Skim Pembiayaan Komputer Dan Telefon Pintar RM5,000 Bagi Penjawat Awam. Mohon Sekarang
Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar (Smartphones) adalah suatu kemudahan pembiayaan yang diwujudkan bagi membiayai pembelian komputer dan Telefon Pintar (Smartphones) oleh Pegawai Perkhidmatan Awam
Kemudahan pembiayaan komputer bagi pegawai Perkhidmatan Awam diperkenalkan semenjak pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1992. Manakala kemudahan pembiayaan telefon pintar (smartphones) pegawai Perkhidmatan Awam diumumkan semasa pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober 2016 oleh YAB Menteri Kewangan Malaysia.
Baca juga: Permohonan Skim Perumahan Mampu Milik Penjawat Awam (PPAM) 2020
Ikuti perkongsian di bawah untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan cara membuat permohonan skim pembiayaan ini.
Isi Kandungan
SYARAT PEMBIAYAAN
Antara syarat kelayakan untuk memohon pembiayaan komputer Dan telefon pintar adalah:
- Pegawai Perkhidmatan Awam yang sedang berkhidmat, dilantik secara tetap dan telah disahkan dalam perkhidmatan layak memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan ini.
- Pegawai Perkhidmatan Awam yang telah membuat pinjaman pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar (Smartphones) ini juga layak membuat permohonan pembiayaan setiap tiga (3) tahun dengan syarat pinjaman yang terdahulu telah diselesaikan.
KADAR PEMBIAYAAN
Kadar pembiayaan yang akan diterima bagi permohonan yang lulus adalah seperti berikut:
- Amaun pembiayaan maksimum adalah sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM5,000.00) sahaja (bagi salah satu atau kombinasi kedua-duanya).
- Amaun pembiayaan yang dibenarkan juga adalah tertakluk kepada pengiraan jumlah potongan bulanan bagi bayaran balik tidak melebihi 1/3 daripada gaji pokok dan semua potongan gajinya hendaklah tidak melebihi 60% daripada jumlah gaji pokok dan elaun-elaun
SYARAT PEMBELIAN KOMPUTER
Pembelian komputer yang dibenarkan adalah pembelian komputer baharu termasuk perkakasan dan perisiannya. Komputer bagi maksud pekeliling ini dikelaskan kepada tiga (3) kategori seperti berikut:
- komputer desktop;
- komputer riba; dan
- komputer tablet
Pemohonan untuk membuat pembelian lebih daripada satu unit komputer adalah dibenarkan tetapi bukan dari kategori komputer yang sama.
SYARAT PEMBELIAN TELEFON PINTAR (SMARTPHONE)
Syarat permohonan pembiayaan bagi pembelian telefon pintar adalah:
- Pembelian telefon pintar (smartphones) yang dibenarkan adalah pembelian telefon pintar (smartphones) baharu termasuk perkakasan tambahan.
- Permohonan untuk membuat pembelian lebih daripada satu unit telefon pintar adalah tidak dibenarkan sama sekali.
- Pembelian telefon pintar (smartphones) di bawah pakej jalur lebar dibenarkan tetapi pembiayaan tidak termasuk bayaran langganan bulanan.
- Urus niaga pembelian telefon pintar (smartphones) hendaklah dilakukan di dalam Malaysia.
CARA MEMOHON
Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar (smartphones) Anggota Perkhidmatan Awam (Borang Kew. 317) yang boleh dimuat turun di bawah (LAMPIRAN A).
Borang Permohonan hendaklah disediakan sebanyak tiga (3) salinan dan dikemukakan kepada Bahagian Kewangan Kementerian/Jabatan Pegawai.
Permohonan hendaklah disertakan dengan sebut harga dengan menyenaraikan butiran yang hendak dibeli. Sebut harga daripada pembekal yang berdaftar berdasarkan undang-undang di Malaysia sama ada diperoleh secara terus atau atas talian (online) adalah diterima.
PENGIRAAN PEMBIAYAAN
Pengiraan amaun pembiayaan hendaklah berdasarkan kepada jumlah kos bagi pembelian berdasarkan sebut harga yang menyenaraikan butiran dan perkakasan dikemukakan oleh pegawai. Pengiraan ini juga tertakluk kepada amaun pembiayaan maksimum sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ribu (RM5,000.00) sahaja dan hendaklah dibundarkan kepada ratusan ringgit terdekat yang kurang.
Contoh pengiraan pembiayaan yang akan diterima asalah:
Sebut harga: RM3,550
Amaun Pembiayaan: RM3,500
Perbezaan: RM50 dijelaskan sendiri oleh peminjam.
Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah tidak melebihi 48 bulan mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan.
TINDAKAN SETELAH DILULUSKAN
Sekiranya permohonan skim pembiayaan telah diluluskan, berikut adalah langkah selanjutnya:
- Setelah anda telah menerima wang pembiayaan, tugas pertama yang penting adalah anda perlu membeli komputer atau laptop dengan kadar segera.
- Pegawai yang telah diluluskan pembiayaan komputer hendaklah menyerahkan resit, invois bagi komputer atau telefon pintar (smartphones) yang dibelinya itu kepada pegawai yang meluluskan permohonannya dalam tempoh 30 hari selepas EFT/cek bagi amaun pembiayaan diterima.
- Sekiranya pegawai itu gagal mengemukakan dokumen-dokumen tersebut dalam tempoh 30 hari, maka pembiayaan tersebut dianggap terbatal.
- Pegawai hendaklah membayar keseluruhan amaun pembiayaan yang telah diluluskan berserta amaun keuntungan dalam tempoh 30 hari selepas pembatalan.
Download borang permohonan Skim Pembiayaan Komputer Dan Telefon Pintar di bawah:
SKIM PEMBIAYAAN KOMPUTER DAN TELEFON PINTAR
Baca juga: CUEPACSCARE: Cara Daftar Program Takaful / Insurans Penjawat Awam