Selamatkah Plastik Dan Bungkusan Makanan Yang Dipesan Secara Online? Plastik Nak Simpan Atau Buang?

Sejak keluarnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, semakin ramai yang membuat pesanan secara online tidak kira buat makanan atau barangan keperluan. Maklumlah, zaman sekarang yang semuanya di hujung jari klik sahaja pasti semua sampai. Tambahan pula dengan kerisauan orang untuk berada di luar rumah yang berisiko untuk dijangkiti wabak COVID-19.

Jadi ramai yang memutuskan untuk hanya berada di rumah dan buat pesanan melalui online sahaja. Namun apabila buat pesanan online, kerisauan lain pula muncul di fikiran. Selamatkah makanan yang dipesan secara online itu? Ada kemungkinan tak bekas makanan tu dah tercemar dengan virus? Plastik nak simpan atau buang?

Tidak dapat dinafikan ramai mak-mak yang suka mengumpul plastik setiap kali membeli barangan dapur di pasaraya atau pun membeli makanan. Maklumlah, plastik itu banyak kegunaannya nanti. Namun bolehkah plastik itu disimpan ketika virus menular di merata tempat?

Ikuti perkongsian di bawah untuk meneliti apa kata pakar dan langkah pencegahan yang boleh kita lakukan.

APA KATA PAKAR?

Menurut kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini, beliau mengingatkan beberapa perkara iaitu:

  • Walaupun virus boleh ada pada barang, tetapi risiko jangkitan melalui barang adalah lebih rendah dibandingkan jangkitan melalui orang.
  • Jadi, risiko yang lebih tinggi ialah semasa mengambil barang yang dipesan sebab waktu itulah kita akan berjumpa orang.

Apabila kita ingin mengambil pesanan yang kita buat, pasti kita akan bertemu juga dengan orang yang mungkin sudah berhubung dengan pelbagai jenis orang yang kita tidak tahu dijangkiti atau tidak. Jadi apa yang perlu kita lakukan?

TINDAKAN KETIKA MEMBUAT PESANAN ONLINE

Selamatkah plastik dan bungkusan makanan yang dipesan secara online? Plastik nak Simpan atau Buang?

Perkara yang kita boleh lakukan sebagai pembeli adalah:

  • Kurangkan bertemu face to face dengan orang lain.
  • Buat pilihan untuk bayar secara online dan minta makanan diletakkan di depan rumah.
  • Apabila penghantar dah balik baru buka pintu dan ambil makanan atau pesanan anda.
  • Elakkan kontak rapat dengan penghantar makanan.

LANGKAH MEMBELI MAKANAN BUNGKUS DI KEDAI

Sebagai pembeli, anda layak untuk memilih kedai yang prihatin terhadap pencegahan penyakit berkenaan. Pilihlah kedai yang mengawal dan menguruskan had pelanggan di dalam kedai.

  • Pastikan kedai yang anda masuk tidak dibiarkan sesak dengan orang.
  • Pastikan kedai yang anda masuk mengutamakan pelanggan untuk mencuci tangan atau guna hand sanitizer sebelum masuk ke kedai.

Selamatkah plastik dan bungkusan makanan yang dipesan secara online? Plastik nak Simpan atau Buang?

Jika anda jumpa kedai sebegitu, bolehlah anda beli dengan tenang tanpa berasa risau kerana pengurusan kedai itu bagus dan ambil berat tentang jangkitan kuman dan ambil langkah pencegahan penyakit itu.

Selepas selesai membeli barangan di kedai anda perlu lakukan beberapa langkah pencegahan di rumah.

TINDAKAN SELEPAS MEMBELI BARANG

Selesai membeli barang di luar, pastikan anda ikut langkah berikut apabila pulang ke rumah:

  1. Letak beg plastik dari kedai ke dalam singki. Jangan letak di atas meja atau kabinet.
  2. Pindahkan makanan daripada bekas ke pinggan di rumah
  3. Buang bekas atau plastik makanan (seeloknya asingkan mengikut kategori barangan kitar semula)
  4. Paling penting: betul-betul sebelum makan, basuh tangan hingga bersih menggunakan air dan sabun
  5. Kalau ada makanan lebih yang nak disimpan, pindahkannya ke dalam bekas sendiri di rumah dan elakkan guna bekas dari luar.
  6. Jangan lupa cucilah singki dan kawasan sekitarnya sesudah makan dengan menggunakan cecair sanitasi yang sesuai yang boleh hapuskan SARS-CoV-2.

TINDAKAN JIKA INGIN MENYIMPAN BEG PLASTIK

Jika anda memang suka menyimpan beg plastik dan berasa ‘sayang’ untuk membuangnya, pastikan anda betul-betul nyahkuman beg plastik yang anda dapat. Lebih baik jika anda rendam beg plastik tersebut ke dalam larutan air garam atau sabun dan bilas sebanyak kali yang mungkin.

Selesai mencuci, basuh pula tangan anda dan keringkan beg plastik di cuaca yang panas.

Walaupun ada cara untuk menghapuskan virus dari luar, kaedah yang terbaik bagi betul-betul mencegah daripada jangkitan ini adalah dengan masak sendiri di rumah kerana kita sendiri lebih tahu tahap kebersihannya. Beg plastik pula sebenarnya tidak sesuai untuk dikumpul pada waktu sekarang. Apa yang penting sekali adalah sentiasa cuci tangan tidak kira di mana kita berada. Selamat beramal!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma