Stok Rokok John & Bingo Habis, Kini Penyeludup Bijak Berniaga Online Pula. COD Sampai Depan Rumah

PENYELUDUP rokok kini dikesan mengambil kesempatan dan semakin berleluasa memasarkan rokok murah mereka dalam laman sesawang pemasaran terkenal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan membuat hantaran terus ke pintu rumah pelanggan sebaik membuat tempahan termasuk bayaran.

Ketika rokok semakin kehabisan stok di kedai-kedai runcit kerana larangan pergerakan industri yang bukan di dalam essential goods, rokok murah yang dijual dalam talian terpaksa menjadi pilihan.

Sumber berkata, disebabkan tiada kawalan, urus niaga jual beli rokok online semakin menjadi pilihan sindiket, peniaga bergerak secara individu malah penggemar rokok murah yang diseludup masuk itu.

Rokok Tidak Sah

Menurutnya, mengikut undang-undang negara ini rokok tidak boleh diniagakan secara dalam talian, namun perundangan itu seolah-olah hanya terpakai kepada syarikat pengeluar rokok yang berdaftar.

“Perniagaan rokok seludup secara dalam talian berlaku sebab tidak ada kawalan. Mereka yang terbabit berniaga itu tidak pernah daftar syarikat, malah mudah menghasilkan laman sesawang penjualan atau akaun media sosial baru sekiranya ditutup oleh pihak penguatkuasaan.

“Urus niaga dalam talian rokok seludup terjadi dengan anggapan undang-undang tidak termaktub kepada mereka.

“Disebabkan itu juga pihak berkuasa sukar kesan atau terlepas pandang bahawa banyak iklan rokok seludup di media sosial menggunakan pelbagai platform aplikasi seperti di Facebook (FB) dan WeChat.

“Malah ada yang berani menggunakan online marketplace ternama seperti Shoppee,” katanya mendedahkan perkara berkenaan.

 

Tempoh PKP, katanya, rokok seludup yang dijual secara dalam talian mendapat tempat dalam kalangan perokok tegar yang mahukan rokok tanpa keluar rumah.

Menurutnya, ia berikutan perokok berkenaan tidak mahu keluar rumah sebab takut melanggar undang-undang PKP padahal membeli rokok secara dalam talian juga adalah satu kesalahan.

Rokok Tak Sah Di Malaysia

“Cara penghantaran adalah sama ada penjual dalam kalangan persendirian atau ahli sindiket itu menghantar sendiri.

“Bagi yang dihantar sendiri sehingga boleh sampai depan rumah, bayaran akan dibuat ketika penghantaran (COD),” katanya.

Menurutnya, setelah berborak dengan beberapa peruncit yang rata-rata sudah kehabisan stok, buat masa ini kerajaan tidak membenarkan kenderaan syarikat rokok berdaftar berada di atas jalan raya.

Ini, katanya, menyebabkan stok rokok sah di pasaran semakin berkurangan atau habis di premis tertentu yang tidak menyimpan banyak stok.

“Kekurangan rokok sah di pasaran tempatan berikutan syarikat perlu mematuhi arahan PKP hingga menjadi halangan menambah stok di pasaran turut menyebabkan peningkatan permintaan rokok seludup dalam talian.

“Penguatkuasaan kena tegas. Lagipun sukar nak menentukan siapa yang beli di dalam talian, mungkin juga golongan bawah umur.

“Bagi perokok tegar, jika sudah tiada rokok sah, kemungkinan mereka bertukar kepada rokok tidak sah amat tinggi sebab tabiat merokok agak sukar nak ditinggalkan… bagi mereka janji berasap,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa platform pasaran dalam talian yang popular di negara ini selain laman sesawang tertentu dan FB mendapati penjualan rokok seludup dalam talian semakin berleluasa.

Sehubungan itu, pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu bertindak segera membendung senario itu sebelum menjadi lebih buruk.

Hasrat KKM menerusi Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menasihatkan bahawa tempoh sekatan PKP adalah peluang terbaik perokok berhenti merokok.

Namun, sekiranya terdapat lambakan rokok seludup dijual secara dalam talian yang tidak dibendung, hasrat semakin ramai berhenti merokok dalam tempoh PKP boleh menjadi sebaliknya.

Mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, Peraturan 10A, tiada seorang pun boleh menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau secara dalam talian.

Sabit kesalahan didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

SUMBER

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma