“Sanggupkah Jika Dihantar Ke Pedalaman?” Ini Tips Jawab Soalan “Tricky” Ini
Jika anda perasan, kebanyakan calon yang pernah menghadiri temuduga bagi jawatan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), pasti akan kongsikan antara soalan yang kerap ditanya adalah “adakah anda sanggup bekerja di kawasan pedalaman?”. Famous juga yang soalan ini dalam temuduga kerajaan! Calon yang bakal ditemuduga, pastikan anda ambil perhatian ya.
Jangan jawab terlalu ringkas sekiranya ditanya soalan ini. Calon yang hanya sekadar beri jawapan “Ya” adalah calon yang tidak bersedia. Pastikan anda beri penjelasan kenapa anda katakan anda sanggup untuk bekerja di kawasan pedalaman.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui tips menjawab soalan sekiranya ditanya kesanggupan bekerja di kawasan pedalaman.
Isi Kandungan
PANDUAN JAWAB SOALAN
Sekiranya anda ditanya salah satu soalan di atas atau sebarang soalan berkaitan kesanggupan untuk anda bekerja jauh dari rumah, pastikan anda ikut panduan berikut:
- Sentiasa jawab YA dan SANGGUP sekiranya ditempatkan jauh daripada rumah
- Meskipun anda rasa tidak sanggup, pastikan anda jawab YA untuk lulus temuduga
- Jangan sesekali jawab TIDAK kerana itu menunjukkan dari awal bahawa anda seorang yang tidak sanggup berkorban untuk negara
- Jangan beri jawapan yang terlalu ringkas (sekadar ya/tidak)
- Pastikan anda sertakan bersama penjelasan kepada anda sanggup atau tidak
TIPS MENJAWAB SOALAN
Untuk menjawab soalan “Sanggupkah Anda Ditempatkan Di Kawasan Pedalaman?”, terdapat 5 tips berguna yang boleh anda amalkan ketika menjawab soalan ini iaitu:
1. Nyatakan Minat Terhadap Jawatan
Contoh jawapan: “Terima kasih Tuan/Puan atas soalan ini. Untuk pengetahuan Tuan/Puan, saya sangat berminat dengan jawatan ini dan saya sanggup ditempatkan di mana-mana sahaja termasuk ke kawasan pedalaman.”
Jawab dengan jujur dan ikhlas. Jangan beri jawapan yang tidak jujur dan sanggup berbohong semata-mata untuk mendapat pekerjaan serta gaji setiap bulan sahaja.
Jika tidak berminat, jangan mohon jawatan ini dan berikan peluang kepada orang lain yang lebih layak dan berminat untuk mengisi kekosongan ini.
2. Nyatakan Kemampuan Anda
Adakah anda mampu untuk bertugas dalam kawasan pedalaman serta berhijrah jauh daripada tempat anda sekarang? Jika anda minat, anda rela ditempatkan di mana-mana sahaja kerana bekerja dalam sektor awam, anda tidak akan ditempatkan di satu-satu tempat sahaja.
Buktikan anda boleh berdikari dan bekerja jauh daripada semua orang. Nyatakan anda pernah belajar di negeri Sarawak, Sabah atau di luar negara dan mampu untuk uruskan sesuatu tugasan serta secara berkumpulan. Jangan lupa sertakan contoh atau pencapaian anda.
3. Nyatakan Perancangan Anda
Jika ditempatkan di Jabatan Pengangkutan Jalan, Kapit, Sarawak, apakah perancangan anda nanti? Ia bertujuan untuk meyakinkan panel penemuduga bahawa anda sanggup dan mampu untuk bertugas di kawasan pedalaman.
Contoh jawapan, “Sekiranya saya dihantar untuk bekerja di kawasan pedalaman, saya boleh berjauhan dengan keluarga untuk memberikan komitmen kepada pekerjaan saya. Selepas stabil dalam setahun dua, saya akan membawa suami/isteri/anak-anak untuk tinggal bersama.”
4. Jawab Dengan Yakin & Tenang
Jawab setiap soalan dengan tenang dan yakin kerana anda mampu untuk bekerja di mana-mana sahaja anda ditempatkan. Ini kerana anda sudah mempunyai perancangan dan kemampuan untuk bekerja di kawasan pedalaman. Oleh sebab itu, anda perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap jawatan yang dipohon.
5. Buat Latihan Simulasi
Jangan lupa buat latihan simulasi sebelum anda hadir ke temuduga yang sebenar.
Lakukan berkali-kali sehingga anda yakin untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh panel penemuduga nanti. Rakam dalam bentuk video agar anda boleh lihat semula dan buat penambahbaikan.
Apa terjadi sekalipun, jangan lupa berdoa agar segala urusan temuduga anda dipermudahkan.