Apa Itu Endemik, Epidemik Dan Pandemik, Betapa Seriusnya Penularan COVID-19?

Berikutan laporan-laporan berkenaan wabak penyakit, seringkali kita akan mendengar pembaca berita membuat laporan dengan menggunakan istilah tertentu seperti endemik, epidemik atau pandemik untuk menerangkan kadar penularan wabak berkenaan.

Namun adakah anda faham  apa yang dimaksudkan dengan tiga istilah tersebut?

Perkataan epidemik, endemik dan pandemik kelihatan seakan-akan sama, namun ketiga-tiga perkataan ini sebenarnya membawa maksud yang berlainan.

Jom ketahui maksud kepada setiap istilah berikut melalui perkongsian infografik Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah.

ENDEMIK

Istilah endemik digunakan dalam kejadian sesuatu penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu masyarakat atau tempat. Bilangan kes penyakit tersebut sentiasa ada dan pada kadar yang stabil atau rendah.

Contohnya demam denggi yang menjadi isu apabila berlakunya musim hujan kerana pada ketika itu nyamuk Aedes mempunyai tempat untuk membiak. Kekerapan kes demam denggi yang sentiasa akan berlaku itu diistilahkan sebagai endemik. Dengan kata lain, kewujudan penyakit tersebut sentiasa dijangka akan berlaku dan sentiasa pada tahap yang tetap dan rendah.

EPIDEMIK

Istilah epidemik pula digunakan apabila bilangan kes sesuatu penyakit tersebut tiba-tiba mendadak naik melebihi kadar yang biasa dan ia terus dipanggil wabak atau epidemik. Biasanya peningkatan kes sesuatu penyakit yang mendadak ini akan jelas kelihatan dalam satu komuniti dan lingkungan masa yang tertentu.

Sebagai contoh, penularan wabak COVID-19 yang awal-awal berlaku di wilayah Wuhan China pada akhir tahun 2019. Pada peringkat awal penularan wabak di China pada akhir tahun 2019, epidemik ini mengakibatkan beberapa  kes kematian dan kes jangkitan yang rendah serta hanya merebak dalam wilayah Wuhan sahaja pada ketika itu.

Namun, penyakit itu tidak semestinya kekal epidemik. Apabila penularan wabak tersebut semakin meningkat dan mencapai satu tahap yang tinggi, ia akan dipanggil pandemik.

PANDEMIK

Walaubagaimanapun, wabak COVID-19 ini tidak terhenti di peringkat epidemik yang bermula di wilayah Wuhan, China. Ia kemudian menjadi kebimbangan diperingkat global apabila virus koronavirus ini mula melangkaui sempadan China dan diisytiharkan sebagai pandemik.

Pandemik merujuk kepada penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia dan merentasi kawasan luas hingga melepasi sempadan negara dan benua, malah ke seluruh dunia.

Ciri pandemik adalah melibatkan kadar serangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Ia melibatkan sebaran yang pantas dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Apa Itu Endemik, Epidemik Dan Pandemik, Betapa Seriusnya Penularan Sesuatu Penyakit itu

COVID-19 KINI DIISYTIHAR SEBAGAI PANDEMIC OLEH WHO

Berikutan dengan kes COVID-19 yang melibatkan sehingga 118,000 kes dan kematian lebih daripada 4,000 orang di 114 buah negara, World Health Organization (WHO) kini mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Laporan ini telah diumumkan menerusi akaun rasmi Twitter World Health Organization (WHO) hari ini. WHO telah menilai penularan ini sepanjang masa dan sangat bimbang dengan tahap penyebaran dan kemudaratannya tambahan pula dengan tahap tindakan yang diambil tidak mencukupi.

Apa Itu Endemik, Epidemik Dan Pandemik, Betapa Seriusnya Penularan Sesuatu Penyakit itu

Virus ini telah dikategorikan sebagai pandemik apabila didapati telah merebak di beberapa negara secara serentak dan dalam masa yang singkat di seluruh dunia. Di negara Itali, kes kematian telah mencecah lebih 900 kes sehingga liga Serie A terpaksa dibatalkan.

Di Denmark pula mengarahkan kesemua sekolah dan universiti ditutup serta penjawat awam bekerja dari rumah sahaja bagi mengelakkan berlaku penyebaran yang lebih teruk.

Namun, semua orang diingatkan supaya berhati-hati dan sentiasa menjaga kebersihan. Ikuti nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia seperti elakkan berkunjung ke tempat yang ramai orang dan elakkan pergi ke luar negara bagi mengelakkan terkena jangkitan virus tersebut. COVID-19 harus dipandang serius oleh semua orang berikutan dengan penyebarannya yang semakin kronik sekarang.

Daftar Sebagai Pembaca
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma