Adakah Batal Puasa Jika Berbuka Awal Dari Waktunya Kerana Azan Di Radio? Ini Jawapan Mufti

Pada bulan puasa pelbagai persoalan yang bermain di minda mengenai pelbagai perkara. Maklumlah, kita sebagai umat Islam kalau boleh tidak mahu melakukan perkara yang membatalkan puasa atau perkara yang patut kita elakkan.

Antara salah satu perkara yang menjadi menjadi kebiasaan umat Islam adalah berbuka apabila berkumandang azan di radio. Adakah batal puasa kita berbuka puasa secara tidak sengaja kerana dengar azan di radio? Mungkin ramai yang menghadapi masalah yang sama cuma sukar untuk dapatkan rujukan yang sahih.

Jangan risau, Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya. Ikuti perkongsian di bawah.

BATAL TAK PUASA JIKA BERBUKA AWAL SEBAB AZAN DI RADIO?

Terdapat beberapa pandangan daripada ulama yang berbeza:

Pendapat 1

Jawapannya adalah mengikut Jumhur ulama’ daripada kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai golongan daripada ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.

Pendapat 2

Bagi jawapan kedua pula adalah tidak batal puasa. Ini adalah pendapat daripada sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.

Adakah Batal Puasa Jika Berbuka Awal Dari Waktunya Kerana Azan Di Radio? Ini Jawapan Mufti

KESIMPULAN

Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:

  • Umum nas al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 187.
  • Kaedah fiqh menyebut الاصل في كل حادث تقديره بأقرب زمان (Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir). Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.
  • Ini juga selari dengan kaedah fiqh لا عبرة بلظن البين خطؤه (Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya). Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakkan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan.
  • Imam Malik menyatakan di dalam al-Muwatta’, 1/303:

عَنْ خَالِدِ بْنِ أَسْلَمَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”

Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:

“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199)

Justeru, mereka berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Wallahua’lam.

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma