Tips Persiapan Temuduga Biasiswa Untuk Persediaan Calon

Walaupun temu duga untuk biasiswa ini kelihatan seperti tidak sepenting temu duga untuk kerja, namun sekiranya calon betul-betul berhasrat untuk lulus temu duga biasiswa WAJIB buat persiapan dari pelbagai segi.

Persaingan untuk mendapatkan biasiswa sebenarnya sangat sengit daripada seperti yang dijangkakan oleh calon. Maklumlah, kebanyakan pelajar pasti akan berusaha elakkan membuat pinjaman PTPTN.

Jadi biasiswa adalah penyelesaian terbaik dengan ikatan perjanjian yang lebih baik.

PENILAIAN CALON

Untuk mendapatakan calon yang terbaik dalam kalangan pemohon, calon bukan sahaja akan dinilai menerusi kelulusan akademik semata-mata tetapi dari beberapa segi yang lain seperti kegiatan kokurikulum, penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, disiplin, kemahiran berkomunikasi dan pengetahuan calon mengenai isu-isu semasa dalam dan luar negara.

TIPS PERSIAPAN TEMU DUGA BIASISWA

Tips Persiapan Temuduga Biasiswa Untuk Persediaan Calon

Untuk temuduga biasiswa sebenarnya persiapan yang harus dilakukan sama sahaja seperti temu duga kerja. Calon mestilah menunjukkan peribadi yang baik seperti berikut:

  1. Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai, kemas dan bersih.
  2. Jangan pakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar serta memakai minyak wangi yang baunya menyengat atau mengenakan solekan yang keterlaluan.
  3. Rambut hendaklah pendek dan tersisir rapi bagi lelaki dan kemas bagi perempuan yang tidak bertudung. Pada yang bertudung jangan memakai tudung yang terlalu fesyenista. Cukup sekadar ala kadar dan kemas.
  4. Kasut pula seeloknya mestilah bertutup bagi lelaki dan perempuan.
  5. Pastikan anda membawa surat panggilan temuduga, kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen yang berkaitan untuk disemak oleh panel temuduga.  Pastikan ianya tersusun kemas di dalam fail mengikut turutan tahap akademik.
  6. Tentukan dimana, bila dan pukul berapa temu duga akan diadakan. Pastikan anda sampai 10-15 minit lebih awal supaya anda boleh menenangkan diri tetapi jangan sampai terlalu awal nanti cemas pula. Jangan sesekali-kali datang lambat.

TIPS KETIKA TEMU DUGA BIASISWA

Tips Persiapan Temuduga Biasiswa Untuk Persediaan Calon

Berikut adalah tips untuk calon ketika temu duga biasiswa:

  1. Semasa hendak masuk ke bilik temu duga hilangkan semua perasaan gentar. Fikirkan jika anda gentar, kemungkinan tinggi akan gagal dalam temu duga ini. Tentu buang masa sahaja hadir.
  2. Cuba kawal emosi dengan bercakap lancar. Jangan fikirkan apa panel penemuduga akan fikir mengenai anda.
  3. Tonjolkan keyakinan diri dan ianya akan menambat hati penemuduga.
  4. Apabila dipanggil masuk, berikan salam dan ucapan “selamat pagi/petang” mengikut keadaan waktu berserta dengan senyuman dan pandang semua panel penemuduga (eye contact).
  5. Jangan hulurkan tangan anda untuk berjabat tangan selagi penemuduga tidak membuat gerakan dahulu.
  6. Jangan terus duduk melainkan telah dijemput berbuat demikian. Apabila disuruh duduk, ucapkan terima kasih dan duduklah dengan sempurna serta tegakkan badan.
  7. Jangan cuba untuk mengalih keadaan kerusi yang disediakan.
  8. Serahkan dokumen-dokumen berkaitan apabila diminta. Jangan letakkan barang-barang lain (letak di tepi kerusi anda), tangan ataupun siku di atas meja penemuduga.
  9. Jangan duduk bersilang kaki, goyang-goyangkan kaki atau mengerakkan ke sana ke sini.
  10. Biarkan penemuduga memulakan perbualan.
  11. Apabila bercakap pandang muka penemuduga (eye contact).
  12. Jangan menjawab soalan tergopoh-gapah. Jawablah setiap soalan dengan tenang dan jelas.
  13. Jangan sesekali mengeluarkan fakta yang tidak benar atau mendiamkan diri. Jika anda tidak tahu jawapan yang disoal, berlaku jujur dengan berterus terang bahawa anda tidak mengetahui jawapannya.
  14. Apabila diminta memperkenalkan diri, mulakan dengan nama penuh anda, latar belakang keluarga dan latar belakang pendidikan, aktiviti anda dan sebagainya.
  15. Jangan cuba hendak menjenguk atau membaca surat-surat dan lain-lain kertas yang terdapat di atas meja penemuduga.
  16. Apabila menyebut nama penemuduga gunakan gelaran seperti Tuan/Tan Sri Dato dan sebagainya. Jika tidak yakin gelaran penemuduga tersebut gunakan gelaran tuan atau puan.
  17. Tumpukan perhatian pada setiap soalan yang ditanya dan beri jawapan yang tepat dan sempurna.
  18. Cuba kembangkan jawapan, jangan sekadar menjawab ya atau tidak sahaja.
  19. Jangan mengunyah sesuatu semasa temuduga berjalan.
  20. Jangan sesekali menyampuk semasa penemudga sedang bercakap atau berbincang sesuatu di antara mereka.
  21. Minta penjelasan sekiranya anda tidak begitu faham atau jelas mengenai soalan yang ditanyakan.
  22. Gunakan satu-satu bahasa tanpa campur aduk dengan bahasa yang lain. Jika ditanya dalam bahasa Melayu, jawablah dalam Bahasa Melayu jika Bahasa Inggeris, perlu bersedia untuk menjawab dalam Bahasa Inggeris.
  23. Diakhir temuduga, ucapkan terima kasih kepada panel temuduga kerana memberi peluang untuk hadir pada temuduga itu.
  24. Jika diberi peluang bertanya soalan, kemukakan soalan yang munasabah sahaja.

Perlu diingatkan, persiapan adalah perkara yang WAJIB dilakukan tidak kira apa jenis temu duga yang akan anda lalui. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu calon dalam membuat persiapan sebelum dan semasa temu duga biasiswa.

Selamat maju jaya!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma