Cara Daftar KWSP Secara Online Bagi Yang Bekerja Sendiri, Terima Dividen Setiap Tahun

Anda bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap atau caruman KWSP? Rugilah jika anda tidak menyimpan untuk hari tua anda dengan KWSP kerana pencarum KWSP akan terima dividen setiap tahun! Pekerja sendiri yang ingin membuat caruman sendiri boleh buka akaun caruman i-Saraan KWSP secara online dengan mudah sekarang.

Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan) membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut pendaftaran caruman i-Saraan dan panduan buat pendaftaran pembukaan akaun KWSP bagi yang bekerja sendiri.

SUMBANGAN CARUMAN TAMBAHAN KERAJAAN

Selain daripada dividen yang diterima setiap tahun berdasarkan baki simpanan, Ahli KWSP yang bekerja sendiri dan buat caruman i-Saraan akan terima sumbangan Kerajaan sebanyak:

  • 15% (jumlah maksimum sebanyak RM250/setahun) ke atas caruman anda

Bukan itu sahaja, antara kelebihan apabila anda membuat caruman KWSP sendiri adalah:

  • Menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan anda
  • Bantuan Kematian: RM2,500

Berbaloi kan? Tiada alasan lagi untuk anda tidak buat caruman sendiri dan menyimpan untuk hari tua nanti!

SYARAT KELAYAKAN

Pendaftaran caruman i-Saraan boleh dibuat oleh individu yang memenuhi syarat kelayakan berikut:

  • Individu yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap, suri rumah dan pekerja berpencen
  • Warganegara Malaysia
  • Belum mencapai umur 55 tahun

CARA DAFTAR CARUMAN I-SARAAN SECARA ONLINE

Sekarang ini hampir semua kemudahan boleh dibuat secara atas talian dengan mudah tanpa perlu ke kaunter lagi. Bagi pekerja sendiri yang nak buka akaun caruman KWSP iaitu caruman i-saraan, anda boleh buat secara atas talian dengan ikut langkah berikut:

  1. Muat turun aplikasi i Akaun KWSP di telefon pintar anda dan klik Daftar i-Saraan.
  2. Anda juga boleh terus klik pautan ini [https://online.kwsp.gov.my/isaraanReg/]
  3. Lengkapkan pendaftaran anda sehingga selesai
  4. Selesai daftar, buka mana-mana online banking yang anda ada
  5. Cari ‘EPF Transfer’ dan simpan siap-siap nombor akaun EPF anda dan set sebagai favourite untuk mudah anda buat pindahan ke Akaun KWSP nanti

WAKTU OPERASI PENDAFTARAN I-SARAAN SECARA ONLINE

Pendaftaran i-Saraan secara online hanya boleh dibuat dalam tempoh operasi seperti berikut sahaja:

  • Isnin sehingga Jumaat: 8 pagi hingga 9 malam
  • Sabtu, Ahad & cuti umum: 5 pagi hingga 7 malam

Untuk maklumat lanjut, anda boleh terus ke laman web www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03 89226000. Anda juga boleh terus ke kaunter KWSP untuk dapatkan penjelasan lanjut.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma