Cara Semak Nombor Pinjaman PTPTN Untuk Mohon Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman
Untuk makluman semua, setiap peminjam PTPTN perlu membayar balik pinjaman mereka selepas 12 bulan tamat pengajian. Peminjam tidak perlu menunggu notis (emel/ surat) dari pihak PTPTN untuk memulakan proses bayaran balik memandangkan penyata baki pinjaman kini boleh disemak secara online sahaja.
Kos upah atau dikenali sebagai Ujrah akan mula dikenakan kepada peminjam bermula bulan ke 13 tamat pengajian. Tempoh bayaran balik PTPTN bergantung kepada jumlah pinjaman masing-masing.
Berikut adalah perkongsian mengenai kategori peminjam yang layak membuat penangguhan bayaran balik PTPTN dan cara semak nombor pinjaman dan bayaran balik PTPTN.
Baca juga: Mohon Lanjutan Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Dengan 3 Langkah Mudah Ini
Isi Kandungan
PENANGGUHAN BAYARAN BALIK PTPTN
Antara 4 jenis kategori peminjam yang layak untuk membuat penangguhan bayaran balik PTPTN adalah:
- Peminjam yang telah menamatkan pengajian terdahulu (Diploma) dan menyambung semula pengajian secara sepenuh masa (Ijazah)
- Peminjam yang mengikuti kursus berkembar secara 2+1 atau 2+2 yang memerlukan peminjam tersebut meneruskan pengajian di luar negara
- Peminjam yang menambah tempoh pengajian (Extend Semester)
- Tidak bekerja
Untuk membuat penangguhan, peminjam perlu membuat permohonan penangguhan dengan mengisi borang berikut:
Kos upah masih dikenakan sepanjang tempoh penangguhan yang ditetapkan oleh PTPTN.
Dokumen Diperlukan Untuk Penangguhan
Untuk membuat penangguhan bayarain balik, peminjam perlu sediakan beberapa dokumen ini:
- Surat tawaran pengajian terkini daripada IPT menyatakan tarikh sebenar tamat pengajian;
- Surat akuan sumpah tidak bekerja;
- Penyata KWSP terkini atau Surat pengesahan dari KWSP yang mengesahkan peminjam belum mencarum.
Penangguhan bayaran balik PTPTN tidak mengecualikan PTPTN daripada menyenaraikan nama peminjam di dalam rekod Central Credit Reference Information System (CCRIS).
PTPTN berhak membatalkan penangguhan sekiranya peminjam didapati menerima gaji / elaun dalam tempoh penangguhan.
CARA SEMAK NOMBOR PINJAMAN PTPTN
Untuk menyemak nombor pinjaman PTPTN anda sebenarnya mudah sahaja.
Salah satu cara yang paling mudah adalah dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000. Nombor ini memang tersedia di portal PTPTN untuk mudah dirujuk oleh para peminjam.
Apabila menelefon nombor ini, beritahu kepada pihak PTPTN bahawa anda ingin mendapatkan nombor pinjaman PTPTN anda.
Peminjam yang telah memperolehi nombor pinjaman PTPTN, terus boleh mengakses menu e-Perkhidmatan di portal PTPTN pada bahagian ‘Bayaran Balik’.
CARA SEMAK BAYARAN BALIK PTPTN
Untuk membuat semakan bayaran balik PTPTN, anda ikuti langkah berikut:
- Layari laman web PTPTN Semakan Penyata Pinjaman
- Masukkan nombor kad pengenalan anda untuk membuat carian
- Klik SEMAK
- Log masuk dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan.
Bagi membuat semakan bayaran balik dan pengesahan baki pinjaman atau surat penyelesaian hutang anda boleh semak melalui laman tersebut. Hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan dan nombor pinjaman, peminjam akan mendapat penyata terkini.
Maklumat baki pinjaman adalah penting untuk mengetahui sebanyak mana lagi hutang yang kita ada dengan PTPTN supaya dapat merancang pembayaran hutang dengan saksama. Setelah hutang PTPTN telah sempurna pembayarannya, bolehlah mendapatkan surat penyelesaian hutang untuk disimpan sebagai rekod, menunjukkan anda telah bebas hutang PTPTN. Semoga bermanfaat!