Dijangkiti Covid-19, Petugas KKM Boleh Tuntut Dana Khas RM5 juta
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat telah memaklumkan semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menuntut dana khas melalui Dana MOHD FWD MY Heroes.
Dana khas yang disediakan adalah berjumlah RM5 juta dan akan diberikan sekiranya petugas KKM dijangkiti virus Covid-19 ketika bertugas menangani penularan pandemik berkenaan.
Dana tersebut merupakan inisiatif pihaknya bersama FWD Takaful Berhad bagi membantu petugas barisan hadapan KKM yang dijangkiti ketika bertugas dan ahli keluarga mereka.
Isi Kandungan
288 TUNTUTAN TELAH DITERIMA
Berdasarkan laporan KKM, terdapat lebih 406 petugas kesihatan di hospital kerajaan dijangkiti Covid-19 dan ia tidak termasuk ahli keluarga mereka.
Bagaimanapun katanya, sejak dana tersebut dilancarkan pada 1 April lalu, hanya 288 tuntutan diterima dengan nilai berjumlah RM732,000.
Daripada jumlah tersebut, Cuepacs dan FWD Takaful membuat pembayaran kepada satu tuntutan melibatkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak RM50,000, sejumlah 10 tuntutan kematian akibat lain-lain sebab (RM100,000) dan 274 tuntutan kemasukan ke wad (RM552,000).
Cuepacs menjangkakan tuntutan bertambah berdasarkan jumlah kes yang berlaku di Sabah dan menggalakkan semua ketua jabatan di KKM menghebahkan inisiatif Dana MOH FWD MY Heroes kepada kakitangan mereka.
PETUGAS KKM YANG TERLIBAT
Petugas barisan hadapan KKM yang terlibat dan layak menerima dana khas tersebut meliputi:
- Doktor
- Jururawat
- Paramedik
- Hospital
- Kakitangan KKM yang bertugas secara rasmi bagi menangani penularan Covid-19
Dana itu juga boleh dimanfaatkan kepada ahli keluarga petugas barisan hadapan yang mendapat jangkitan Covid-19 daripada mereka.
JENIS TUNTUTAN
Dana terbabit terbahagi kepada dua jenis tuntutan yang boleh dikemukakan iaitu pembayaran ihsan dan elaun pelepasan.
Pembayaran Ihsan
Pembayaran ihsan dibayar sekiranya berlaku kematian petugas barisan hadapan sahaja seperti berikut:
- RM40,000 akan dibayar sekiranya kematian disebabkan oleh jangkitan Covid-19.
- RM10,000 akan dibayar sekiranya kematian akibat lain-lain sebab.
Elaun Pelepasan
Untuk elaun pelepasan, tuntutan akan dibayar sekiranya petugas barisan hadapan dan ahli keluarga mereka dimasukkan ke mana-mana hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.
- RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi),
- RM2,000 dibayar sekiranya dimasukkan ke wad biasa
KELAYAKAN TUNTUTAN
Kelayakan bagi pembayaran elaun pelepasan untuk wad biasa bergantung kepada nasihat KKM yang mana dibuat berdasarkan pengesyoran oleh ketua jabatan petugas barisan hadapan berpandukan garis panduan oleh kementerian itu.
Ahli keluarga termasuk pasangan sah, anak-anak dan ibu bapa. Anak-anak mestilah berusia tidak kurang dari 25 tahun, belum berkahwin dan tidak bekerja.
PEMBAYARAN DANA
Pembayaran dana itu hanya untuk petugas barisan hadapan yang dijangkiti virus Covid-19 sewaktu bertugas dan percuma bermula 1 April lalu sehingga 31 Disember depan atau sehingga dana khas terbabit habis diguna pakai.
Untuk maklumat lanjut mengenai tuntutan dana tersebut, anda boleh rujuk terus di laman web www.cc4usolutions.my.