Maksud Kerajaan Perpaduan & Senarai Negara Yang Bentuk Kerajaan Perpaduan
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) pada 19 November lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun memaklumkan kepada Baginda yang pihaknya tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana itu menjadi prinsip gabungan itu sejak dulu.
Namun selepas perbincangan khas dan memperhalusi titah Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10 dan membentuk kerajaan perpaduan.
Apa yang dimaksudkan dengan Kerajaan Perpaduan? Bagi yang tak tahu, anda boleh ikuti perkongsian di bawah.
Isi Kandungan
MAKSUD KERAJAAN PERPADUAN
Kerajaan perpaduan atau kerajaan kesatuan negara ialah sebuah pemerintahan gabungan yang luas yang terdiri daripada semua parti politik (atau semua parti utama) dalam badan perundangan sesebuah negara. Kebiasaannya ia dibentuk semasa waktu berperang atau lain-lain melibatkan darurat negara.
Keadaan ini juga terjadi apabila parti yang memerintah tidak mempunyai sokongan majoriti dan keperluan untuk menangguhkan pilihan raya. Kerajaan perpaduan ditubuhkan sebagai penyelesaian kepada isu ketidakcukupan kerusi oleh mana-mana gabungan politik yang ada.
Dalam kerajaan perpaduan, dua atau lebih parti yang tidak sehaluan akan membentuk kerjasama dan menganggotai kerajaan secara bersama.
CONTOH NEGARA YANG BENTUK KERAJAAN PERPADUAN
Antara contoh negara yang membentuk kerajaan perpaduan adalah:
Greece
Pada November 2011, Lucas Papademos, seorang pakar ekonomi dilantik sebagai Perdana Menteri Greece bagi mengeluarkan negara itu dari krisis ekonomi. Antara syarat yang diletakkan Papademos ialah pembentukan kerajaan yang terdiri daripada pemimpin kedua-dua parti politik utama Greece, iaitu New Democracy dan Panhellenic Socialist Movement (PASOK).
Afganistan
Pilihan raya Presiden Afghanistan pada 2014 berhadapan kebuntuan apabila dakwaan penipuan menyelubungi kemenangan Ashraf Ghani ke atas Abdullah Abdullah. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang akhirnya dipersetujui kedua-dua calon. Asyraf dilantik sebagai Presiden manakala jawatan baharu, Ketua Eksekutif diwujudkan dan diberikan kepada Abdullah.
Israel
Israel antara negara yang kerap menubuhkan kerajaan perpaduan. Sejak 1967, negara itu telah mempunyai 10 kerajaan perpaduan yang dibentuk. Kerajaannya ketika ini, iaitu kerajaan ke-36 atau turut dikenali sebagai Kerajaan Bennet-Lapid dikatakan sebagai kerajaan perpaduan paling rencam yang pernah ditubuhkan di Israel dengan penyertaan parti berhaluan kanan, tengah, kiri dan juga satu parti Islam.
Itali
Kabinet ke-67 Itali yang dikenali sebagai Kabinet Draghi ditubuhkan bagi menghadapi cabaran krisis kesihatan, ekonomi dan sosial akibat penularan wabak Covid-19. Kabinet itu diketuai bekas Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi selepas peletakan jawatan Giuseppe Conte. Kabinet ini disifatkan sebagai Kabinet teknokrat dengan penyertaan ramai teknokrat bebas selain pemimpin dari pelbagai parti politik berbeza haluan.
Kenya
Pada 2008 hingga 2013, Kenya diperintah kerajaan perpaduan kebangsaan yang disertai dua parti seteru, Gerakan Demokratik Oren (ODM) dan Parti Perpaduan Kebangsaan (PNU). Rundingan antara kedua-dua parti berlaku bagi menamatkan krisis politik akibat Pilihan Raya Presiden pada 2007.
Kerajaan Perpaduan Di Malaysia
Ini bukanlah kali pertama isu kerajaan perpaduan dibangkitkan di Malaysia. Pada 2009, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Rakyat (PR).
Semoga bermanfaat!