”Kenapa Nak Mohon Kerja Lain?” Ini Contoh 4 Jawapan Yang Menyebabkan Calon Gagal Temuduga

Dalam membuat permohonan kerja, calon bukan sahaja perlu menyerlah daripada segi keterampilan malah personaliti juga harus dijaga. Majikan pada masa kini bukan sahaja melihat keputusan dan pencapaian di universiti, malah kemahiran berkomunikasi, berfikir dan menyelesaikan permasalahan juga diambil kira sebagai elemen utama yang harus diutamakan.

Bagi calon yang berhenti kerja untuk ”lompat kerja” lain pula, soalan yang sering ditanya oleh penemuduga di akhir segi temuduga adalah ”Kenapa berhenti kerja lama?”. Tahukah anda bahawa dalam menjawab soalan seperti ini ada caranya. Salah jawab, gagal lah anda!

Ikuti perkongsian ini bagi mengetahui beberapa perkara yang boleh menyebabkan calon gagal dalam menjawab soalan ini.

JAWAPAN YANG BOLEH MENYEBABKAN ANDA GAGAL TEMUDUGA

1 Dedahkan Unsur Negatif Syarikat Lama

Walaupun hakikatnya pengalaman di tempat kerja lama berbaur negatif, jangan sesekali anda kutuk syarikat dan majikan lama semasa temuduga. Memang bagus untuk berkata jujur semasa temuduga, tetapi dalam terlalu jujur berkata hal buruk tentang syarikat lama akan memakan diri anda.

Cuba anda kutuk habis-habisan tentang tempat kerja lama anda pada bakal majikan, ianya akan memberikan tanggapan yang kurang elok kepada mereka sebenarnya. Pastikan anda sentiasa menceritakan hal yang positif tentang syarikat lama. Jika tidak ada perkara positif sekalipun, cuba anda menyatakan bahawa anda berterima kasih kepada syarikat lama kerana memberikan pengalaman kepada anda sepanjang bekerja.

2 Menyatakan Bahawa Anda Suka Lompat Kerja

Memang betul anda perlu jujur dalam setiap jawapan yang diberikan kepada penemuduga, tetapi jangan terlalu jujur sewaktu temuduga jika menceritakan perangai buruk anda. Ada baik dan buruknya bersikap begini.

Walaupun hakikatnya anda memang seorang yang suka lompat kerja untuk memperoleh pengalaman di setiap syarikat-syarikat lama dan lompat kerja lagi untuk memperoleh gaji yang lumayan, jangan sebut perkara ini di hadapan penemuduga.

Perspeksi penemuduga terhadap jawapan yang seperti ini adalah mereka akan menganggap bahawa anda juga berkemungkinan untuk lompat kerja lagi apabila bekerja dengan mereka apabila mendapat tawaran gaji yang lebih tinggi. Kebanyakan syarikat berharap pekerja untuk kekal dengan syarikat dalam tempoh yang lama.

Baca juga: “Berapakah Gaji Yang Anda Inginkan?”. Ketahui Tips Jawab Soalan Temuduga Ini

3 Menyatakan Anda Stress Di Syarikat Lama

Kadang-kadang bakal majikan sengaja tanyakan soalan-soalan mendesak sampai anda tidak tahu mahu beri jawapan apa atau kita tidak sengaja menceritakan sebab sebenar kita berhenti kerja.

Apabila anda menjadikan alasan syarikat lama memberi tekanan kerja kepada anda dan anda tidak dapat bekerjasama dengan pasukan yang ditetapkan, bakal majikan akan beranggapan bahawa anda tidak mampu bekerja dalam keadaan yang rumit. Setiap pekerjaan pasti tidak lari dengan tekanannya tersendiri. Jadi jika anda tidak dapat tahan dengan tekanan syarikat lama, bagaimana pula anda mahu tahan dengan syarikat akan datang?

4 Tidak Suka Bekerja Dengan Rakan Sekerja Di Syarikat Lama

Bekerja dalam pasukan juga sangat penting ketika melakukan tugas. Jika anda seorang yang tidak pandai sesuaikan diri dengan keadaan sekitar dan dalam pasukan, sukar untuk anda mendapatkan sesebuah pekerjaan kerana setiap majikan akan mencari pekerja yang dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam sesebuah pasukan.

Kesimpulannya, anda perlu lah bijak dalam memberi jawapan kepada soalan sebab anda berhenti kerja kerana soalan seperti ini sebenarnya nak uji kredibiliti dan tahap profesional pada diri. Pastikan anda pandai memikat penemuduga dalam setiap temuduga anda.

Nak tahu jawapan yang TERBAIK untuk soalan seperti ini? Baca DI SINI.

Semoga bermanfaat!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma