Panduan Mohon Jawatan Tetap Guru/ Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Melalui MySPP
Berminat dengan kerjaya seorang Guru? Sekiranya anda merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda, anda boleh mohon jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Permohonan bagi jawatan di bawah SPP boleh dibuat secara online melalui portal khas yang disediakan iaitu MySPP. Untuk makluman anda, permohonan jawatan melalui MySPP adalah dibuka sepanjang masa. Ini bermakna, anda boleh mohon bila-bila masa sahaja dan tunggu iklan pengambilan dimaklumkan.
Dapatkan maklumat lanjut berkenaan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan cara buat permohonan jawatan di perkongsian bawah.
Baca juga: Maksud Pengambilan Khas Guru Secara One-Off & Syarat Kelayakan Pemohon
Isi Kandungan
BIDANG TUGAS
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bertanggungjawab melaksanakan tugas dengan profesional meliputi aspek-aspek dan aktiviti-aktiviti seperti berikut:
- pengurusan pelajar;
- pengurusan organisasi;
- pengurusan dasar;
- penyelidikan, pengkomersilan dan khidmat nasihat;
- jaringan dan kolaborasi; dan
- pengurusan sumber manusia.
SYARAT KELAYAKAN
Calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut:
- Warganegara Malaysia
- Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan;
- Kepujian Bahasa Malaysia/ Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.
- Kelulusan Diploma atau Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkaitan
- Syarat kelayakan terperinci setiap bidang boleh disemak DI SINI
Graduan Pendidikan yang TIDAK LAYAK MEMOHON adalah seperti berikut:
- Pelajar Tajaan KPM
- Guru Interim
- Guru Kontrak (Lantikan SPP)
- Pernah ditamatkan atau dibuang kerja dari Perkhidmatan Awam
- Seorang bankrap
- Telah tamat pengajian tetapi belum memperolehi keputusan Senat Universiti
JADUAL GAJI
Berikut adalah jadual gaji minimum – maksimum bagi jawatan sebagai Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi:
CARA MEMOHON
Graduan Pendidikan yang memenuhi syarat-syarat lantikan dikehendaki memohon atau mengemas kini maklumat permohonan melalui Sistem Pengambilan Anggota Perkhidmatan Pendidikan (mySPP) (https://myspp.spp.gov.my/) sebelum atau pada 27 Mei 2022 (Jumaat).
Bagi permohonan kali pertama di portal berikut, pemohon perlu DAFTAR MySPP terlebih dahulu sebelum membuat pengisian maklumat yang diperlukan dalam sistem.
Dah daftar, masukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan, klik LOG MASUK.
Lengkapkan Maklumat Pemohon, Maklumat Akademik, Maklumat Kokurikulum dan Maklumat Tambahan.
Dah selesai lengkapkan maklumat, pergi ke bahagian JAWATAN DIMOHON. Masukkan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di bahagian Jawatan yang dimohon.
Pilih pusat temuduga/ Ujian Khas dan klik SIMPAN
Sahkan jawatan yang dimohon. Klik saya setuju dan HANTAR
Permohonan anda telah berjaya dihantar! Slip Perakuan Permohonan Jawatan SPP akan dipaparkan. Cetak untuk rujukan akan datang.
Pemohon disarankan untuk mengemaskini maklumat-maklumat terkini yang diperlukan dalam sistem. Hanya calon yang disenarai pendek sahaja akan dipanggil temuduga.
KESILAPAN MAKLUMAT SEMASA PENDAFTARAN
Jika anda melakukan kesilapan maklumat semasa pendaftaran, anda boleh memperbetulkan kesilapan tersebut dengan log masuk ke mySPP dan mengemas kini maklumat yang silap di modul Maklumat Pemohon.
Anda boleh mengemas kini maklumat pada bila-bila masa. Namun begitu, setiap kali perubahan yang dilakukan, anda perlu menghantar Pengakuan Pemohon semula untuk memastikan maklumat anda dikemas kini.
TERLUPA KATA LALUAN
Sekiranya terlupa kata laluan, sila klik pautan LUPA KATA LALUAN dan anda boleh
menetapkan semula kata laluan dengan menggunakan dua pilihan iaitu:-
(a) Nama Ibu dan Negeri Kelahiran Calon (Sewaktu Pendaftaran); atau
(b) Alamat Pada Kad Pengenalan.
Bagi pilihan (a), anda diminta memasukkan No. Kad Pengenalan dan Nama Penuh (seperti maklumat dalam Kad Pengenalan). Masukkan nama pertama ibu dan negeri kelahiran anda. Kemudian masukkan kata laluan baharu (minima 8 aksara), sahkan kata laluan, masukkan Kod Keselamatan (case sensitive) dan klik HANTAR.
Perhatian: Anda perlu mengingati nama pertama ibu (first name tanpa last name) dan negeri kelahiran sama seperti yang didaftarkan semasa pendaftaran MyID.
Bagi pilihan (b), anda diminta masukkan alamat anda sama seperti maklumat dalam Kad
Pengenalan. Pastikan semua medan bertanda * diisi. Selepas semua medan diisi, klik butang HANTAR.
Anda boleh log masuk terus ke mySPP sekiranya reset kata laluan berjaya.
STATUS PERMOHONAN TERDAHULU
Sekiranya anda membuat permohonan jawatan baharu, permohonan yang terdahulu akan terbatal. Namun begitu, sekiranya urusan permohonan terdahulu sedang diproses, urusan tersebut tetap akan diteruskan.
Permohonan yang terdahulu masih sah jika dalam tempoh sah laku pendaftaran. Sah laku pendaftaran permohonan adalah selama satu (1) tahun dan sekiranya tempoh sah laku telah tamat, anda perlu mengemas kini semula dan menghantar pengakuan pemohon sekali lagi.
Anda tidak perlu melanjutkan tempoh permohonan jika tempoh sah laku belum luput kecuali jika anda mengemas kini sebarang maklumat, anda perlu klik simpan dan hantar perakuan semula supaya perubahan tersebut akan diproses.
Jika anda menghadapi masalah lain berkaitan sistem mySPP, anda boleh salurkan pertanyaan atau aduan anda kepada Hotline mySPP atau SISPAA-SPP di talian berikut:
- Talian Hotline mySPP : 03-8091 4019 / 4020 / 4021 / 4022
- Sistem Pengurusan Aduan Awam, SPP (SISPAA-SPP)