Tak Pernah Dapat Panggilan Temuduga SPP? Ini 6 Punca Utama Permohonan Gagal
Bekerja dalam sektor kerajaan sememangnya impian setiap orang. Namun nak dapat tawaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk mengikuti ujian dan temuduga bukan satu perkara yang mudah. Tak semua orang berpeluang untuk mendapat tawaran ini.
Yang menjadi persoalan ramai orang sekarang adalah, sudah lama mohon jawatan dalam Sistem MySPP, tetapi masih tiada apa-apa panggilan lagi. Kenapa perkara ini terjadi? Apa yang menyebabkan permohonan anda gagal?
Untuk ketahui sebab-sebab kenapa calon masih tidak dipanggil untuk apa-apa tawaran jawatan dalam SPP, ikuti perkongsian di bawah.
Isi Kandungan
SEBAB CALON TIDAK MENDAPAT TAWARAN SPP
1 Tiada Kekosongan Jawatan Yang Dipohon
Apabila anda mengisi permohonan dalam sistem MySPP, adakah anda semak sama ada jawatan yang dipohon ada kekosongan atau tidak? Kebanyakan calon hanya main isi sahaja jawatan yang ada dalam SPA. Memang lah banyak jawatan yang ditawarkan, tetapi kekosongan jawatan belum tentu ada ditawarkan.
Rujuk: Sebelum Mohon Kerja SPA, Rujuk Trend Pelantikan Jawatan Ini Untuk Elak Tersalah Pilih Jawatan
2 Tidak Kemaskini Jawatan Dipohon
Bahagian ini banyak calon yang lalai dan terlupa. Atau mungkin juga tidak tahu? Sebenarnya anda kena rajin kemaskini maklumat jawatan yang domohon dalam sistem MySPP kerana kekosongan jawatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan sentiasa berubah-ubah.
Jadi anda perlulah rajin buka laman web SPP dan kemaskini permohonan jawatan anda. Pastikan anda masukkan jawatan yang ada kekosongan dalam senarai jawatan yang dipohon. Jika anda tidak kemaskini permohonan jawatan, ada kemungkinan jawatan yang anda mohon itu masih tiada kekosongan sebab itulah anda tidak dipanggil.
3 Tidak Melepasi Syarat Yang Ditetapkan
Antara sebab-sebab utama pemohon tidak berjaya dalam urusan panggilan temu duga yang dijalankan adalah disebabkan calon tidak melepasi asas tapisan semasa iaitu syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia berdasarkan jawatan yang dipohon.
Contohnya bagi permohonan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang mana pihak SPP hanya memilih pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam pendidikan atau bidang berkaitan. Sekiranya anda mohon jawatan tersebut dengan kelayakan SPM, permohonan anda tidak akan berjaya. Jadi penting untuk anda semak syarat kelayakan terlebih dahulu.
Baca: Senarai Jawatan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) Yang Boleh Dimohon Dengan Sijil SPM
4 Permohonan Tidak Lengkap
Untuk memastikan anda ditawarkan kekosongan jawatan oleh SPA, sangat penting untuk anda lengkapkan permohonan anda. Jika anda rasa anda sudah buat 3 perkara di atas, tetapi sudah bertahun masih tiada panggilan jawatan SPP, cuba anda semak balik maklumat permohonan anda di portal MySPP.
Pastikan maklumat peribadi, akademik, ko-kurikulum, tambahan dan permohonan anda lengkap. Ada satu lagi yang ramai lalai, iaitu PENGAKUAN PEMOHON. Pastikan anda sahkan permohonan anda supaya permohonan anda dihantar dengan sempurna. Permohonan yang tidak lengkap akan menyebabkan kegagalan pendaftaran dalam bank data SPP.
5 Permohonan Luput Tempoh Sah Laku
Bagi yang sudah lama biarkan akaun SPP berhabuk kerana sudah lama tidak dibuka, sudahkan anda semak sama ada permohonan anda yang terdahulu masih dalam tempoh sah laku? Tempoh sah laku sesuatu permohonan adalah salam masa 1 tahun selepas mohon. Jika permohonan anda sudah lepas tempoh sah laku, tidak hairanlah jika anda masih tidak mendapat tawaran.
Cuba anda cek balik sekarang!
6 Jawatan Dipohon Tidak Sesuai Dengan Kelulusan Akademik
Setiap calon mestilah pastikan Gred jawatan yang dipohon sesuai dengan kelulusan akademik. Contohnya bagi lepasan SPM boleh semak Senarai Jawatan Kerajaan SPP Yang Boleh Dipohon Dengan Kelulusan SPM.
Maklumat mengenai kesesuaian jawatan yang dipohon dengan kelulusan akademik boleh didapati di ruangan Maklumat Jawatan (Gaji/Syarat Lantikan/Deskripsi Jawatan). Pemohon yang memiliki ijazah dibenarkan memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk lebih rendah, walau bagaimanapun hanya sehingga peringkat Diploma/STP/STPM/STAM/HSC sahaja (one step lower).
BILAKAH CALON AKAN DIPANGGIL TEMUDUGA?
Semua pemohon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia akan dipertimbangkan panggilan temu duga sekiranya:
- Terdapat kekosongan jawatan yang dipohon
- Memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang dipohon
- Melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan
Jadi bagi calon yang masih tidak dapat panggilan oleh SPP setelah sekian lama memohon jawatan, cuba anda semak balik perkara-perkara yang dibincangkan di atas. Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan dan membantu calon yang menghadapi masalah tidak mendapat tawaran SPP.
Sebagai peringatan, pastikan anda tidak sambil lewa dalam memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam kerana setiap inci maklumat permohonan akan diambil kira. Rajinkan diri untuk sentiasa semak laman SPP untuk tahu kekosongan jawatan semasa.
Selamat maju jaya!