Petua Halau Semut Secara Semulajadi Menggunakan 9 Bahan Dalam Dapur Rumah Anda
Pantang letak makanan atau minuman manis di atas meja walaupun sekejap, pasti akan dihurung semut. Lihat semut terus terbantut selera nak makan. Bukan setakat minuman atau makanan manis sahaja semut datang, dalam bekas air kosong pun dia ada.
Kadang-kadang pasti anda hairan dari mana semut ini datang? Bukannya seekor, malah sangat banyak. Biasanya semut akan berada di bahagian dapur dan meja makan. Nak guna racun serangga, macam tak sesuai. Tambahan lagi bila ada anak kecil dan bayi.
Untuk penyelesaian masalah ini, ikuti perkongsian petua di bawah untuk menghalau semut di rumah anda secara semula jadi.
Isi Kandungan
PETUA MENGHALAU SEMUT
1.Serbuk Kopi
Serbuk kopi yang mempunyai bau yang kuat dan boleh digunakan untuk menghalau semut daripada menghurung makanan di rumah anda.
- Caranya, ambil sedikit serbuk kopi di kawasan laluan masuk semut dan biarkan beberapa hari. Semut akan menjauhi kawasan ini dan tak akan datang lagi.
2. Soda Penaik
Secara teorinya, gula aising adalah untuk memerangkap semut manakala soda penaik pula adalah bahan yang boleh membunuh semut-semut tersebut.
- Caranya, campurkan soda penaik dengan gula aising dengan nisbah 1:1. Taburkan serbuk ini di kawasan kering yang ada semut dan lihat kesannya dalam beberapa hari.
3. Kayu Manis & Cengkih
Bagi sesetengah yang tak sukakan bau cuka, anda boleh menggunakan serbuk kayu manis dan cengkih.
- Taburkan serbuk tersebut di laluan semut dan biarkan selama beberapa hari. Bagi yang ada ‘cinnamon essential oil’, anda boleh campurkan minyak ini dengan sedikit air semburkan ia ke kawasan tersebut. Bukan saja mewangikan rumah, semut-semut pun hilang!
4. Daun Pandan
Satu lagi petua halau semut yang praktikal untuk anda gunakan adalah daun pandan.
- Cincang daun pandan taburkan ke kawasan laluan semut. Boleh juga dimasukkan ke dalam bekas gula atau beras. Makanan pun bertambah harum dengan aromanya.
5. Kulit Lemon/Oren
Buah-buahan sitrus juga mengeluarkan bauan wangi untuk kita, tetapi tidak untuk semut dan serangga lain.
- Oleh itu, ambil peluang ini untuk menggunakan semburan sitrus untuk menyegarkan kediaman di samping menyahkan semut-semut daripada rumah anda.Anda juga boleh menggunakan cincangan daun limau purut untuk kesan yang lebih baik.
6. Kulit Telur
Selain semut, cara ini juga berkesan untuk menghalau cicak atau serangga lain yang tak diingini.
- Bakar kulit telur hingga menjadi abu. Tabur abu ini pada kawasan laluan semut atau tempat semut berkerumun.
7. Daun Sirih
Cincangkan beberapa helai daun sirih dan taburkannya pada tempat semut selalu berkerumun. Bau herba ini akan menghalang semut daripada mendekati kawasan tersebut.
8. Air Lada
Air rendaman lada kering boleh digunakan untuk menghalau semut. Simpankannya ke dalam sebuah botol penyembur dan semburkan di laluan semut. Atau, letakkan beberapa tangkai cili kering pada di sekitar laluan semut. Ini dapat menghindarkan semut menghampiri gula.
9. Cuka
Cuka putih adalah penghalau semut yang amat berkesan kerana semut tak sukakan baunya yang kuat dan kandungannya yang berasid.
- Larutkan cuka ke dalam sedikit air dan masukkan ke dalam boto spray kosong. Kemudian, semburkan ke bahagian pintu masuk atau laluan semut. Ulangi beberapa kali sebaik saja larutan ini kering. Dalam beberapa hari, anda akan nampak kesannya.
Mudah kan? Yang penting semua bahan ini boleh dapat di dapur sahaja. Tak perlu keluar jauh-jauh cari racun serangga. Lagipun lebih baik anda elakkan guna racun serangga di kawasan yang kita selalu letak makanan. Bahaya, dapat memudaratkan kesihatan. Selamat mencuba!