Cara Mohon Sijil Peperiksaan SPM/PMR Yang Hilang Secara Online, Terus Sampai Rumah
Sijil peperiksaan sememangnya sangat penting buat anda untuk melanjutkan pengajian ataupun untuk memohon pekerjaan. Jadi, jika sijil peperiksaan ini hilang, anda pasti panik dan tidak senang duduk.
Kini, anda boleh buat permohonan salinan peperiksaan SPM/PMR/SPMU dan lain-lain secara online sahaja melalui e-Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)! Tak perlu susah-susah ke kaunter, salinan sijil yang dimohon akan terus dihantar ke rumah anda.
Lebih mudah, ikuti perkongsian di bawah untuk panduan membuat permohonan sijil peperiksaan yang hilang secara online.
Isi Kandungan
JENIS PERKHIDMATAN E-LEMBAGA PEPERIKSAAN
Antara perkhidmatan yang disediakan di e-lembaga peperiksaan KPM adalah:
- Permohonan Salinan Keputusan
- Semak Semula Keputusan Peperiksaan
- Semak Keputusan Peperiksaan
- Terjemahan Sijil Peperiksaan
CARA MOHON SIJIL PEPERIKSAAN SECARA ONLINE
Berikut adalah panduan mohon sijil peperiksaan SPM/PMR dan lain-lain yang hilang secara online:
- Pergi ke laman E-Lembaga Peperiksaan KPM di pautan elp.moe.gov.my
- Pergi ke bahagian Perkhidmatan
- Pilih Salinan Keputusan
- Pilih jenis sijil peperiksaan yang anda mahu mohon
- Masukkan No. Kad Pengenalan dan klik PAPAR BORANG PERMOHONAN
- Lengkapkan maklumat peribadi
- Semak semula butiran permohonan
- Pilih jenis Penghantaran Salinan (Ambil Sendiri/Pos +RM10)
- Caj dikenakan akan dipaparkan. Tanda semua kotak tanda setuju dan klik MOHON.
Siap! Dah selesai mohon, anda boleh buat pembayaran secara online bagi yang menggunakan perkhidmatan pos atau secara tunai bagi yang ambil perkhidmatan ambil di kaunter Lembaga Peperiksaan.
SEMAKAN STATUS PERMOHONAN
Untuk semak status permohonan semasa, ikut panduan berikut:
- Pergi ke laman SEMAKAN STATUS PERMOHONAN
- Pilih Salinan Keputusan
- Masukkan No. Kad Pengenalan dan klik SEMAK
TEMPOH PENGELUARAN SALINAN
Tempoh pengeluaran salinan pernyataan keputusan peperiksaan bagi permohonan di kaunter LP adalah seperti berikut:
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada atau selepas 1994 – satu (1) jam.
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada atau sebelum 1993 – tujuh (7) hari bekerja.
- Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada atau selepas 1998 – satu (1) jam.
- Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada atau sebelum 1997 – tujuh (7) hari bekerja.
- Lain-lain peperiksaan (STAM, SPMU, MPV, SPMV, SPVM, SVM, MCE, SPDM, SRP, LCE, MPAV, DLL) – tujuh (7) hari bekerja.
Bagi yang menggunakan perkhidmatan pos, anda hanya perlu tunggu salinan sijil sampai ke rumah sahaja tanpa perlu ke kaunter. Mudah kan? Dah tak perlu keluar rumah lagi.
Semoga bermanfaat!