Permohonan Program Baik Pulih Rumah Di Bandar Dibuka Untuk Pembaikan Rumah
Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman menawarkan Program Baik Pulih Rumah Di Bandar kepada isi rumah di negeri ini bagi mendapatkan kemudahan pembaikan rumah di bandar. Program ini merupakan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dibawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan sebagai inisiatif menyediakan keperluan tempat tinggal kepada golongan B40 bagi menikmati kehidupan berkualiti dan sejahtera.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah badan yang dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana dalam melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja baikpulih atau pembinaan rumah tersebut.
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut program bantuan ditawarkan dan panduan buat permohonan.
Isi Kandungan
JENIS BANTUAN DITAWARKAN
Antara bantuan ditawarkan melalui program ini adalah:
- Program baik pulih rumah bandar
- Program bina baharu rumah di bandar
JENIS RUMAH
Program Baik Pulih Rumah Di Bandar adalah bagi rumah-rumah jenis berikut:
- Rumah sesebuah
- Rumah berkembar
- Teres (landed property sahaja)
JUMLAH PERMOHONAN
Pegawai penyelaras PPKB di PBT dimohon untuk mendapatkan pengesahan daripada Unit Penyelarasan Projek di Jabatan masing-masing sebelum mengemukakan permohonan ke KPKT bagi mengelakkan kos pembinaan yang melebihi kadar bantuan dan jumlah permohonan melebihi keupayaan pelaksanaan oleh Jabatan.
SYARAT KELAYAKAN
Tawaran adalah terbuka kepada individu yang berkelayakan seperti berikut:
- KIR / AIR yang menetap di dalam kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (kawasan bandar);
- Disahkan status kemiskinan dalam sistem eKasih sama ada miskin tegar / miskin / terkeluar (kumpulan B40 sahaja);
- Bagi yang tidak berdaftar dalam eKasih, KIR / AIR hendaklah disahkan dalam Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri atau Daerah dan satu salinan minit mesyuarat perlu dikemukakan semasa permohonan;
- Sebarang kelulusan bagi program ini perlu diperaku oleh Jawatankuasa Perumahan di peringkat Kementerian terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada pihak PBT;
- Kerosakan rumah disebabkan faktor usia atau bencana tapi masih ekonomik untuk dibaiki berdasarkan kadar bantuan yang ditetap oleh Kementerian; dan
- Pembaikan melibatkan komponen-komponen asas rumah sahaja seperti bumbung, atap, siling, tangga, dapur, tandas, bilik air, pintu, dinding, lantai simen / kayu, tingkap, perpaipan, perparitan (perimeter drain / saluran keluar), pembentungan / kumbahan dan pendawaian elektrik serta tidak melibatkan struktur asas
Permohonan TIDAK LAYAK dipertimbangkan kepada pemohon berikut:
- Pembesaran dan pengubahsuaian bahagian dalam atau luar rumah sedia ada;
- KIR / AIR mendiami rumah setinggan;
- KIR / AIR mendiami rumah sewa;
- KIR / AIR telah menerima bantuan bina baru / baik pulih rumah sama ada dari KPKT atau mana-mana Agensi Kerajaan lain kecuali yang terlibat dengan musibah; dan
- Permohonan tidak disertakan dokumen sokongan yang lengkap
CARA MOHON
Sekiranya anda memerlukan bantuan ditawarkan untuk membaik pulih rumah sedia ada, anda boleh buat permohonan dengan melengkapkan borang permohonan dan sertakan bersama dokumen sokongan dinyatakan.
Muat turun borang permohonan di bawah:
BORANG PERMOHONAN BAIK PULIH RUMAH DI BANDAR
Borang PPKB mestilah disertakan bersama dokumen sokongan berikut:
- Salinan Kad Pengenalan KIR / AIR;
- Gambar penuh rumah dengan jelas (dari luar); dan
- Gambar kerosakan dengan jelas (sila nyatakan jenis kerosakan)
Kemukakan dokumen lengkap permohonan kepada alamat berikut:
- Majlis Perbandaran Sungai Petani,
Jabatan Pembangunan Masyarakat,
Aras 4, Jalan Patani,
08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman - Tel : 04 – 429 6666 sambungan 6869
- Faks : 04 – 429 6655