Jaga-jaga! Ini Risiko Membeli Lot Lidi Yang Tak Ramai Tahu
Lot lidi atau sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan ke lot kecil untuk dijual semula dengan tujuan untuk membina rumah kini semakin berleluasa terutama di kampung-kampung.
Harga rumah di negara kita yang semakin mahal dan kekurangan ilmu berkaitan tanah merupakan punca utama kegiatan menjual lot lidi ini semakin berleluasa. Pembeli pastinya sentiasa mencari tanah yang berharga murah.
Walaupun lot lidi ditawarkan dengan harga mampu milik, awas! Ramai yang tidak tahu risiko sebenar membeli lot lidi ini.
Berikut adalah perkongsian mengenai risiko apabila anda membeli lot lidi.
Isi Kandungan
RISIKO MEMBELI LOT LIDI
1. Nama Tiada Dalam Geran
Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi yang didaftarkan di dalam geran hanyalah SEORANG. Dokumen yang menunjukkan anda ialah seorang pemilik di dalam lot lidi hanyalah melalui Surat Pemegang Amanah sahaja.
Contohnya jika ada 12 orang pembeli lot lidi bagi satu kawasan, hanya satu nama Pemegang Amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili 11 pembeli yang lain. Pemegang Amanah ini boleh terdiri saripada salah seorang pembeli lot lidi atau boleh jadi juga pemilik asal tanah.
Jika nama tiada di dalam geran, mereka tidak layak untuk berurusan mengenai tanah berkenaan walaupun diikat dengan Surat Pemegang Amanah.
2. Sukar Untuk Berjual Beli
Jika salah seorang pembeli lot lidi ingin menjual semula lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli berkenaan. Untuk melaksanakannya, mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah yang baru dengan bantuan Pemegang Amanah sendiri.
Apa yang menjadi masalah adalah apabila Pemegang Amanah itu enggan untuk menukar nama atas sebab-sebab tertentu seperti perbalahan, tiada masa, malas, sudah meninggal atau sebagainya. Proses pertukaran nama atau penjualan itu tidak boleh berlaku jika Pemegang Amanah tidak memberi kerjasama.
3. Kesalahan Langgar Syarat Tanah
Lot lidi lazimnya adalah lot yang bersyarat pertanian. Seperti yang selalu kita lihat, lot yang dijadikan lot lidi adalah lot di atas tanah bendang atau kebun penanaman. Membina rumah di atas lot bersyarat pertanian adalah satu kesalahan serius yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara.
Anda boleh dikenakan denda atau tanah anda boleh dirampas jika didapati bersalah.
4. Tiada Pampasan Jika Tanah Diambil Oleh Kerajaan
Jika tiba-tiba kerajaan ingin membuat pengambilan di atas tanah berkenaan atas sebab-sebab tertentu, pembeli lot tidak layak untuk menuntut pampasan daripada kerajaan.
Hanya Pemegang Amanah seorang yang akan dipanggil untuk sesi penerangan pampasan malah wang pampasan akan diberikan kepada Pemegang Amanah sahaja.
Pembeli-pembeli lot perlu berurusan dengan Pemegang Amanah untuk membahagikan wang pampasan.
5. Tidak Boleh Dipindahmilik Kepada Waris
Jika pemilik lot lidi meninggal dunia atau lain-laun, waris mereka tidak boleh mendapatkan lot tersebut kerana pemilik lot lidi tersebut tidak didaftarkan di dalam geran dan secara teorinya tanah berkenaan adalah milik Pemegang Amanah.
Ini bermaksud, nama pemilik lot lidi tidak boleh ditukarkan kepada nama waris kerana nama pemilik tidak didaftarkan di dalam geran. Hanya Pemegang Amanah yang berhak membuat pindah milik gerak.
6. Pemegang Amanah Meninggal Dunia
Ini adalah risiko paling besar yang perlu dihadapi oleh pemilik-pemilik lot lidi. Pembeli-pembeli lot lidi boleh diibaratkan seperti layang-layang terputus tali jika Pemegang Amanah meninggal dunia.
Apa yang terjadi kepada pembeli lot kalau Pemegang Amanah meninggal dunia?
Mereka boleh melantik Pemegang Amanah yang baru, tetapi prosedurnya bukanlah semudah yang disangka. Pembeli mungkin anda berhadapan dengan ketidaktentuan, prosedur pesaka yang rumit, masa yang lama, kos yang tinggi dan kemungkinan berlaku perbalahan yang berpanjangan.
Semoga perkongsian ini dapat memberi kesedaran kepada anda mengenai risiko jika membeli lot lidi ini. Biarlah membeli tanah atau rumah yang mahal sedikit asalkan mengikut lunas undang-undang kerana ia akan membentuk sekiranya terdapat masalah-masalah pada masa akan datang.
Risiko ini mungkin tidak berlaku pada awal-awal pembelian, tetapi percayalah ianya akan berbangkit ada satu masa akan datang.