Permohonan Tajaan Program Pelajar Cemerlang (PPC) JPA Kini Dibuka

Sukacita dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini telah membuka tawaran tajaan Program Pelajar Cemerlang (PPC) buat pelajar di Malaysia yang berminat nak sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pelawaan penajaan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan Ijazah Pertama/ Sarjana tajaan JPA untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan  Kedoktoran dalam pelbagai bidang yang telah dikenalpasti oleh Jabatan ini.

Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat lanjut program tajaan ditawarkan dan panduan buat permohonan.

TEMPOH PERMOHONAN

permohonan Program Pelajar Cemerlang (PPC) bagi tahun 2022 dibuka sepanjang tempoh berikut:

  • 15 hingga 24 Julai 2022 (jam 5 petang)

BIDANG FOKUS

Penajaan ini akan memfokuskan dalam bidang pengajian meliputi bidang keutamaan negara dan strategik serta lain-lain bidang yang ditetapkan oleh Kerajaan. Antara bidang yang difokuskan adalah:

  • Sains dan Teknologi
  • Sains Sosial

Penajaan akan dipertimbangkan kepada pemohon yang mendapat tempat pengajian dalam negara di Universiti Awam, Government-Linked Universities (Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL)) atau di universiti-universiti di luar negara seperti dinyatakan.

SYARAT PERMOHONAN

Calon-calon yang berminat mestilah memenuhi syarat umum dan khusus permohonan seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia berumur tidak lebih 26 tahun bagi pengajian peringkat Sarjana dan 30 tahun bagi pengajian peringkat Kedoktoran (Ph.D) pada tahun permohonan;
  • Mempunyai kesihatan yang baik;
  • Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA;
  • Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana pihak di peringkat pengajian yang sama;
  • Pelajar merupakan pelajar tajaan JPA semasa peringkat Ijazah Pertama / Sarjana bagi memohon ke peringkat pengajian yang lebih tinggi;
  • Pelajar mestilah telah menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan tidak pernah membuat sebarang pelanjutan bagi pengajian semasa di peringkat Ijazah Pertama / Sarjana;
  • Pelajar yang layak memohon adalah pelajar yang telah menamatkan pengajian peringkat Ijazah Pertama atau Sarjana pada tahun 2020 dan 2021 hingga tarikh tutup permohonan penajaan ini di mana ianya bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan tempat pengajian pada peringkat Sarjana atau Kedoktoran (Ph.D);
  • Pelajar semasa memohon dan sepanjang tempoh penajaan mestilah tidak terikat dengan kontrak perkhidmatan sama ada secara tetap atau kontrak atau sambilan di agensi awam termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau agensi swasta supaya pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang pelajar. Obligasi ikatan kontrak berkhidmat bagi penajaan JPA yang diterima terdahulu hendaklah diuruskan sewajarnya berdasarkan dasar-dasar penajaan yang berkuat kuasa
  • Pelajar telah mendapat tawaran bersyarat / tanpa syarat daripada universiti dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa;
  • Program Ijazah Sarjana yang dimohon bukanlah program yang dinilai taraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam. Sebagai contoh, Kerajaan telah menetapkan bahawa kelayakan Master of Engineering (M.Eng) dari universiti-universiti di United Kingdom hanya layak digunakan untuk tujuan pelantikan ke jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan atau RIBA Part II bagi pengajian senibina yang mana ia hanya diiktiraf setaraf Ijazah Sarjana Muda Senibina sahaja;
  • Pelajar perlu memulakan pengajian sebelum atau pada 31 Disember 2022; dan
  • Mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya 9 bulan bagi pengajian peringkat Sarjana dan 24 bulan bagi pengajian peringkat Kedoktoran (Ph.D).

CARA MOHON

Sekiranya anda berminat dengan program tajaan ditawarkan dan memenuhi syarat kelayakan dinyatakan di atas, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di Portal eSILA di pautan berikut:

Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini dan meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan. Calon hendaklah memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan Permohonan Penajaan Program Pelajar Cemerlang Tahun 2022 sebagai bukti permohonan lengkap telah dibuat.

Semak syarat khusus dan maklumat lebih lanjut tajaan ditawarkan di bawah:

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma