Resepi Dangai Dengan Empat Bahan Mudah Sahaja
Pasti ada yang tidak biasa dengar nama kuih ini tambahan pula yang berada di bandar. Bagi yang hairan apakah kuih yang bernama dangai ini, ia sebenarnya sejenis juadah popular yang biasanya dijamah pada waktu minum petang di negeri utara tanah air.
Buat penggemar kuih tersebut, jika memikirkan cara pembuatan asal kuih ini pastinya menggamit kenangan. Orang dulu-dulu biasanya masak dangai menggunakan sabut dan arang yang tentunya sudah tidak ada di dapur rumah kita apatah lagi di tengah-tengah bandar pada hari ini.
Isi Kandungan
BUAT GUNA LOYANG SAHAJA
Dengan hanya menggunakan loyang biasa dan bukannya loyang tembaga, ia akan lebih mudah untuk menyiapkan kuih tersebut. Selepas semua bahan siap dan dimasukkan ke dalam bekas, ia cuma perlu dibakar menggunakan ketuhar dalam tempoh 15 hingga 20 minit.
Tunggu sehingga kuih berwarna perang sebelum boleh dihidangkan panas-panas, berbanding dahulu perlu menggunakan sabut dan arang. Untuk memastikan kuih melekat cantik antara tepung pulut dan isi kelapa parut, bahagian bawah permukaan dan dinding loyang perlu dioles dengan minyak.
Ikuti perkongsian di bawah untuk resepi dangai yang mudah dengan menggunakan empat jenis bahan sahaja
BAHAN-BAHAN
Bahan-bahan yang diperlukan adalah:
- 2 biji kelapa parut sederhana muda lapisan putih
- 2 senduk gula putih (sukatan guna senduk nasi)
- 1 sudu teh garam
- 1 cawan tepung pulut
CARA-CARANYA
Cara-cara membuatnya adalah:
- Dalam satu bekas, masukkan semua bahan dan gaul sebati. Penting untuk pastikan adunan kuih tidak berketul.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah Celsius selama 10 minit. Sementara itu, oles rata minyak ke permukaan loyang dan masukkan adunan.
- Tekan manja dengan tangan atau sudu supaya adunan padat bagi mengelakkan kuih pecah dan berderai apabila masak nanti.
- Bakar pada suhu 145 hingga 150 darjah Celsius menggunakan api atas bawah. Letak loyang di tengah-tengah ketuhar.
- Sesuai masak, potong panas-panas sementara masih lembut. Sedia untuk dihidangkan bersama secawan kopi.
Senang kan! Dengan kemudahan loyang yang ada sekarang anda tidak perlu lagi mencari loyang tembaga atau sabut arang untuk membuat dangai. Sedap juga jika dijadikan juadah untuk berbuka puasa nanti. Selamat mencuba!