Perbezaan Antara Resume Dan CV Yang Ramai Masih Keliru
Setiap kali ingin membuat permohonan kerja, kita diminta untuk menghantar resume ataupun curriculum vitae (CV). Kita pun berhelai-helai hantar resume dan CV dengan harapan diterima kerja walaupun tak tahu apa yang membezakan dua dokumen ini.
Ramai sebenarnya masih keliru perbezaan antara resume dan CV. Memang betul, kedua-dua dokumen tersebut adalah bertujuan untuk memohon kerja. Walaupun isinya lebih kurang sama, ada beberapa perbezaan yang anda patut tahu.
Jangan jadikan kekeliruan ini punca kepada anda tidak mendapat sebarang temuduga. Ketahui perbezaan antara resume dan CV di bawah.
Isi Kandungan
TUJUAN RESUME & CV
Resume
Resume bertujuan untuk menerangkan secara ringkas mengenai tahap pendidikan, pengalaman kerja, kelayakan, kemahiran dan pencapaian seseorang individu. Resume merupakan dokumen yang biasa digunakan dalam proses permohonan kerja. Kebiasaannya, resume merangkumi 1 atau 2 muka surat sahaja. Terdapat tiga jenis resume, iaitu chronological, functional, dan combination formats. Jenis resume perlu dipilih mengikut kesesuaian pekerjaan yang dimohon.
Curriculum Vitae (CV)
Curriculum vitae (CV) bertujuan untuk menerangkan pengalaman dan kemahiran seseorang individu dengan lebih terperinci. Kebiasaannya, CV merangkumi 2 atau 3 muka surat. Antara aspek yang perlu ditekankan dalam CV ialah nama, maklumat untuk dihubungi (contoh: emel, no. telefon), latar belakang pendidikan, kemahiran, dan pengalaman. Selain itu, CV perlu menyenaraikan pengalaman dalam penyelidikan, penerbitan, dan pengajaran, kelayakan profesional dan anugerah serta maklumat yang berkaitan.
ASPEK PERBEZAAN ANTARA RESUME DAN CV
1. Muka Surat
Resume: Resume adalah ringkasan, jadi pastikan resume anda hanya dalam satu muka surat sahaja. Paling banyak pun 2 muka surat.
CV: Pastikan CV tidak melebihi 3 muka surat.
2. Gambar
Resume: Untuk resume, sertakan gambar adalah lebih baik. Resume adalah ringkasan atau review mengenai diri anda. Jadi majikan pasti berminat untuk lihat rupa paras anda. Pastikan anda gunakan gambar yang jelas dan kelihatan profesional.
CV: Tidak perlu disertakan gambar pada CV anda. Namun, tidak salah sekiranya anda mahu meletakkannya di dalam CV anda.
3. Format
Resume: Tiada format tetap digunakan untuk resume. Penghasilan resume calon adalah berdasarkan kreativiti masing-masing. Pastikan resume anda ringkas, padat dan menarik. Resume yang mempunyai info grafik juga boleh menarik minat penemuduga untuk membaca.
CV: Bagi CV pula, pastikan anda ikut format yang ditetapkan. Pastikan ia teratur dan kemas bagi memudahkan CV anda dibaca dan difahami. Banyak info yang boleh anda letakkan dalam CV.
4. Isi/ Info Wajib
Resume: Dalam resume, info penting yang perlu anda masukkan adalah seperti pencapaian, tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman kerja yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon.
CV: Dalam CV pula, pastikan info diri anda dilengkapi dengan latar belakang diri, latar belakang pelajaran, pengalaman kerja, pencapaian dan kemahiran serta rujukan.
Baca juga: Cara Ubah Resume Menjadi CV Dengan Mudah. Ikut Panduan Lengkap Ini
Baca juga: 5 Perkara Yang Patut Di Elakkan Dalam Resume Yang Ramai Tak Sedar
Semoga bermanfaat!