Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0: Kaedah Pelaksanaan Bantuan Makanan Pelajar IPT
Kementerian maklum peningkatan harga barangan di negara ini turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus yang menjadi kegusaran utama pelajar ketika ini. Sehubungan itu, KPT telah mengambil beberapa langkah bagi membantu pelajar IPT atasi kos kenaikan sara hidup.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memutuskan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia bagi memastikan kebajikan pelajar terus disantuni agar proses pembelajaran dan pengajaran di kampus tidak terjejas.
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut dan panduan membuat penebusan Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0.
Isi Kandungan
PENGEDARAN BAUCAR MAKANAN
Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi tempoh pertengahan pertama 2022 sehingga Jun lalu, sebanyak 369,504 baucar makanan telah diedarkan untuk manfaat seramai 176,083 orang pelajar universiti awam (UA) menerusi inisiatif tersebut.
Pelaksanaan inisiatif ini telah disokong melalui sumber peruntukan dalaman sebanyak RM5.5 juta hasil sumbangan wakaf, zakat, tajaan individu dan agensi-agensi kebajikan.
Cakna akan kenaikan harga barang yang turut memberi impak terhadap kuasa beli pelajar terutamanya bagi memenuhi keperluan makanan harian, KPT memutuskan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif itu dan melancarkan FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0.
Kesinambungan inisiatif tersebut turut direalisasikan dengan kerjasama erat dan sumbangan signifikan daripada Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (YKS) yang telah bersetuju untuk menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta lagi bagi memastikan kelestarian inisiatif ini.
SYARAT KELAYAKAN
KPT telah mengenalpasti penerima yang bakal menerima manfaat baucar makanan ini, iaitu terdiri daripada:
- Pelajar B40
- Pendapatan keluarga iaitu isi rumah berpendapatan di bawah RM4,850
KAEDAH PELAKSANAAN FOOD@CAMPUS
Pelaksanaan Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0 adalah seperti berikut:
Kaedah 1:
- IPT kenalpasti penerima
- Pemberian baucar digital
- Pelajar tebus di kafeteria
- Pembelian makanan
Kaedah 2:
- IPT kenapasti penerima
- Wang masuk ke akaun pelajar
- Pembelian makanan
Sebagai sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia, kerajaan amat prihatin dengan aspek kebajikan pelajar terutamanya dalam kalangan B40 justeru pelbagai program berbentuk bantuan juga intervensi telah dirangka dan dilaksanakan bagi tujuan menyantuni kebajikan mereka.