“Anda Suka Kerja Berkumpulan?” Ini Cara Jawab Soalan & Menonjol Dalam Temuduga

Setiap orang yang pernah hadir temuduga sektor swasta atau kerajaan pasti pernah ditanya soalan “Anda suka bekerja berkumpulan atau bekerja sendiri?” Nampak mudah sahaja soalan ini, tetapi takkan lah anda nak beri jawapan sekadar “saya suka bekerja berkumpulan”. Jangan sesekali beri jawapan seringkas itu!

Sematkan dalam diri anda, apabila jawab soalan temuduga pastikan ada penjelasan sekali. Begitu juga dengan soalan ini. Panel penemuduga pasti nak dengar calon jawab “suka bekerja berkumpulan” berbanding daripada suka kerja bersendirian kerana setiap tempat kerja pasti akan memerlukan pekerja berganding bahu dalam sesuatu tugasan.

Nak tahu panduan jawab soalan ini dan contoh jawapan yang anda boleh jadikan rujukan, rujuk di perkongsian bawah.

PANDUAN JAWAB SOALAN

Untuk menjawab soalan “suka kerja sendiri atau berkumpulan” pastikan anda ingat beberapa perkara berikut:

  • Jangan sesekali jawab anda suka bekerja bersendirian walaupun itu hakikatnya!
  • Beri jawapan bahawa anda suka bekerja secara berkumpulan dan beri penjelasan kenapa anda suka kerja berkumpulan
  • Jawab dengan penuh keyakinan, jangan terlalu hafal jawapan
  • Bagi yang suka kerja bersendirian, pastikan anda belajar untuk selesa bekerja berkumpulan kerana anda perlu amalkan bekerja berkumpulan apabila kerja nanti

CONTOH JAWAPAN

Berikut adalah contoh soalan untuk rujukan calon sekiranya ditanya sama ada suka bekerja berkumpulan atau tidak:

“Saya mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Saya seorang yang boleh bertolak ansur dan menghormati keputusan kerja orang lain di sekeliling saya. Bekerja secara berkumpulan, saya amat sukakannya kerana ianya dapat memberi lebih banyak idea untuk membentuk idea yang terbaik. Saya juga tidak kisah jika bekerja seorang diri kerana usaha saya ini akan menjadikan diri saya lebih kreatif, inovatif dan lebih berdikari.”

Atau

“Saya berasa lebih bermotivasi apabila saya bekerja dalam kumpulan. Saya suka mempunyai orang lain di sekitar untuk berbagi pendapat dan idea. Daya pemikiran setiap orang tidak sama, pasti akan ada seorang yang berfikir luar jangka daripada yang lain berfikir. Dari situlah bagaimana saya nampak kerja berkumpulan ini berfungsi dengan baik berbanding daripada bekerja seorang diri. Tambahan pula, bagi pendapat saya setiap orang pasti mempunyai sesuatu idea yang berbeza untuk disumbang kerana semua orang mempunyai pengalaman serta pengetahuan tersendiri.”

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda menjawab soalan temuduga nanti. Ingat, jangan hafal jawapan ya! Pastikan anda baca, faham dan terapkan dalam diri anda bahawa anda adalah seseorang seperti yang anda sebut.

Selamat maju jaya!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma