e-qurb@NS: Permohonan Pelaksanaan Ibadah Korban Di Negeri Sembilan Melalui Sistem Online
Penganjur atau pemohon yang ingin melaksanakan ibadah korban di Negeri Sembilan perlu membuat pendaftaran secara dalam talian mulai 9 Julai jam 10 pagi melalui sistem e-qurb@ns yang baru sahaja dilancarkan sebentar tadi oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.
Sistem ini dibangunkan secara kerjasama dengan beberapa agensi yang berkaitan antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut mengenai permohonan pelaksanaan ibadah korban di Negeri Sembilan.
Isi Kandungan
Tujuan Sistem e-qurb@ns
Tujuan sistem online e-qurb@ns dilaksanakan adalah untuk:
- Memusatkan data permohonan pelaksanaan ibadah korban di Negeri Sembilan
- Memudahkan pemohon atau penganjur untuk memohon kelulusan lokasi korban bagi memenuhi SOP Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum mengeluarkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan Permit Sembelihan Luar (PSL).
Syarat Pelaksanaan Ibadah Korban
Antara syarat pelaksanaan ibadah korban yang ditetapkan adalah:
- Hanya boleh dilaksanakan di masjid, surau atau mana-mana tempat yang dibenarkan sahaja
- Korban tidak melebihi 10 ekor binatang ternakan dalam sehari
- Sekiranya jumlah korban melebihi 10 ekor maka lebihannya hendaklah dibuat pada hari berikutnya
- Hari yang ditentukan untuk melaksanakan ibadah korban ialah bermula selepas solat sunat Aidiladha pada 31 Julai sehingga 3 Ogos
- Binatang ternakan yang dibenarkan untuk korban iaitu lembu, kerbau, unta, kambing dan kibas
- Penganjur hendaklah menentukan petugas korban untuk satu lokasi tidak melebihi 50 orang
- Bagi peserta korban pula hanya dua orang dibenarkan hadir ke lokasi sebagai wakil bagi setiap bahagian korban
- Tambahnya penganjur hendaklah memastikan langkah-langkah keselamatan, pematuhan garis panduan serta mengamalkan disiplin kendiri dalam kalangan petugas yang melaksanakan ibadah korban
- Kod QR perlu disediakan di tempat yang ditentukan bagi kemudahan petugas dan peserta korban mendaftar masuk ke lokasi korban
- Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan hadir ke lokasi korban
Permohonan Pelaksanaan Ibadah Korban
Permohonan melaksanakan ibadah korban secara online tersebut boleh dibuat mulai 9 Julai 2020 jam 10 pagi sehingga 24 Julai 2020 jam 12 tengah hari di laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui pautan berikut:
Semoga kemudahan yang diberikan ini dapat membantu penganjur yang akan melaksanakan ibadah korban di Negeri Sembilan dalam memudahkan urusan dan menjamin keselamatan semua pihak.