Inisiatif KPT Untuk Bantu Atasi Kos Kenaikan Sara Hidup Pelajar IPT Di Malaysia
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian mereka berjalan dengan lancar.
Kementerian maklum peningkatan harga barangan di negara ini turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus yang menjadi kegusaran utama pelajar ketika ini. Sehubungan itu, KPT telah mengambil beberapa langkah bagi membantu pelajar IPT atas kos kenaikan sara hidup.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui senarai inisiatif diambil oleh KPT bagi mengatasi masalah kos kenaikan sara hidup.
Isi Kandungan
INISIATIF KPT BANTU ATASI KOS KENAIKAN SARA HIDUP PELAJAR IPT
Berikut adalah antara inisiatif diambil oleh KPT bagi atas kos kenaikan sara hidup pelajar IPT:
Moratorium Bayaran Sewaan Pengusaha Perkhidmatan Makanan
Pelaksanaan moratorium bayaran sewaan selama 6 bulan mulai Julai 2022 kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT Awam agar tanggungan kos tersebut boleh diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.
Pembentukan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia
Kementerian juga turut bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk membentuk Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang dipengerusikan sendiri oleh KPT bagi menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.
Jawatankuasa ini turut disokong di peringkat institusi, melalui Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Naib Canselor. Rektor atau Pengarah bagi memperkemas pelakasaan ke atas keputusan dasar yang dibuat di peringkat Kementerian.
Inisiatif Food Bank Siswa & Food@Campus di IPT
Dalam pada masa sama, Kementerian akan memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai Kementerian, badan sukan kerajaan (NG), syarikat korporat dan badan-badan persendirian, Food Basket Siswa Keluarga Malaysia pula akan diperkenalkan sebagai inisiatif tambahan yang akan menawarkan menu makanan yang berkualiti dengan harga siling RM3.50 per hidangan.
Kemudahan Pengangkutan Pelajar
Selain itu, kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus turut akan ditambahbaik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap agar memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar.
Pihak KPT sentiasa komited dalam menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh negara ini selari dengan aspirasi kerajaan hari ini yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia dalam saat yang mencabar ini.