3 Situasi Bayaran Zakat Bagi Pengeluaran Khas KWSP Yang Umat Islam Perlu Tahu
Wang caruman KWSP yang dikeluarkan oleh pencarum adalah dikategorikan sebagai al maal al mustafad, iaitu apa-apa pendapatan atau harta yang dimiliki dengan cara upah, ganjaran, pemberian, pindahan dan lain-lain pendapatan yang bukan berpunca daripada pulangan simpanan pelaburan atau aktiviti jual beli.
Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan permohonan pengeluaran khas simpanan KWSP sehingga RM10,000 akan dibuka mulai 1 April 2022 buat semua Ahli KWSP. Anda salah seorang yang telah membuat permohonan pengeluaran khas ini? Pastikan anda ambil tahu ya pengeluaran khas ini dikenakan zakat atau tidak!
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui 3 situasi bayaran zakat bagi pengeluaran khas KWSP.
Isi Kandungan
KADAR ZAKAT KWSP
Kadar Zakat KWSP yang wajib dikeluarkan sama ada ketika bersara, membeli rumah atau sebarang pengeluaran yang dibenarkan adalah sebanyak:
- 2.5% dari jumlah yang dikeluarkan
Contohnya sekiranya anda buat pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000, kadar zakat KWSP yang perlu dibayar adalah sebanyak RM250 (RM10,000 x 2.5%).
3 SITUASI BAYARAN ZAKAT BAGI PENGELUARAN KHAS KWSP
Situasi 1 – Serta Merta
Diwajibkan zakat SERTA MERTA sekiranya pendapat tahunan seseorang pencarum KWSP itu sudah melebihi nisab tahun semasa.
Contohnya: Ahmad diwajibkan ke atasnya zakat pendapatan bagi tahun 2022. Pada tahun berkenaan juga Ahman mengeluarkan wangnya di KWSP (sempena Pengeluaran Khas RM10,000).
Maka, Ahmad diwajibkan zakat serta merta ke atas pengeluaran khas ini (walaupun tidak melebihi nisabi).
Situasi 2 – Cukup Haul
Menunggu sehingga akhir tahun (haul) kerana yakin pendapatan tahunan mencapai nisab setelah wang pengeluaran KWSP ini digabungkan.
Contohnya: Abu belum diwajibkan ke atasnya zakat pendapatan (tahun 2022). Pada tahun yang sama, Abu mengeluarkan wang KWSP (Pengeluaran Khas RM10,000).
Namun Abu yakin sekiranya digabungkan wang KWSP dan pendapatan tahunannya, beliau akaun diwajibkan membayar zakat pendapatan bagi tahun 2022. Jadi, Abu boleh menunggu hingga hujung tahun (haul) untuk gabung kesemua pendapatannya pada tahun berkenaan. Sekiranya tidak mencapai nisab juga, maka tidaklah wajib.
Situasi 3 – Tidak Wajib
Tidak diwajibkan zakat kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan dan pengeluaran bertujuan memenuhi keperluan asasi diri dan keluarga.
Contohnya: Ahli tidak bekerja dan tidak mempunyai sebarang pendapatan. Pengeluaran Khas Wang KWSP RM10,000 itu satu-satunya punca pendapatan Ali bagi tahun ini.
Jadi, Ali tidak diwajibkan zakat ke atasnya kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan serta pengeluaran itu bertujuan untuk memenuhi keperluan asasi akibat pendapatannya yang terjejas.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mengetahui sama ada anda dikenakan zakat atau tidak selepas buat pengeluaran khas KWSP.