Senarai Kesalahan Yang Boleh Dikenakan Kompaun RM1000 Sekiranya Anda Langgar PKP. Jangan Buat Perkara Ini

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini memasuki hari ke-9 untuk fasa kedua, namun masih ramai yang ingkar dengan arahan itu sehingga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas dengan menahan mereka yang terlibat.

Setakat semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan tangkapan individu yang melanggar arahan PKP meningkat 13 peratus atau 454 orang pada Selasa, berbanding 403 (Isnin).

Susulan peningkatan kes ingkar PKP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah lebih tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP, bermula semalam.

Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui jenis kesalahan semasa PKP yang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

SENARAI KESALAHAN KETIKA KPK

1. Berada Di Atas Jalan Raya Tanpa Sebab

Seperti yang kita tahu, semua orang diminta untuk berada di rumah sepanjang tempoh PKP bagi membantu negara kita memutuskan rangkaian wabak COVID-19.  Individu yang gagal memberikan alasan yang munasabah untuk berada di luar dan gagal menunjukkan dokumen berkaitan akan dikenakan kompaun.

Melalui sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis dan tentera, setiap pemandu kenderaan akan disoal tentang perjalanan mereka. Hanya individu yang memberi alasan munasabah seperti pergi ke kerja dan membeli barang keperluan sahaja akan dibenarkan teruskan perjalanan. Segala alasan lain akan dipertimbangkan.

2. Berniaga Pada Waktu Larangan

Sebelum tamatnya PKP fasa pertama, Menteri Pertahanan telah membuat pengumuman mengenai SOP baru bagi PKP fasa kedua. SOP baru itu adalah termasuk semua jenis perniagaan haruslah mematuhi waktu perniagaan yang dibenarkan sahaja iaitu pada jam 8 pagi hingga 8 malam.

Selain daripada waktu berkenaan, peniaga yang masih berniaga selepas 8 malam akan dikenakan kompaun tanpa budi bicara. Orang awam pula tidak dibenarkan berada di luar selepas jam 10 malam.

3. Berkumpul Dalam Jumlah Yang Ramai

Ada pula kes orang awam ditahan kerana berada di luar kawasan rumah untuk melepak, bermain bola, menziarahi jiran dan lain-lain. Jangan fikir pihak berkuasa tidak melakukan rondaan di kawasan perumahan dan bangunan ya.

Melalui rondaan yang dilakukan, kebanyakan penghuni rumah flat ramai yang melepak di bawah bangunan kerana bosan berada di rumah. Individu yang berbuat demikian juga boleh dikenakan denda.

4. Membiarkan Kedai Sesak Dengan Pelanggan

Pihak berkuasa kerap melakukan rondaan di kawasan kedai runcit atau pasaraya yang selalunya ramai dengan pelanggan. Jadi bagi pihak pengurusan kedai yang tidak mengawal jumlah kemasukan pelanggan di dalam kedai atau biarkan pelanggan masuk beramai-ramai dalam satu masa juga boleh dikenakan denda.

Pihak pengurusan kedai juga sepatutnya membuat garisan had jarak sosial di kawasan kaunter atau di luar kedai.

5. Berjemaah Di Masjid

Seperti yang kita tahu, seperti premis lain, masjid juga ditutup sepanjang tempoh PKP bagi  mengelakkan orang ramai berkumpul bagi tujuan berjemaah atau majlis keagamaan.

13 orang jemaah yang menunaikan solat Isyak di sebuah masjid di Telok Medan, ditahan pihak berkuasa selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada 29 Mac lepas. Ini menyebabkan mereka dikenakan kompaun setiap seorang.

6. Mengadakan Majlis

Seperti makluman kita semua, semua jenis majlis adalah dilarang untuk dilaksanakan. Jika ada orang masih melaksanakan apa pun jenis majlis dalam tempoh PKP boleh dikenakan denda kerana majlis akan menyebabkan berlakunya pengumpulan orang awam di satu tempat.

CARA BAYAR KOMPAUN PKP

Individu yang didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Senarai Kesalahan Yang Boleh Dikenakan Kompaun RM1000 Sekiranya Anda Langgar PKP. Jangan Buat Perkara Ini

Bayaran kompaun hendaklah dibuat di pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 2 minggu dari hari didenda. Kompaun yang dikenakan terhadap pesalah dikatakan dapat mengatasi masalah kesesakan di penjara. Namun jika pesalah gagal membayar kompaun, mereka akan dikenakan penjara.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya, untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma