Apa Beza PKPB, PKPD & PKPDB? Ini Istilah Berkaitan PKP Yang Perlu Anda Tahu
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diperkenalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai Mac yang lalu bagi menangani wabak Covid-19. Arahan PKP adalah meliputi arahan penutupan semua premis di seluruh negeri kecuali premis yang membekalkan barangan keperluan.
Setiap isi rumah pula hanya dibenarkan seorang sahaja keluar untuk membeli barang keperluan. Sebarang urusan lain adalah tidak dibenarkan sepanjang PKP.
Namun, sejak penularan wabak Covid-19 mula berkurang pada Mei lalu, arahan kawalan mula dilonggarkan dan beberapa jenis arahan kawalan pergerakan diperkenalkan yang hanya melibatkan kawasan-kawasan tertentu.
Antara arahan kawalan pergerakan yang kini sedang digunakan adalah PKPB, PKPD dan PKPDB. Namun, perintah ini tidak melibatkan semua rakyat Malaysia. Ketahui perbezaan perintah-perintah kawalan ini di perkongsian bawah.
Isi Kandungan
PERBEZAAN ANTARA PKPB, PKPD & PKPDB
Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB)
Berikutan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Putrajaya, dan Kuala Lumpur, ramai ingin mengetahui sejauh mana kelonggaran diberikan untuk penduduk berkenaan.
Secara amnya, PKPB merupakan langkah kerajaan untuk memberi fokus kepada kawalan pergerakan berkaitan majlis sosial. Sementara beberapa sektor ekonomi pula dibenarkan untuk beroperasi mengikut keperluan.
Penduduk di kawasan PKPB juga masih boleh keluar membeli barang keperluan dengan maksimum 2 orang sahaja setiap isi rumah. Individu yang ingin keluar bekerja juga dibenarkan dengan surat kebenaran.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD)
PKPD ini sangat berbeza dengan PKPB di mana PKPD adalah dilaksanakan dengan lebih ketat dan dikawal secara lebih terperinci. PKPD ini dilaksanakan di zon-zon merah yang terlibat dengan 41 kes atau lebih.
Semua penduduk tempatan dan pelawat dari kawasan yang dikenakan PKPB tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh kawalan. Semua jenis aktiviti perniagaan juga diberhentikan.
Penduduk di kawasan ini boleh dikatakan sebagai ‘dikurung’. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Semua haluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarela Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPDB )
Kawalan PKPDB adalah sama seperti PKPD. Namun, PKPDB ini merupakan total lockdown di lokaliti terpilih disebabkan penularan kes yang tertumpu seperti di kawasan kampung, asrama, perumahan dan sebagainya.
Konsepnya sama sahaja seperti PKPD di mana penduduk di kawasan PKPDB tidak dibenarkan keluar sama sekali dan semua perniagaan di kawasan tersebut dihentikan. Penutupan sesuatu kawasan dengan kawalan PKPDB adalah disebabkan di kawasan tersebut ada kes positif yang tinggi.
Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan adalah bersebab. Jadi, setiap rakyat perlu terima dan jangan mengeluh dengan keputusan yang diberikan kerana pastinya keputusan ini akan membawa kebaikan kepada semua orang dari segi pencegahan penularan wabak Covid-19.
Semoga bermanfaat!