Cara Mohon Bantuan Kewangan SME Corp Sehingga RM100,000 Buat PKS Terjejas Banjir

Bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas perniagaan mereka akibat bencana alam seperti banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh, SME Corp menawarkan program Dana Kecemasan PKS atau bantuan kewangan sehingga RM100,000.

PKS yang terjejas boleh buat permohonan bantuan kewangan yang ditawarkan untuk dijadikan sokongan bagi membangunkan semula perniagaan. Untuk membuat permohonan bantuan kewangan kecemasan ini, PKS mestilah ada bukti mengalami bencana alam melalui surat yang dikeluarkan oleh pejabat daerah atau salinan laporan polis.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut bantuan ditawarkan dan panduan buat permohonan bagi yang memerlukan.

MAKLUMAT PEMBIAYAAN

  • Nama program: Program Dana Kecemasan PKS
  • Nilai bantuan: Pinjaman bermula RM50,000 sehingga RM100,000 (maksimum)
  • Tempoh pembiayaan: Sehingga 5 tahun
  • Kadar faedah: 3%

TUJUAN PEMBIAYAAN

PKS yang layak boleh mohon pembiayaan yang ditawarkan untuk tujuan:

  • Pembelian mesin dan kelengkapan
  • Pembaikan pulih premis
  • Keperluan modal kerja seperti pembelian bahan mentah dan bahan guna pakai

KRITERIA KELAYAKAN

Permohonan adalah terbuka kepada PKS yang memenuhi syarat kelayakan berikut:

  • Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), atau Pihak Berkuasa Tempatan/ Pejabat Daerah (untuk Sabah dan Sarawak), atau badan bertauliah bagi penyedia perkhidmatan profesional
  • Mempunyai lesen premis yang sah
  • Menyediakan bukti mengalami bencana alam melalui surat yang dikeluarkan oleh pejabat daerah atau salinan laporan polis
  • Beroperasi dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Majlis Keselamatan Negara atau pejabat daerah

CARA MEMOHON

Sekiranya anda PKS yang terjejas, memenuhi syarat kelayakan dan memerlukan bantuan yang ditawarkan, anda boleh buat permohonan dengan hadir ke pejabat SME Corp yang berhampiran. Anda boleh semak lokasi pejabat SME Corp yang berhampiran anda melalui pautan berikut:

Untuk maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan anda boleh terus ke laman web SME Corp di pautan www.smecorp.gov.my.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma