Dalam bisnes kecil, ada satu fasa yang hampir semua founder akan lalui.
Kerja makin banyak, tapi team masih kecil. Founder masih pegang sales, marketing, operation, admin, content, customer service, kadang-kadang sampai kerja print dokumen pun founder juga yang buat.
Masa inilah biasanya terlintas dalam kepala, “Kalau ada intern seorang dua, lega sikit.”
Memang betul. Intern boleh bantu banyak benda. Boleh bantu kerja admin, susun data, buat content, update media sosial, bantu customer support, bantu operasi harian, atau support projek kecil yang selama ini tertangguh.
Tapi bila mula kira kos, terus rasa lain macam.
Intern bukan datang kosong. Elaun kena bayar. Masa supervisor kena ada. Sistem kerja kena susun. Kalau ambil seorang mungkin masih boleh tahan. Tapi kalau ambil 3 hingga 5 orang intern, jumlah elaun bulanan boleh jadi komitmen yang agak berat untuk SME atau startup kecil.
Ini realiti yang jarang orang luar nampak.
Bukan pemilik bisnes tak mahu buka peluang latihan. Bukan founder tak nampak nilai intern. Masalahnya, cash flow syarikat kecil memang sensitif. Duit keluar masuk kena jaga. Satu komitmen baru, walaupun nampak kecil, boleh ganggu perancangan bulanan.
Sebab itu Program LiKES TalentCorp menarik untuk dibedah dari sudut praktikal pemilik bisnes.
Bukan sekadar tengok ia sebagai “program bantuan”. Tapi tengok bagaimana program ini boleh bantu SME dan startup ambil intern dengan risiko cash flow yang lebih terkawal.
Masalah Sebenar SME: Nak Tambah Orang, Tapi Duit Kena Jaga
Kalau tanya founder kecil, ramai akan cakap benda sama.
Kerja memang ada. Task memang banyak. Tapi nak tambah staff tetap belum mampu.
Di sinilah intern nampak macam pilihan yang logik. Kos lebih rendah berbanding pekerja tetap, tempoh latihan jelas, dan syarikat boleh dapat extra resource untuk bantu kerja harian.
Tapi dalam akaun syarikat, intern tetap satu kos.
Contoh mudah. Kalau seorang intern dibayar elaun RM600 sebulan, lima orang intern dah jadi RM3,000 sebulan. Kalau latihan berjalan empat bulan, jumlah kasar sudah jadi RM12,000.
Untuk syarikat besar, mungkin angka itu kecil.
Untuk SME, RM12,000 itu mungkin duit pusingan stok. Mungkin bajet iklan. Mungkin bayaran vendor. Mungkin buffer gaji staff tetap. Mungkin duit kecemasan kalau client lambat bayar invoice.


Sebab itu ramai founder akhirnya tangguh dulu niat ambil intern.
Padahal dari sudut operasi, intern memang boleh bantu. Cuma dari sudut cash flow, founder kena fikir dua tiga kali.
Lagi satu, kos elaun intern hari ini pun makin meningkat. Intern sekarang lebih sedar nilai kerja mereka. Institusi juga semakin menekankan latihan industri yang lebih berkualiti. Syarikat pun tak boleh ambil mudah dengan hanya bagi kerja tanpa elaun yang munasabah.
Jadi dilema SME jadi begini:
Perlukan intern, tapi takut cash flow semput.
LiKES: Bukan Sekadar Bantuan, Tapi Ruang Bernafas Untuk Founder
LiKES atau Internship Placement Matching Grant for SMEs and Start-Ups ialah inisiatif TalentCorp yang membantu SME dan startup mengambil pelatih industri berbayar.
Bagi saya, bahagian paling menarik tentang LiKES ialah ia cuba jawab masalah yang sangat praktikal: kos elaun intern dan tekanan cash flow.
Dalam dunia SME, timing duit sangat penting.
Kadang-kadang sales ada, tapi duit belum masuk. Client dah setuju, tapi payment belum clear. Invoice dah hantar, tapi bayaran masih pending. Dalam masa sama, gaji staff tetap, sewa, bil, marketing dan operation tetap jalan macam biasa.
Bila nak tambah intern, walaupun niatnya untuk ringankan kerja, kos elaun tetap perlu dibayar dulu.
Di sinilah LiKES boleh jadi solusi yang masuk akal.
Program ini ada dua komponen bantuan utama yang relevan untuk SME dan startup:
Geran Pendahuluan RM2,000 dan Geran Padanan 50%.
Dua-dua komponen ini nampak kecil kalau dilihat secara permukaan. Tapi untuk founder yang setiap bulan kena jaga duit keluar masuk, bantuan sebegini boleh beri ruang bernafas.
Geran Pendahuluan RM2,000: Suntikan Awal Sebelum Cash Flow Terasa Berat
Komponen pertama ialah Geran Pendahuluan RM2,000.
Secara mudah, geran ini berfungsi sebagai suntikan awal untuk membantu cash flow permulaan bagi pengambilan intern. Ia boleh membantu syarikat yang mahu mengambil sehingga 5 orang pelatih, tertakluk kepada syarat dan kelulusan program.
Kenapa geran pendahuluan ini penting?
Sebab fasa awal internship biasanya fasa paling banyak “makan masa” dan “makan tenaga”.
Intern baru masuk. Mereka belum mahir lagi dengan kerja syarikat. Founder atau team perlu ajar SOP, workflow, cara guna tools, cara buat reporting, cara berkomunikasi dengan client, dan cara deliver task ikut standard syarikat.
Dalam tempoh ini, produktiviti intern mungkin belum tinggi. Tapi elaun tetap perlu dibayar.
Di sinilah RM2,000 itu boleh membantu.
Ia bukan menyelesaikan semua kos. Tapi ia boleh kurangkan beban awal. Founder tak rasa terlalu berat untuk mula buka peluang intern. Syarikat ada sedikit buffer untuk susun program latihan dengan lebih teratur.
Untuk startup kecil, RM2,000 boleh jadi beza antara “kita tangguh dulu” dengan “ok, kita boleh cuba ambil intern batch ini”.
Kadang-kadang dalam bisnes, yang kita perlukan bukan modal besar pun.
Kita cuma perlukan sedikit ruang untuk mula bergerak.
Geran Padanan 50%: Elaun Dibayar, Sebahagian Kos Boleh Dituntut Semula
Komponen kedua ialah Geran Padanan 50%.
Ini konsep yang ramai founder patut faham betul-betul. Geran Padanan ini berfungsi seperti subsidi pulangan tunai atau cashback selepas syarikat membayar elaun intern dan melengkapkan proses tuntutan.
Bahasa mudahnya, syarikat bayar elaun intern dulu. Kemudian, syarikat boleh membuat tuntutan untuk mendapatkan sebahagian kos itu kembali, tertakluk kepada syarat program.
Ini model pay-and-claim.
Bagi SME, ia sangat berguna kerana kos sebenar pengambilan intern boleh dikurangkan. Kalau sebelum ini syarikat rasa elaun intern terlalu membebankan, geran padanan 50% ini boleh menjadikan keputusan mengambil intern lebih masuk akal dari sudut kewangan.
Tapi ada satu perkara penting.
Syarikat kena disiplin dengan dokumen.
Jangan tunggu internship dah habis baru kelam-kabut cari offer letter, bukti bayaran, rekod intern, tarikh mula, tarikh tamat dan dokumen sokongan lain. Kalau nak claim berjalan lancar, dari hari pertama lagi syarikat kena simpan rekod dengan kemas.
Founder kecil kadang-kadang suka buat semua benda laju. WhatsApp je offer. Bayar je elaun. Simpan rekod kemudian.
Untuk program macam ini, cara begitu boleh menyusahkan diri sendiri.
Kalau nak manfaatkan LiKES, treat proses ini macam sistem HR kecil. Tak perlu terlalu kompleks, tapi mesti kemas.
Intern Bukan Pekerja Murah. Ini Talent Pipeline
Ini bahagian yang saya rasa SME kena betulkan dalam kepala.
Intern bukan sekadar orang tambahan untuk buat kerja yang team tak sempat buat.
Kalau syarikat ambil intern hanya sebab “murah”, akhirnya dua-dua pihak rugi. Intern tak belajar dengan betul. Syarikat pula rasa intern tak perform. Padahal masalah sebenar mungkin syarikat sendiri tak ada struktur latihan.
Intern yang bagus boleh jadi future talent.
Mereka masuk waktu masih belajar, tapi kalau diberi tugasan yang jelas, bimbingan yang betul dan exposure sebenar, syarikat boleh kenal potensi mereka lebih awal. Bila graduate nanti, syarikat dah ada calon pekerja yang faham budaya kerja, cara operasi dan expectation syarikat.
Ini jauh lebih baik daripada hiring kosong-kosong dan mula training dari awal.
Jadi bila ada program seperti LiKES, jangan lihat ia semata-mata sebagai bantuan elaun. Lihat ia sebagai peluang untuk bina sistem talent yang lebih tersusun.
Syarikat kecil pun boleh mula ada pipeline.
Tak perlu tunggu jadi corporate besar baru nak fikir talent development.
Langkah Mudah Memohon LiKES
Untuk mudahkan pemilik SME dan startup faham, proses ini boleh dilihat dalam 3 fasa ringkas.
Fasa 1: Ambil dan Daftar Intern
Fasa pertama ialah ambil intern yang sesuai dan daftar melalui saluran rasmi LiKES.
Pada peringkat ini, syarikat perlu pastikan internship itu jelas. Siapa intern tersebut, dari institusi mana, tempoh latihan berapa lama, elaun berapa, skop kerja apa, dan siapa yang akan supervise.
Ini bukan sekadar proses isi borang.
Ini fasa untuk pastikan syarikat memang bersedia menerima intern. Kalau intern masuk tapi syarikat sendiri tak tahu nak beri kerja apa, akhirnya internship jadi bercelaru.
Sebelum ambil intern, founder patut siapkan perkara asas:
- skop kerja intern
- tempoh latihan
- kadar elaun
- nama supervisor
- tugasan mingguan
- cara reporting
- dokumen tawaran atau pengesahan latihan
Benda ini nampak basic, tapi sangat membantu.
Bila struktur jelas, intern lebih mudah bergerak. Syarikat pun lebih mudah nilai prestasi mereka.
Fasa 2: Jalani Latihan dan Tuntut Geran Padanan
Selepas intern mula menjalani latihan, syarikat perlu bayar elaun mengikut kadar yang ditetapkan dan menyimpan rekod bayaran dengan kemas.
Di sinilah Geran Padanan 50% berperanan.
Syarikat membayar elaun terlebih dahulu, kemudian membuat tuntutan bagi mendapatkan subsidi pulangan tunai berdasarkan syarat program.
Founder kena faham, claim ini bukan sekadar “saya dah bayar, jadi saya dapat balik”. Proses tuntutan biasanya memerlukan bukti dan dokumen sokongan.
Jadi dari awal lagi, buat satu folder khas untuk setiap intern.
Simpan dokumen penting. Simpan bukti bayaran. Simpan tarikh mula dan tamat latihan. Simpan sebarang dokumen yang diperlukan oleh pihak program. Kalau ada rekod tugasan atau kehadiran, susun juga.
Bila semua ini kemas, proses tuntutan jadi lebih mudah dan kurang stres.
Fasa 3: Tuntut Geran Pendahuluan
Fasa ketiga ialah tuntutan Geran Pendahuluan RM2,000.
Ini komponen yang membantu cash flow awal syarikat, khususnya untuk pengambilan intern bagi batch latihan yang layak.
Bagi SME yang mahu mengambil beberapa orang intern sekali gus, geran pendahuluan ini boleh mengurangkan tekanan modal permulaan. Ia memberi sedikit ruang untuk syarikat memulakan program internship tanpa rasa terlalu sempit dari segi tunai.
Namun, seperti biasa, semak syarat kelayakan dan ikut proses rasmi.
Jangan anggap semua permohonan automatik diluluskan. Pastikan maklumat syarikat lengkap, dokumen betul, intern layak, dan proses permohonan dibuat mengikut panduan yang ditetapkan.
Kalau korang pemilik PKS atau startup yang nak kurangkan beban kos pengambilan intern dan nak tahu lebih lanjut tentang syarat kelayakan, boleh terus layari portal rasmi di https://talentcorp.com.my/likes atau hantarkan sebarang pertanyaan ke likes@talentcorp.com.my.
Pandangan Founder: Guna Bantuan Ini Untuk Bina Sistem, Bukan Sekadar Jimat Kos
Bagi saya, LiKES bukan sekadar tentang dapat bantuan elaun intern.
Ia tentang memberi peluang kepada SME dan startup untuk mula membina sistem kerja yang lebih matang.
Bila syarikat ambil intern, syarikat terpaksa susun SOP. Terpaksa jelas dengan tugasan. Terpaksa fikir cara training. Terpaksa belajar delegate. Ini semua benda yang bagus untuk pertumbuhan bisnes.
Ramai founder kecil terlalu lama jadi pusat segala benda.
Semua keputusan founder buat. Semua task founder semak. Semua masalah founder selesaikan. Lama-lama bisnes susah nak scale sebab terlalu bergantung kepada seorang dua orang sahaja.
Intern boleh jadi latihan awal untuk syarikat belajar membina team.
Ya, intern perlukan bimbingan. Ya, intern tak terus pandai. Ya, akan ada masa yang perlu dilaburkan. Tapi kalau sistemnya betul, syarikat boleh dapat tenaga tambahan, pelapis talent dan perspektif baru.
Dengan adanya sokongan seperti LiKES, risiko kos itu jadi lebih terkawal.
Untuk SME dan startup yang memang sedang mencari extra resource, program ini wajar disemak. Bukan untuk ambil intern secara suka-suka, tapi untuk bina talent pipeline dengan lebih bijak.
Kadang-kadang, bisnes kecil bukan tak boleh berkembang.
Cuma founder perlukan ruang untuk bernafas tanpa cash flow terlalu menekan.