Musim COVID-19: Apa Pencari Kerja Perlu Buat Di Masa Ketidakpastian Sekarang
Pencari kerja kini berdepan cabaran baharu apabila menularkan wabak COVID-19. Cabaran buat mereka adalah cabaran dalam mencari peluang pekerjaan dalam masa ketidakpastian sebegini. Tambahan pula buat lepasan diploma, ijazah, sarjana ataupun PhD pasti buntu nak cari kerja pada masa kini.
Apa yang dimaksudkan dengan masa ketidakpastian? Seperti yang kita tahu virus COVID-19 ini mengundang kesan kepada semua orang perlu patuh duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian wabak ini dan menyebabkan banyak juga industri terjejas dan terpaksa membuang pekerja.
Bagaimana pula nasib pencari kerja yang baru nak menjejaki alam pekerjaan? Apa yang anda perlu lakukan?
Ikuti perkongsian di bawah untuk persediaan para pencari kerja boleh lakukan dalam masa ketidakpastian ini.
Isi Kandungan
PERSEDIAAN PENCARI KERJA DALAM MASA KETIDAKPASTIAN
1. Terus Mencari Kerja
Dalam masa tempoh kawalan PKP ini, jangan hanya duduk di rumah dan berputus asa mencari kerja di luar. Usaha pencarian pekerjaan melalui atas talian anda harus tetap diteruskan seperti biasa.
Teruskan menghantar permohonan seperti biasa dan kemaskan resume serta surat lamaran untuk mendapat pekerjaan. Jika ada rezeki anda, tidak mustahil anda diambil kerja selepas tamat PKP. Apa yang penting adalah usaha.
2. Libatkan Diri Dengan Orang Lain
Dalam keadaan berjuta ramainya orang yang bekerja dari rumah, ia sebenarnya mewujudkan cara baharu unruk berhubung dengan orang lain. Banyak pilihan medium rangkaian dari bidang pendidikan sehinggalah ke sosial, jadi memanfaatkan sepenuhnya rakan-rakan maya yang anda temui.
Cari keseimbangan secara profesional dan dalam masa sama bersosial dengan berkomunikasi bersama mereka yang dalam bidangnya. Biasanya di laman forum dan laman sosial berkaitan, terdapat ruangan komen.
Dengan berbual bersama mereka yang profesional, tidak mustahil jika anda mendapat idea di situ. Bahkan mungkin ada yang membuka peluang pekerjaan buat anda.
3. Biasakan Diri Bercakap Di Telefon
Pada masa wabak menular ini, tidak mustahil jika kebanyakan syarikat menggunakan kaedah video atau panggilan telefon untuk mengadakan temuduga sepertimana yang dilakukan di luar negara.
Tidak mustahil temubual video akan menggantikan temuduga secara bersemuka. Jika itu perlu dilakukan, bersiap sedialah dengan pakaian profesional, bersiap sedia lima minit lebih awal dan sediakan sudut lokasi yang jelas dan sesuai untuk temubual.
Sekiranya anda tidak yakin bercakap di telefon, dapatkan beberapa rakan untuk membantu berlatih dengan beberapa panggilan.
4. Jangan Biarkan Diri Kecewa
Kecewa itu perkara biasa dalam kehidupan dan tidak salah untuk berasa kecewa. Cabaran masa ini tidak mustahil boleh mengecewakan dan mungkin anda anda akan berdepan tekanan.
Benarkan diri anda berasa kecewa, tetapi jangan memendam perasaan itu. Elakkan daripada banyak berfikir untuk beberapa minit dengan senaman, bermeditasi, hubungi rakan atau apa sahaja yang menenangkan anda. Kemudian kembali mencari kerja.
5. Bina Rangkaian Diri
Sekarang adalah masa untuk anda menonjolkan diri anda lebih daripada sebelumnya. Ambil kesempatan masa yang ada di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk bukan hanya mengemas kini profil, tetapi melibatkan diri dengan menyertai sesuatu forum atas talian, perbincangan dan berkongsi ilmu. Jangan takut untuk meminta bantuan atau nasihat.
Mana tahu kredibiliti dan kelebihan diri anda dapat dilihat di situ sehingga ada yang membuka peluang pekerjaan buat anda. Jika memang sudah rezeki kita jika diusahakan pasti akan berbuah hasilnya.
6. Belajar Berniaga
Dalam kesusahan untuk anda mencari kerja dengan syarikat lain, pada masa yang sama anda juga boleh cuba belajar untuk berniaga. Cuba mulakan dari kecil-kecilan. Setiap orang pasti mempunyai minat dan kelebihan diri. Gunakanlah kelebihan dan minat tersebut untuk berniaga.
Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa mencari ilmu. Mana tahu rezeki anda dapat ditemui dengan berniaga.
7. Berdoa
Jika anda beragama Islam, kita perlu akur bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan daripada-Nya. Jika anda sudah berusaha dan berdoa, kemudian bertawakallah. Pastinya ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita.
Berdoalah supaya pulangan daripada setiap usaha yang kita lakukan adalah lebih baik.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua pencari kerja di luar sana. Apa yang penting sekali adalah teruskan usaha dan jangan pernah putus asa. Gunakan masa yang ada sepanjang PKP ini sebaiknya dalam memantapkan diri kita dalam pelbagai hal. Semoga berjaya!