Pengeluaran KWSP Dikenakan Zakat. Ini Syarat Pengiraan & Kaedah Bayaran
Tahukah anda pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikenakan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya?
Wang KWSP diwajibkan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa.
Kewajipan membayar zakat bagi pengeluaran adalah apabila memenuhi syarat “Sempurna Milik”. Baca selanjutnya info lanjut pembayaran zakat KWSP di perkongsian bawah.
Isi Kandungan
SYARAT SEMPURNA MILIK
Syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sejurus apabila:
- Pencarum diberi kebenaran kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada sudah capai umur atau pengeluaran lain yang dibenarkan di bawah Skim Pengeluaran KWSP)
- Tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah persekutuan kali ke-120.
BILA ZAKAT KWSP DIKENAKAN
Zakat KWSP dikenakan kepada pencarum apabila:
- Simpanan KWSP dikeluarkan
- Pengeluaran simpanan mencukupi nisab
- Jika simpanan KWSP yang dikeluarkan itu disimpan selama setahun dan cukup haul, maka ia akan dikenakan sekali lagi sebagai zakat wang simpanan
Dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 – 27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.
KADAR ZAKAT DIWAJIBKAN
Kadar Zakat KWSP yang wajib dikeluarkan sama ada ketika bersara, membeli rumah atau sebarang pengeluaran yang dibenarkan adalah sebanyak:
- 2.5% dari jumlah yang dikeluarkan
Contoh Pengiraan Zakat KWSP:
Puan Siti membuat pengeluaran penuh simpanan KWSP semasa umur 55 tahun sebanyak 20,000. Kadar zakat yang perlu Puan Siti bayar setelah membuat pengeluaran wang tersebut adalah seperti berikut:
- RM20,000 x 2.5% = RM500 sahaja
PENGELUARAN YANG DIKENAKAN ZAKAT
Pengeluaran Sebahagian (Milikan Belum Sempurna Sebelum 55 Tahun
- 2.5% daripada jumlah pengeluaran wang KWSP ialah jumlah wajib zakat
- Jika jumlah pengeluaran wang KWSP di bawah nisab, maka hendaklah dicampurkan bersama pendapatan lain
Setelah Mencapai Umur 55 Tahun (pemilikan sempurna)
- 2.5% daripada keseluruhan wang KWSP wajib dizakatkan, cara kiraan mengikut kaedah kiraan zakat wang simpanan
Pengeluaran Yang Tidak Diwajibkan Zakat
- Pengeluaran untuk kelangsungan hidup diri sendiri dan tanggungannya dalam menampung keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan (Hajah Asliyah)
Baca juga: Pengeluaran KWSP i-Sinar Dan i-Lestari Dikenakan Zakat Atau Tidak? Baca Penjelasan Ini
Pengeluaran Yang Diwajibkan Zakat
- Untuk tujuan selain menampung keperluan asas diri sendiri dan tanggungannya (Bukan Hajah Asliyah)
- Kadar 2.5% sekiranya mencapai nisab tanpa perlu menunggu haul
PEMBAYARAN ZAKAT SECARA ONLINE
Pembayaran zakat KWSP boleh dibuat secara online mengikut negeri masing-masing seperti berikut:
- Sabah: Majlis Ugama Islam Sabah
- Sarawak: Baitumal Sarawak
- Pahang: Zakat Pahang
- Perak: Zakat MAIPk
- Johor: Zakat MAIJ
- Negeri Sembilan: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
- Melaka: Pusat Zakat Melaka
- Terengganu: Zakat MAIT
- Kelantan: Zakat MAIK
- Perlis: Majlis Agama Islam Perlis
- Pulau Pinang: Zakat Pulau Pinang
- Kedah: Lembaga Zakat Kedah
- Wilayah Persekutuan: Pusat Pungutan Zakat MAIWP
- Selangor: Lembaga Zakat Selangor
Untuk maklumat lanjut mengenai pembayaran zakat, anda boleh hubungi Pusat Zakat negeri masing-masing.