Kerjaya Bomba: Syarat Jadi Ahli Bomba & Tugas Bomba Mengikut Kelayakan/ Gred

Ramai yang selalunya melihat kerjaya sebagai anggota pasukan bomba dan penyelamat hanya untuk memadam api, memberikan bantuan bila berlaku kecemasan dan seumpamanya, namun tak ramai yang tahu jabatan bomba dan penyelamat juga memainkan peranan penting di dalam pencegahan kebakaran.

Malah untuk aspek pencegahan kebakaran ini pun ada yang merasakan aktiviti demostrasi melawan kebakaran, nasihat-nasihat keselamatan semata-mata. Aspek pencegahan kebakaran khasnya di dalam bangunan sebenarnya bermula sebelum sesebuah bangunan dibina lagi.

Nak tahu lebih lanjut berkenaan kerjaya seorang bomba serta syarat kelayakan untuk menjadi ahli bomba, ikuti perkongsian di bawah.

KERJAYA BOMBA YANG RAMAI TAK TAHU

Tahu tak, arkitek yang merekabentuk bangunan mesti mengemukakan pelan bangunan kepada jabatan Perkhidmatan Bomba untuk mendapatkan komen dan kelulusan sebelum bangunan dibina.

Pihak Bomba akan meneliti pelan bangunan untuk memastikan seperti antaranya jarak menyelamatkan diri ke pintu kecemasan dan tangga kecemasan, pemasangan peralatan melawan kebakaran seperti sistem sprinkler, pengesan kebakaran (haba atau asap), sesalur basah dan kering, tangki(air) bomba malah bahan yang digunakan juga akan disemak oleh pihak jabatan bomba sebelum kelulusan pelan bangunan diberikan untuk kerja pembinaan dimulakan dan akan sekali lagi memeriksa bangunan setelah siap untuk memastikan segala yang disyaratkan untuk kelulusan dipenuhi oleh kontraktor bangunan.

Sebab itulah untuk jawatan penolong penguasa bomba dan penguasa bomba memerlukan kelayakan dalam bidang-bidang kejuruteraan, senibina dan seumpamanya – yang kita boleh lihat bahawa belajar dalam bidang senibina, atau kejuruteraan tidak semestinya untuk menjadi seorang arkitek atau jurutera, tetapi ada peluang pekerjaan di jabatan perkhidmatan bomba.

Serta untuk melihat kerjaya dalam bidang kebombaan ini bukanlah sekadar untuk memadamkan api kebakaran, kerja menyelamat di dalam bencana atau kecelakaan tetapi lebih besar di dalam aspek pencegahan kebakaran juga.

SYARAT KELAYAKAN JADI AHLI BOMBA

Anda berminat nak jadi salah seorang ahli bomba? Dengan kelayakan SPM pun anda boleh mohon tau! Bagi yang kelayakan tinggi, anda boleh mohon jawatan dengan gred yang lebih tinggi.

Pegawai Bomba Gred KB19 – Kelayakan SPM

  • Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
    (Gaji permulaan pada Gred KB19: RM1,360.00) atau
  • SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji permulaan pada Gred KB19: RM1,418.12) atau
  • SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan serta SKM Tahap 3 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji permulaan pada Gred KB19: RM1,476.24)

Penolong Penguasa Bomba Gred KB29 – Kelayakan Diploma/ STPM/ STAM atau setaraf

  • Diploma dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji permulaan ialah pada Gred KB29: RM1,814.00);atau
  • Diploma dalam bidang kejuruteraan atau seni bina yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji permulaan ialah pada Gred KB29: RM1,889.09).

Penguasa Bomba Gred KB41 – Ijazah Sarjana Muda

  • Ijazah sarjana muda yang diiktiraf oleh Kerajaan darpiada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya
    (Gaji Permulaan pada Gred KB41 :RM2,094.00); atau
  • ijazah sarjan muda kepujian yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi penhajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji Permulaan pada Gred KB41 : RM2,300.73); atau
  • Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji Permulaan pada Gred KB41 :RM2,404.51); atau
  • Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji Permulaan pada Gred KB41 :RM2,508.29); atau
  • Ijazah Sarjana Muda Seni Bina yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
    (Gaji Permulaan pada Gred KB41 :RM2,612.07).

KELAYAKAN FIZIKAL AHLI BOMBA

Setiap ahli bomba mestilah memenuhi kelayakan fizikal seperti berikut:

  • tinggi sekurang-kurangnya 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa bersepatu;
  • berat badan sekurang-kurangnya 48kg bagi lelaki dan 46kg bagi wanita;
  • mempunyai ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26;
  • mempunyai sekurang-kurangnya 81sm ukuran dada yang biasa dan 86sm semasa menarik nafas (lelaki sahaja);
  • lulus dalam ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V6/9 tanpa menggunakan cermin mata;
  • pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat; dan
  • diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan yang berdaftar

DESKRIPSI TUGAS AHLI BOMBA IKUT KELAYAKAN

Tugas ahli bomba ini adalah berbeza mengikut kelayakan. Berikut adalah tugas bomba mengikut kelayakan:

Pegawai Bomba Gred KB19

  • Bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja operasi pemadaman dan penyelamatan, penyelenggaraan harian dan pemanduan jentera bomba serta melaksanakan kerja-kerja pengawasan di bilik kawalan dan pemeriksaan premis.

Penolong Penguasa Bomba Gred KB29

  • Mengawalselia dan mengemaskini pengurusan operasi kebombaan di dalam kawasan jagaan balai.
  • Mengawalselia pengurusan latihan kemahiran dan latihan harian di balai.
  • Mengurus dan mengawalselia pengurusan personel di balai.
  • Mengurus dan menjalankan pelaksanaan aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan di dalam kawasan jagaan balai.

Penguasa Bomba Gred KB41

Aspek Operasi

  • Memantau dan memastikan operasi pemadaman dan penyelamatan mencapai standard dan prosedur ditetapkan.
  • Mengawalselia urusan pengurusan khdimat tugas-tugas khas berdasarkan Akta Perkhidmatan Bomba 1988

Aspek Penguatkuasaan

  • Mengawalselia dan membuat pemeriksaan bagi tujuan penghapusan bahaya kebakaran di premis berdasarkan Akta Perkhidmatan Bomba 1988

Aspek Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran

  • Menjalankan pemprosesan pelan bangunan baru yang dikemukakan kepada jabatan berdasarkan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984

Aspek Latihan

  • Menjalankan program latihan dalam perkhidmatan kepada pegawai dan anggota

Aspek Penyelidikan, Perancangan dan Pembangunan

  • Menguruskan pembinaan balai-balai bomba baru dan rumah kakitangan di seluruh Malaysia selaras dengan pembangunan negara

Dah baca kerjaya sebagai seorang bomba dan berminat untuk menjadi ahli bomba? Anda boleh mohon secara online melalui SPA9 yang dibuka sepanjang masa! Klik panduan di bawah untuk panduan lengkap buat permohonan jawatan bomba:

PANDUAN MOHON JAWATAN BOMBA

Sumber

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma