Bantuan RM500 Secara “One-off” Kepada Peniaga Dan Penjaja Kecil Di Perak
Berita baik buat peniaga dan penjaja kecil di negeri Perak! Kerajaan Perak telah meluluskan peruntukan khas bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Ke-4 (PRE 4) sejumlah RM9 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan yang disalurkan itu berikutan prihatin dengan kekangan yang dihadapi mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut bantuan buat peniaga Perak.
Isi Kandungan
BANTUAN RM500 SECARA ONE-OFF
Bagi meringankan beban peniaga dan penjaja kecil, kerajaan negeri turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM4.7 juta bagi menyalurkan bantuan ‘one-off’ (sekali bayar) RM500 kepada 9,381 peniaga dan penjaja kecil.
Ini adalah bantuan ‘one-off’ kali kedua kepada peniaga dan penjaja kecil selepas kerajaan negeri menyalurkan bantuan tunai RM500 dalam PRE Fasa 2 sebelum ini.
PENGECUALIAN SEWAAN GERAI MAKAN
Antara inisiatif lain di bawah PRE 4 ini adalah pengecualian sewaan gerai makan milik berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sebulan (November 2020).
Inisiatif ini memberi manfaat kepada 10,335 perniagaan dan penjaja kecil di ke semua 15 PBT seluruh negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.63 juta.
PERUNTUKAN RM2.7 JUTA UNTUK GeRUP
Selain daripada bantuan berikut, bagi membantu lebih ramai usahawan mikro yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 ini, kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM2.7 juta untuk Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP)
Kaedah permohonan atau pelaksanaan bantuan ini akan dikemaskini sekiranya terdapat makluman baharu.