Cara Buka Akaun KWSP Bagi Yang Bekerja Sendiri Atau Berbisnes Online
Pasti sukar untuk orang yang bekerja sendiri kerana tidak boleh mencarum wang. Bila dah bekerja sendiri, pendapatan tidak menentu kerana bergantung kepada keuntungan yang diperoleh. Siapa cakap orang yang bekerja sendiri atau membuat bisnes online tidak boleh membuat caruman KWSP?
Sebenarnya anda boleh menjadi ahli KWSP dan mencarum wang secara sukarela ke akaun KWSP melalui i-Saraan, Skim Caruman Pilihan Sendiri dan Caruman Penambah Simpanan.
Baca juga: i-Suri KWSP. Daftar Bantuan Suri Rumah, Balu & Ibu Tunggal
Caruman KWSP tidak dihadkan kepada individu yang bekerja dan mereka yang diwajibkan di bawah Akta KWSP 1991 sahaja. Penyertaan sukarela daripada mereka yang tidak tertakluk di bawah undang-undang KWSP adalah sangat dialu-alukan.
Ia merupakan satu kelebihan bagi anda memiliki wang simpanan di hari tua nanti.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui maklumat lanjut mengenai Caruman Pilihan Sendiri beserta cara membuka akaun bagi yang bekerja sendiri.
Isi Kandungan
CARUMAN PILIHAN SENDIRI
Antara golongan yang layak mencarum dalam caruman sukarela di bawah Akta KWSP 1991 adalah:
- Orang gaji domestik yang bekerja di rumah kediaman dan digaji oleh orang perseorangan (tuan rumah berkenaan).
- Pemilik tunggal atau rakan kongsi yang tidak bergaji, pekerja berpencen dan mereka yang bukan majikan atau bukan pekerja seperti yang ditetapkan di dalam Akta KWSP 1991.
- Pekerja warganegara Malaysia yang telah mengeluarkan kesemua simpanan mereka di bawah Skim Pengeluaran Meninggalkan Negara dan telah kembali dan bekerja semula di Malaysia
Bayaran caruman boleh dibuat melalui Borang KWSP 6A (1).
SYARAT KELAYAKAN
Syarat kelayakan membuat Caruman Pilihan Sendiri adalah:
- Warganegara Malaysia
- Merupakan ahli KWSP (Jika belum menjadi ahli, perlu mendaftar di kaunter KWSP dengan menggunakan MyKad atau melalui mel dengan mengemukakan Borang KWSP 3 dan salinan kad pengenalan)
CARA MEMBUAT BAYARAN
Berikut adalah perkara yang anda perlu tahu dalam membuat Caruman Pilihan Sendiri:
- Anda perlu kemukakan Borang Bayaran Caruman Pilihan Sendiri – KWSP 6A(1) bersama bayaran di mana-mana saluran bayaran yang telah disediakan oleh KWSP.
- Borang KWSP 6A(1) boleh diperolehi di kaunter KWSP atau dimuat turun DI SINI.
- Pembayaran adalah melalui perbankan internet, tunai, draf bank atau cek.
Nota:
Bayaran mestilah dibuat kepada KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP). Jika bayaran dibuat melalui cek, kiriman wang atau bank draf, nombor rujukan ahli dan bulan caruman perlu dicatatkan di bahagian belakang.
HAD BAYARAN
- Tiada had minimum bayaran
- Bayaran maksimum adalah RM60,000 setahun untuk semua Caruman Sukarela (Caruman Pilihan Sendiri, i-Saraan, i-Suri, Caruman Simpanan Tambahan)
Ahli yang memilih untuk mencarum secara sukarela akan menerima semua faedah yang telah ditetapkan di bawah Akta KWSP, tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP.
Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan anda yang ingin membuat caruman KWSP sendiri. Perancangan masa depan adalah penting!