Rasa Marah Bila Dengar Orang Mengunyah & Bernafas? Anda Mungkin Ada ‘Misophonia’
Pernah tak anda sedang makan bersama seseorang dan suara orang tersebut mengunyah membuatkan anda rasa terganggu dan kadang-kala rasa marah? Bukan itu sahaja, bahkan kadang-kala orang bernafas pun membuatkan anda rasa tidak senang duduk.
Mungkin anda mengalami satu keadaan yang sebut ‘misophonia’. Apa itu misophonia?
Berikut adalah perkongsian mengenai maksud misophonia dan senarai bunyi yang boleh membuatkan orang yang menghadapi misophonia rasa terganggu. Semak juga reaksi atau tanda anda menghadapi misophonia di bawah.
Isi Kandungan
APA ITU MISOPHONIA?
Misophonia secara umumnya adalah gangguan emosi akibat suara bising. Orang yang menghidapi misophonia selalunya akan berasa benci apabila dengar suara tertentu.
Individu seperti ini dikatakan spesial kerana mempunyai kecacatan dalam mekanisme kawalan emosi mereka yang menghantar otak mereka ke dalam overdrive apabila mendengar bunyi tertentu.
Tanda-tanda awal seseorang menghidapi misophonia selalunya dapat dilihat ketika usia 9 hingga 12 tahun. Orang jenis ini dikatakan mempunyai tahap IQ yang tinggi. Perempuan lebih ramai yang menghidap misophonia berbanding lelaki.
BUNYI YANG BOLEH MENGGANGGU PENGHIDAP MISOPHONIA
Antara bunyi yang membuatkan penghidap misophonia berasa tidak selesa apabila mendengarnya adalah:
- Suara orang makan atau mengunyah
- Bunyi orang bermain pen (pen clicking sound)
- Bunyi jam berdetik
- Bunyi berfrekuensi rendah
- Bunyi langkah kaki
- Bunyi siulan
- Bunyi plastik yang di diramas-ramas
- Bunyi anjing menyalak
REAKSI PENGHIDAP MISOPHONIA BILA MENDENGAR SUARA TERTENTU
Berikut adalah reaksi atau tindakan penghidap misophonia apabila mendengar bunyi-bunyi di atas:
- Tidak selesa
- Tertekan
- Gugup
- Marah
- Takut
- Kecewa
- Sangat terganggu
- Panik
- Hilang sabar
Individu yang menghidapi misophonia biasanya berasa tidak selesa apabila berada di tempat orang ramai kerana mereka sering dengar bunyi yang mereka tidak suka. Penghidap juga mungkin akan menghindar acara makan bersama dan mengurung diri kerana tidak mahu terlibat dalam aktiviti sosial.
Jika dibiarkan, penghidap mungkin boleh menghadapi depresi. Tindakan yang lebih parah juga mungkin berlaku seperti menyerang orang yang menghasilkan bunyi yang membuatkan mereka terganggu.
Sehingga hari ini masih tiada ubat yang boleh merawat penyakit ini. Namun ada beberapa jenis terapi dapat membantu mengurangkan gejala ini. Ada klinik yang menawarkan terapi suara dan kaunseling oleh pakar psikologi. Jadi anda dinasihatkan untuk mendapatkan kaunseling jika anda merasakan anda menghidapi misophonia yang serius.