Belanjawan 2021: Senarai Kenaikan Had Pelepasan Cukai Yang Perlu Anda Tahu

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai pendapatan serta memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi individu. Menteri Kewangan telah memaklumkan rakyat Malaysia yang membayar cukai akan mendapat beberapa jenis kenaikan pelepasan cukai yang bakal memberi manfaat kepada semua.

Pelepasan cukai ini sangat berbaloi dan disambut baik oleh semua lapisan masyarakat terutamanya mereka yang menjelaskan bayaran cukai kepada LHDN setiap tahun.

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui had kenaikan pelepasan cukai seperti dalam pembentangan Belanjawan 2021.

PERLUASAN PELEPASAN CUKAI DALAM PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021

Berikut adalah senarai pelepasan cukai individu yang diperluaskan dalam pembentangan Belanjawan 2021:

Vaksinasi

Skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan juga dicadangkan diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

Ini termasuk pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan COVID-19 apabila vaksin telah tersedia

Perubatan Penyakit Serius

Had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius bagi pembayar cukai individu, pasangan dan anak serta rawatan kesuburan daripada sehingga RM6,000 kepada sehingga RM8,000.

Rawatan Perubatan, Keperluan Khas dan Penjagaan Ibu Bapa

Kerajaan mahu menaikkan had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Perbelanjaan Pemeriksaan Kesihatan

Had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dicadangkan untuk dinaikkan daripada sehingga RM500 kepada sehingga RM1,000.

Pasangan Kurang Upaya

Kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai tambahan bagi pasangan kurang upaya daripada RM3,500 kepada RM5,000.

Perbelanjaan Gaya Hidup

Kerajaan mencadangkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada sehingga RM2,500 kepada sehingga RM3,000 di mana tambahan sehingga RM500 dikhususkan bagi perbelanjaan peralatan sukan, bayaran kemasukan, sewaan fasiliti sukan dan penyertaan pertandingan sukan.

Simpanan SSPN

Kerajaan mencadangkan supaya pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 ke atas simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk dua tahun lagi iaitu sehingga tahun taksiran 2022.

Perbelanjaan Yuran Pengajian

Kerajaan bercadang memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi perbelanjaan yuran pengajian sehingga RM7,000 agar ia turut meliputi perbelanjaan menghadiri ‘up-skilling’ atau ‘self-enhancement’ dalam mana-mana bidang yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pelepasan cukai pendapatan bagi skop tambahan ini adalah terhad sehingga RM1,000 bagi setiap tahun taksiran.

Nota: Kesemua pelepasan cukai ini adalah masing-masing untuk tahun taksiran 2021 dan 2020.
Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma