i-Lindung KWSP: Pelan Perlindungan Diri Mampu Milik Buat Ahli Dengan Pembayaran Melalui Akaun 2 

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk membolehkan ahli membeli produk insurans dan takaful menggunakan Akaun 2.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, platform yang diperkenalkan KWSP itu dapat membantu ahli mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan. Menurutnya, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan dan tidak akan membebankan ahli menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful yang disediakan dalam platform KWSP.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut i-Lindungan KWSP dan panduan membeli produk insurans dan takaful menggunakan Akaun 2.

i-LINDUNG KWSP

i-Lindung adalah sebuah platform layan diri di dalam i-Akaun (Ahli) yang digunakan untuk tujuan pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA). Melalui PPA, ahli dibenarkan membeli produk insurans/ takaful daripada Syarikat Insurans & Takaful (SIT) yang diluluskan oleh KWSP.

Ini adalah untuk menyediakan pilihan kepada ahli dalam mendapatkan perlindungan bagi membantu ahli berdepan dengan tempoh sukar atau kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan.

JENIS PERLINDUNGAN YANG DITAWARKAN

Antara perlindungan yang ditawarkan adalah:

  • Perlindungan Hayat
  • Perlindungan Penyakit Kritikal

CIRI-CIRI UTAMA I-LINDUNG

Berikut adalah ciri-ciri utama i-Lindung:

  • Proses yang lancar
    Cara yang mudah untuk mendapatkan produk perlindungan tanpa memerlukan pemeriksaan kesihatan
  • Sebut harga serta-merta
    Dapatkan sebut harga bagi setiap produk yang ditawarkan secara dalam talian
  • Pusat maklumat
    Kemudahan akses dan menganalisis semua maklumat produk yang ditawarkan sebelum membuat pilihan
  • Paparan keseluruhan
    Memaparkan maklumat berkaitan polisi/ sijil yang diberi secara keseluruhan
  • Bila-bila masa dan di mana sahaja
    Kelebihan untuk mendapatkan produk pada bila-bila masa dan di mana jua

SYARAT KELAYAKAN

Kelayakan ditetapkan bagi mendapatkan pelan perlindungan i-Lindungan yang ditawarkan adalah:

  • Warganegara Malaysia
  • Mempunyai baki yang mencukupi dalam Akaun 2 KWSP
  • Pengguna i-Akaun (Ahli)

Ahli berumur 55 tahun dan ke atas, boleh memilih untuk mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka dari Pengeluaran Umur 55/60 tahun (i-Lindung). Permohonan pengeluaran hanya boleh dibuat dalam talian melalui i-Akaun (Ahli).

CARA MEMBELI PELAN PERLINDUNGAN I-LINDUNG

Berikut adalah langkah membuat pembelian i-Lindung KWSP:

  1. Log masuk ke i-Akaun (Ahli)
  2. klik pada tab i-Lindung
  3. pilih produk yang ditawarkan oleh SIT
  4. lengkapkan maklumat di portal SIT
  5. kebenaran untuk potongan dari Akaun KWSP
  6. penerimaan penyata maklumat dari SIT

Perlindungan akan bermula pada hari polisi/sijil anda telah dikeluarkan oleh SIT. Polisi/sijil anda akan dihantar melalui e-mel oleh SIT dan juga boleh didapati dalam Pelan Perlindungan Saya di bawah i-Lindung.

Setelah permohonan diluluskan, pembayaran kepada SIT tidak akan dilakukan serta-merta dan mungkin memakan masa beberapa hari. Walau bagaimanapun, status polisi/sijil anda akan kekal aktif kecuali pembayaran ditolak. Sekiranya pembayaran ditolak, polisi/sijil yang dibeli akan dibatalkan oleh SIT.

Anda dinasihatkan untuk menyemak status permohonan pembayaran anda di bahagian Sejarah Transaksi di i-Lindung untuk memastikan tiada komplikasi terhadap status polisi/sijil anda.

Untuk maklumat lanjut berkenaan i-Lindung KWSP, anda boleh terus rujuk di laman web rasmi https://www.kwsp.gov.my/ms/member/i-lindung.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma