Cuti Bersalin Dinaikkan Kepada 98 Hari Manakala Cuti Paterniti Dinaikkan 7 Hari Bersyarat
Berita baik buat golongan wanita dan golongan lelaki yang bakal atau bercadang untuk menimang cahaya mata! Kerajaan kini telah meluluskan kenaikan cuti paterniti dan tempoh cuti bersalin yang bakal memberi kemudahan kepada golongan ini. Ini selepas Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh sokongan ahli Dewan Rakyat melalui undian suara.
Pindaan ini bertujuan untuk memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin supaya dapat menguruskan kelahiran anak dalam tempoh yang mencukupi. Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga.
Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut kenaikan kadar cuti paterniti dan cuti bersalin yang diumumkan oleh kerajaan.
Isi Kandungan
KEMUDAHAN BAHARU DILULUSKAN OLEH KERAJAAN
Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang melibatkan:
- Cuti Paterniti dinaikkan kepada 7 hari daripada 3 hari selepas Akta Kerja 1955 (Akta 265) dipinda di Dewan Rakyat pada 21 Mac 2022
- Pertambahan cuti bersalin dinaikkan kepada 98 hari daripada 60 hari
FAKTOR KELAYAKAN
Walaubagaimanapun, kenaikan cuti paterniti kepada 7 hari adalah bersyarat. Berikut adalah faktor kelayakan golongan suami mendapat kelayakan cuti paterniti 7 hari:
- Terhad kepada 5 kali kelahiran tanpa mengira bilangan isteri
- Telah bekerja setahun dengan majikan sama
- Melalui pindaan ini, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam
Pastikan pekerja yang bakal menyambut bayi memaklumkan kepada majikan 30 hari sebelum isteri bersalin. Cuti ini boleh diambil mulai dari hari isteri bersalin.
MANFAAT KENAIKAN TEMPOH CUTI
Pemberian kenaikan tempoh cuti ini adalah amat penting untuk:
- Pemberian cuti paterniti amat penting bagi menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil
- Selain peranan penting yang dimainkan sebagai suami atau bapa yang bertanggungjawab untuk menjaga keluarga
- Pekerja lelaki yang berkahwin berikan cuti paterniti supaya mereka dapat bersama-sama isteri menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan bayi yang baru dilahirkan
- Menyelesaikan urusan tertentu seperti urusan pendaftaran anak
Akta Kerja atau Akta 265 digubal bagi memberi perlindungan dan kebajikan kepada golongan pekerja melalui penetapan terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan minimum, berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.