Siapa Yang Perlu Bayar Fidyah & Bila Perlu Bayar? Ini Penjelasan Yang Anda Perlu Tahu
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hukum puasa, haji dan yang berkaitan. Jika ia melibatkan hukum mengenai ibadah puasa, fidyah dikenakan kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) bulan Ramadhan.
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui golongan yang dikenakan fidyah dan tempoh bayaran fidyah bagi golongan-golongan ini.
Isi Kandungan
GOLONGAN YANG DIKENAKAN FIDYAH
Berikt adalah 5 golongan yang dikenakan Fidyah serta denda yang dikenakan akibat meninggalkan puasa:
Uzur Syar’ie & Sakit Yang Boleh Sembuh
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan kerana uzur syar’ie ( musafir, haid atau nifas atau wiladah ), sakit yang ada harapan sembuh.
- Denda dikenakan: Wajib Qada’ puasa
Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah
Orang Sakit Tiada Kemungkinan Sembuh
Orang yang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor tidak boleh berpuasa.
- Denda dikenakan:
– Tidak wajib Qada’ puasa
– Wajib bayar Fidyah pada tahun tersebut
Ibu Hamil Yang Bimbang Kesihatan Diri
Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di Bulan Ramadhan dengan sebab :
- Bimbang akan kesihatan dirinya sahaja.
Atau - Bimbang akan kesihatan dirinya dan janinnya / anaknya.
Denda dikenakan:
- Wajib Qada’ puasa
- Tidak wajib bayar fidyah
Sekiranya hingga datang Ramadhan berikutnya dia tidak ‘menggantikan puasanya, maka wajib dia Qada’ puasa dan membayar Fidyah.
Ibu Hamil Yang Bimbang Kesihatan Anak/ Janin
Ibu hamil atau yang masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa di Bulan Ramadhan dengan sebab :
- Bimbang akan kesihatan janinnya / anaknya sahaja.
Denda dikenakan:
- Wajib Qada’ puasa
- Wajib bayar Fidyah
Orang Yang Meninggal Dunia
Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.
- Denda dikenakan:
Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan
BILA MASA YANG SESUAI BAYAR FIDYAH?
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Al-Baqarah ayat 184:
“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Ulama bersepakat menyatakan waktu membayar fidyah bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan. Bagaimanapun waktunya luas dan tidak terhad pada satu tempoh waktu yang tertentu. Namun demikian digalakkan ia disegerakan kerana dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan jika bertangguh.
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah bulan Ramadan tahun yang berikutnya akan dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.