Tak Dapat Balik Kampung, Ini Senarai 10 Lagu Raya Wajib Anda Layan
Pasti ramai yang sudah dengar pengumuman oleh Perdana Menteri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai larangan merentasi negeri untuk pulang ke kampung untuk berhari raya pada tahun ini. Kita semua tahu larangan ini adalah susulan daripada lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 7 Jun 2021.
Sudah pastinya berita ini merupakan berita yang tidak baik buat rakyat Malaysia yang bekerja jauh daripada kampung halaman. Maklumlah, apa maknanya raya kalau tidak berjumpa ibu bapa dan sanak saudara. Tambahan pula raya tahun ini kita tidak dibenarkan ziarah menziarahi rumah jiran-jiran.
Baca Ucapan Dan Pantun Selamat Hari Raya Aidilfitri 2020
Untuk menambah kesayuan anda tidak dapat pulang ke kampung dan beraya, berikut disertakan senarai 10 lagu wajib yang anda kena layan.
Isi Kandungan
10 LAGU RAYA WAJIB LAYAN 2020
1) Pulanglah (Aishah)
Lagu ciptaan Adam Ahmad ini mempunyai lirik yang ditulis sendiri oleh penyanyinya, Aishah. Ia berkisarkan tentang perpisahan sepasang kekasih tetapi dalam konteks Hari Raya.
Mungkin bukan lagu sesuai jika anda lebih rindukan ibu bapa daripada bekas kekasih di kampung, tetapi kemerduan suara Aisyah memang menyentuh jiwa.
2) Musafir Di Aidilfitri (S. Jibeng)
Penyanyi buta, S. Jibeng yang cukup popular pada era 60-an mempunyai satu lagu Hari Raya ikonik iaitu Musafir di Aidilfitri.
Liriknya berkisarkan tentang rintihan seorang anak yang sudah sebatang kara pada pagi Hari Raya. Selain kemerduan suara Jibeng, lagu ini turut diingati dek kerana lick gitarnya yang cukup melodi – satu pra-syarat dalam semua lagu pop yeh yeh.
3) Lebaran Ini (Raihan, Nowseeheart, REM dan Ajai)
Lagu Lebaran Ini barangkali merupakan lagu paling optimistik dalam senarai artikel ini. Dinyanyikan oleh dua kumpulan nasyid terkenal, Raihan dan Nowseeheart serta dua penyanyi solo terkenal, Ajai dan REM, ia menceritakan apa yang patut kita buat pada pagi Hari Raya.
4) Jange Kelik Laa Weii (Man Khan & Aris Kapilla)
Diubahsuai oleh komposer Eddie Hamid daripada lagu bertajuk sama 4 tahun lepas, Jange Kelik Laa Weii berbentuk nasihat agar rakyat akur arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri atau balik kampung meraikan 1 Syawal.
Lagu ini turut mendapat perhatian Muhyiddin ketika beliau membuat perutusan khas yang mengumumkan larangan balik kampung merentas negeri pada 10 Mei 2020.
5) Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah)
Lagu ciptaan Omar Taib dan ditulis liriknya oleh AS ini menceritakan perasaan seorang anak ketika balik kampung berhari Raya dan kemungkinan mereka akan terpisah pada Hari Raya akan datang.
6) Bersabarlah Sayang (Sanisah Damanhuri)
Lagu ciptaan Karim Masdor dan lirik ciptaan Yusnof Ef ini muncul kali pertama apabila dikompilasikan oleh EMI pada tahun 1973. Ketika ini, Sanisah Damanhuri baru 2-3 tahun menceburi karier nyanyian solo selepas mencipta nama menyanyi untuk kugiran The Terwellos dan The Hooks.
Lagu ini tiada signifikan dengan sentimen perantau ketika Hari Raya. Tetapi maksud liriknya cukup universal untuk diadaptasikan kepada situasi PKPB yang menuntut kesabaran kita ketika menghadapinya.
7) Ku Pohon Restu Ayah Ibu (Mamat Exist)
Lagu dan lirik ciptaan Amir Abdul Karim ini merupakan lagu yang kedengaran sedih, tetapi sebenarnya bernada optimistik daripada segi liriknya.
Ia menceritakan janji seorang anak (yang juga perlu bekerja pada Hari Raya) kepada ibu bapanya jika dia dapat balik kampung pada satu hari nanti.
8) Air Mata Syawal (Siti Nurhaliza)
Mesej diatas ditulis oleh Suria Records, pemilik hakcipta lagu ini di YouTube mereka pada dua hari sebelum larangan balik kampung dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri.
Lagu ciptaan Pak Ngah dan lirik yang ditulis oleh Nurul Asyiqin ini mempunyai tema sama seperti lagu Sudirman, Dari Jauh Ku Pohon Maaf. Ia adalah permohonan maaf seorang akan kepada ibu bapanya kerana tak dapat balik berhari raya.
9) Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman)
Jika dilihat komen lagu ini di Youtube, ramai yang bersetuju lagi Sudirman ini adalah lagu paling sesuai untuk raya tahun 2020. Lagu yang ditulis oleh komposer S. Atan dan lirik yang ditulis oleh Haron Abdul Majid ini merupakan luahan permohonan maaf seorang anak kepada ibu bapanya kerana perlu bekerja pada pagi Hari Raya.
10) Dendang Perantau (P. Ramlee)
Lagu ini merupakan lagu Raya terawal gubahan seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan lirik oleh S. Sudamarji.
Lagu yang dinyanyikan dengan sepenuh jiwa ini menceritakan tentang jejaka yang meninggalkan kampung halaman dan merindui orang tersayang di Aidilfitri. Lagu ini pasti mengusik hati orang ramai tambahan pada tahun ini di mana ramai terkandas di bandar tidak dapat pulang ke kampung.
Jangan terlalu bersedih apabila beraya tahun ini tanpa ibu ayah dan sanak saudara di kampung. Anggap sahaja kita cuba membantu negara dalam mengurangkan penularan wabak COVID-19 dengan menuruti arahan kerajaan. Semoga semua pengorbanan rakyat Malaysia ada balasan baiknya.
Selamat menghayati!