Ibu Bapa Wajib Tahu! Bahaya Roblox dan Cara Kawal Anak Dari Ketagihan

Kes yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada 27 Oktober 2025 mengejutkan seluruh negara apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun parah ditetak oleh abangnya sendiri berusia 9 tahun.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian berpunca daripada permainan dalam talian Roblox, apabila adik mangsa dikatakan menghapuskan 1 juta syiling (coin) dalam akaun Roblox abangnya.

Menurut laporan, abang berusia 9 tahun itu dikatakan terlalu taksub bermain Roblox dan ingin menyelesaikan satu misi permainan yang memerlukan syiling maya dalam jumlah besar.

Akibat terlalu kecewa apabila “coin” dalam akaunnya dipadam, dia bertindak agresif hingga mencederakan adiknya sendiri ketika sedang tidur.

Kaitannya Dengan Game Roblox

Roblox ialah platform permainan dalam talian yang membolehkan pengguna mencipta dan bermain ribuan permainan interaktif. Namun, ramai ibu bapa tidak sedar bahawa Roblox juga mempunyai sistem ganjaran maya — seperti “Robux” dan coin — yang boleh diperoleh atau dibeli menggunakan wang sebenar.

Apabila anak-anak terlalu taksub dengan pencapaian maya seperti menyelesaikan misi, mengumpul coin, atau naik tahap permainan, mereka boleh menjadi emosional apabila kehilangan kemajuan tersebut. Dalam kes ini, kehilangan 1 juta coin menyebabkan pemain cilik itu tidak dapat menyelesaikan misi yang diidamkan — lalu mencetuskan tindak balas luar kawalan.

Pakar psikologi kanak-kanak turut menjelaskan bahawa kanak-kanak bawah 12 tahun belum matang dari segi kawalan emosi. Ketagihan permainan seperti Roblox boleh mengubah cara mereka menilai realiti, menyebabkan mereka sukar membezakan antara dunia maya dan dunia sebenar.

Keburukan & Risiko Jika Tidak Dikawal

Berikut beberapa keburukan utama Roblox apabila anak-anak bermain tanpa kawalan:

  1. Ketagihan dan kehilangan kawalan diri – anak boleh bermain berjam-jam tanpa rehat, mengabaikan tidur dan makan.
  2. Tekanan emosi dan marah melampau – apabila kalah, kehilangan item, atau coin dipadam, mereka boleh mengalami tekanan melampau.
  3. Bahaya interaksi luar kawalan – fungsi chat dalam Roblox boleh membuka ruang kepada pemain luar termasuk individu tidak dikenali.
  4. Perbelanjaan tak terkawal – anak-anak mungkin membeli Robux tanpa pengetahuan ibu bapa.

Cara Ibu Bapa Kawal Anak Bermain Roblox

Untuk elak insiden seperti kes Batu Pahat berulang, ibu bapa perlu bertindak lebih proaktif:

1. Tetapkan masa bermain harian

Gunakan ciri kawalan masa dalam telefon atau konsol permainan. Elakkan anak bermain lebih 1–2 jam sehari.

2. Pantau akaun dan permainan anak

Semak permainan yang dimainkan, siapa rakan dalam talian mereka, dan pastikan akaun tidak disambung dengan kad bank.

3. Ajarkan nilai kesabaran dan kehilangan

Terangkan kepada anak bahawa kehilangan coin, item, atau kalah dalam permainan adalah sebahagian daripada proses belajar — bukan sebab untuk marah atau membalas dendam.

4. Gunakan Roblox Parental Control

Aktifkan fungsi “Account Restrictions” agar hanya permainan sesuai umur dapat diakses. Matikan fungsi chat terbuka.

5. Libatkan anak dalam aktiviti dunia sebenar

Bawa mereka keluar bermain, membaca, atau menyertai aktiviti komuniti supaya masa skrin dapat dikurangkan.

Penutup

Kes dua beradik di Batu Pahat ini menjadi peringatan besar buat ibu bapa seluruh Malaysia. Apa yang bermula sebagai permainan dalam talian boleh bertukar menjadi tragedi sebenar apabila emosi dan kawalan diri anak tidak dipantau dengan betul. Roblox bukan permainan berbahaya secara langsung, tetapi cara penggunaan tanpa had dan pengawasan boleh mendatangkan kesan buruk kepada perkembangan emosi dan sosial anak-anak.

Ibu bapa disarankan sentiasa berbincang dengan anak, pantau kandungan permainan mereka, dan hadkan masa skrin agar dunia maya tidak menguasai dunia sebenar mereka.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma