Syarat & Prosedur Permohonan Anak Angkat JKM
Berminat nak mohon pengangkatan anak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM)? Pasangan berkahwin yang mempunyai peluang untuk mendapat anak tipis kerana faktor usia atau sebagainya yang berminat nak mohon anak angkat atau anak pelihara daripada JKM boleh buat permohonan dengan ikut prosedur yang ditetapkan.
Permohonan boleh dibuat secara online atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dengan menyediakan dokumen-dokumen seperti yang dinyatakan.
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut dan prosedur membuat permohonan pengangkatan anak JKM.
Isi Kandungan
PERBEZAAN ANTARA ANAK PELIHARA & ANAK ANGKAT
Anak Angkat
Mengikut Seksyen 6(1) Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253), anak angkat bermaksud: Telah dalam jagaan dan dipelihara serta dididik oleh seseorang atau pasangan sebagai anaknya yang berterusan atau anak mereka secara anak angkat de facto selama 2 tahun sebelum tarikh permohonan.
Anak Pelihara
- Memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati kehidupan berkeluarga dan mendapat belaian kasih sayang;
- Rangsangan untuk tumbesaran dari aspek fizikal, mental, sosial, emosi dan psikologi; dan
- Pendidikan holistik yang lebih baik dan sempurna.
SYARAT PERMOHONAN
Berikut adalah syarat permohonan anak angkat / anak pelihara JKM:
- Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia.
- Berusia 25 hingga 60 tahun.
- Perkahwinan secara sah (5 tahun ke atas).
Bagi perkahwinan yang kurang dari 5 tahun dan mempunyai komplikasi kesihatan reproduktif atau kesihatan yang menyukarkan proses kehamilan atau perkahwinan yang lewat juga boleh dipertimbangkan permohonannya. - Peluang untuk mendapat anak tipis kerana faktor usia.
- Pemohon bujang boleh dipertimbangkan dan perbezaan umur di antara pemohon dan kanak-kanak mestilah lebih 21 tahun. Pemohon lelaki bujang dibenarkan mengambil kanak-kanak lelaki sahaja.
- Mempunyai pendapatan yang mampu menyara kehidupan keluarga.
- Hendaklah sihat dari segi mental dan fizikal.
- Bebas dari rekod kesalahan jenayah.
- Keadaan tempat tinggal yang sesuai dan selamat.
- Menganut agama yang sama dengan kanak-kanak.
DOKUMEN DIPERLUKAN
Permohonan pengangkatan anak mestilah bersama-sama dokumen berikut:
- Gambar ukuran pasport (suami/isteri).
- Surat pengesahan dari pegawai perubatan mengenai status kesihatan pemohon (suami/isteri).
- Sila klik untuk muat turun
- Salinan kad pengenalan (suami/isteri).
- Salinan sijil nikah/sijil pendaftaran perkahwinan.
- Slip gaji atau pengesahan pendapatan (suami/isteri).
- Lain-lain dokumen sokongan, contoh: laporan Pakar Perubatan, surat sokongan lain dan sebagainya.
PANDUAN PERMOHONAN
Permohonan pengangkatan anak mestilah mengikut prosedur berikut:
- Sediakan dokumen yang diperlukan
- Permohonan boleh dibuat secara online di (http://anak.jkm.gov.my/) atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan (PKMD/J) di tempat pemohon bermaustautin atau tinggal
Permohonan yang telah lengkap akan diproses dan sesi temu duga akan dijalankan oleh PKMD/J.
PERKARA AKAN DIBINCANGKAN DALAM TEMUDUGA
Berikut adalah perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam sesi temuduga:
- Menilai latar belakang sosial pemohon.
- Menilai kesanggupan pemohon menjadi keluarga pelihara.
- Menjelaskan tentang implikasi menjadi keluarga pelihara.
- Kesanggupan pemohon memenuhi syarat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 dan Akta Pengangkatan 1952, Adoption Ordinance (Sarawak Cap 91)(Ammendment 2002) dan The Adoption (Central Registry) Regulations 1960 serta Adoption Ordinance 1960 (Sabah No. 23 of 1960)yang mana bersesuaian.
PERMOHONAN YANG DITERIMA
- Permohonan anak pelihara yang diterima akan dipertimbangkan oleh Pengarah Bahagian Kanan-Kanak.
- Semua permohonan akan dihubungi menerusi surat berhubung status permohonan mereka.
- Permohonan yang dipertimbangkan akan didaftarkan ke dalam senarai menunggu bagi tempoh setahun (1 tahun) dari tarikh surat pertimbangan dikeluarkan.
- Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat akan menawarkan anak pelihara kepada pemohon yang telah diletakkan di dalam senarai menunggu setelah Mesyuarat Panel Penempatan Anak Pelihara bersidang.
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan pengangkatan anak, anda boleh hubungi Bahagian Kanak-Kanak JKM di talian 03 83231000.