titik tolak agar kita lebih berhati-hati dalam menekan butang share. Pilihlah konten yang baik dan bermanfaat untuk disebarkan kepada rakan-rakan anda kerana secara tidak langsung kita juga dapat saling mengingatkan antara satu sama lain.

6. Menahan Marah

“Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbuat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali).” (HR Bukhari)

Dari hadis ini kita juga dianjurkan agar seorang yang berpuasa sentiasa bersabar dengan menjaga emosi dan menahan diri daripada menghamburkan kata-kata cacian.

7. Menghidupkan 2/3 Malam

Seperti yang kita tahu, dalam bulan Ramadhan inilah Allah menyembunyikan malam Lailatul Qadr, di mana segala amalan akan dilipatgandakan pahalanya sebanyak 1000 bulan.

Daripada ‘Aisyah RA, beliau menyatakan bahawa apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. (Sahih al-Bukhari).

Jika sebelum ini kita sukar untuk bangun malam dan beriktikaf, inilah waktu yang paling tepat untuk memulakannya walaupun dengan sekecil-kecil amalan.

Walaupun anda lihat amalan ini seperti mudah dan biasa, amalan sunnah ini tidak patut dipandang remeh. Lakukanlah sekecil-kecil sunnah kerana ia tetap akan mendapat kebaikan di sisi Allah.

Baginda bersabda:

“Barang siapa mencintai sunnahku, bererti dia mencintai aku dan orang-orang yang mencintaiku kelak akan masuk syurga bersama-sama aku,”

Selamat beramal!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma