3 Point Penting Yang Mesti Disebut Ketika Perkenalkan Diri Dalam Temuduga
“Sila perkenalkan diri anda”. Ini adalah salah satu soalan yang PASTI akan ditanya dalam setiap temuduga. Walaupun nampak mudah tetapi kalau tak bersedia pasti calon akan gagap di soalan ini. Apa yang difahamkan dengan “perkenalkan diri” pastinya ceritakan serba sedikit tentang diri anda.
Namun calon perlu tahu, ada perkara yang perlu calon ceritakan, ada juga yang tidak perlu untuk soalan ini. Penemuduga tanya soalan seperti ini bukan suka-suka, tetapi mereka nak lihat keyakinan diri calon. Ada beberapa point penting yang calon perlu sebut ketika memperkenalkan diri dalam temuduga bagi meningkatkan nilai diri anda nanti.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui point penting yang mesti disebut dalam temuduga kerja.
Isi Kandungan
APA YANG MAJIKAN CARI DALAM JAWAPAN CALON?
Apa sebenarnya tujuan majikan minta calon perkenalkan diri sedangkan mereka boleh dapatkan maklumat calon dari resume?
- Penemuduga mahu perhati reaksi calon apabila ditanya soalan yang ringkas yang bersifat terbuka (open-ended question)
- Penemuduga mahu mendapat gambaran awal tentang karakter diri calon
- Penemuduga mahu melihat kesungguhan calon untuk mengaitkan nilai diri dengan jawatan yang dipohon
3 POINT YANG WAJIB DISEBUT
Berikut adalah beberapa point penting yang mesti disebut semasa perkenalkan diri dalam temuduga:
Rumusan Penglibatan / Pekerjaan Terbaru
Mulakan dengan rumusan tentang penglibatan atau pekerjaan terbaru atau yang berlaku sebelum anda dipanggil ke temuduga tersebut.
Contoh jawapan:
“Dua tahun sebelum ini saya bekerja sebagai ______ di mana saya didedahkan dan dilatih untuk mahir melakukan ______ dan mengendalikan________.”
Sebut Karakter Terbaik Dalam Diri
Sebut satu atau dua karakter terbaik dalam diri beserta bukti dalam bentuk pengalaman kerja dan kaitkan dengan pekerjaan yang dipohon.
Contoh jawapan:
“Saya seorang yang belajar sesuatu yang baru dengan pantas dan sukakan cabaran dalam melakukan kerja. Semasa di ________, saya terlibat secara langsung dalam ________. Untuk jawatan ini, saya percaya karakter tersebut amat mustahak untuk capai ________.”
Sasaran & Harapan Untuk Jawatan Dipohon
Tutupkan jawapan kepada soalan ini dengan meletakkan sasaran dan harapan untuk jawatan yang dipohon disertai dengan persamaan antara latar belakang syarikat dengan sasaran kerjaya sendiri.
Contoh jawapan:
“Saya berminat kepada jawatan ini kerana ia selari dengan sasaran kerjaya saya iaitu ________ dan ia bukan bersifat kontrak. Saya mahu bina kerjaya jangka masa panjang bersama syarikat yang _______.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu calon untuk buat persediaan hadir temuduga kerja nanti. Ingat, kunci kejayaan temuduga adalah anda perlu YAKIN dengan diri anda, barulah bakal majikan pun yakin nak ambil anda bekerja.