Senarai Pengubahsuaian Kenderaan Yang Dibenarkan & Tidak Dibenarkan Serta Boleh Disaman
Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah menetapkan keperluan undang-undang mengenai sebarang pengubahsuaian kepada kenderaan sebelum dan selepas pendaftarannya. Untuk makluman anda, ada sesetengah pengubahsuaian adalah dibenarkan dan ada juga yang tidak dibenarkan serta boleh dikenakan saman jika disabitkan kesalahan.
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan pihak berkuasa yang mula tegas dalam mengambil tindakan terhadap kenderaan-kenderaan yang diubahsuai dan menyalahi undang-undang.
Bagi mengelakkan anda disaman kerana tidak mematuhi undang-undang, anda boleh semak senarai pengubahsuaian yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di bawah.
Isi Kandungan
PENGUBAHSUAIAN MOTOSIKAL
Dibenarkan Tanpa Kelulusan
Pengubahsuaian atau pemasangan aksesori pada motosikal yang boleh dilakukan tanpa mendapatkan kelulusan daripada JPJ adalah seperti berikut:
- Pemasangan pengadang angin
- Pemasangan penutup lampu fibreglass (fairing)
- Pemasangan penutup enjin fibreglass pada bahagian hadapan motosikal
- Pemasangan disc brake hadapan atau belakang bertujuan meningkatkan tahap kecekapan brek.
Tidak Dibenarkan
Pengubahsuaian atau pemasangan aksesori pada motosikal yang tidak dibenarkan adalah seperti berikut:
- Pemasangan foot rest melibatkan pengubahsuaian tapak / kedudukan asal.
- Penukaran / pengubahsuaian ekzos yang tidak mengikut spesifikasi asal pengilang.
- Pemasangan cover sets / fairing yang mengubah indentiti asal.
PENGUBAHSUAIAN KENDERAAN PERSENDIRIAN
Dibenarkan Tanpa Kelulusan
Terdapat pengubahsuaian atau pemasangan aksesori yang boleh dilakukan tanpa mendapatkan kelulusan daripada JPJ. Namun begitu, pengubahsuaian atau pemasangan aksesori tersebut mestilah mengikut panduan yang telah ditetapkan. Senarai pengubahsuaian tersebut adalah seperti berikut:-
- Pemasangan air spoiler, side skirt dan aerofoil pada kenderaan.
- Pemasangan door visor pada kenderaan.
- Pemasangan tambahan bumper pada bahagian hadapan atau belakang kenderaan dan protecting guards (Kangaroo Bar) pada bahagian hadapan kenderaan.
- Pemasangan rim dan tayar yang lebih besar.
- Pemasangan sun roof / moon roof / canvas top di atas bumbung kenderaan
- Pemasangan membawa tangga / bot / surf board
- Penukaran kotak gear manual / automatik
- Pemasangan kanopi / kanvas
- Pemasangan Winch, Winch Bar, Side Step, Rear Bar dan Snorkel
- Pemasangan roof-rack (para bumbung) / Bike Carrier
- Pemasangan spotlight
Tidak Dibenarkan
Pengubahsuaian atas pemasangan aksesori pada kenderaan persendirian yang tidak dibenarkan adalah seperti berikut:
- Pemasangan bodypart / bodykit yang menyebabkan perubahan pada identiti kenderaan.
- Pemasangan rollcage sebagai aksesori dalaman pada kenderaan.
- Pemasangan lampu HID secara retrofit.
- Penukaran sistem pacuan.
- Lampu berkelip-kelip (selain daripada lampu penunjuk arah dan lampu berjaga-jaga) pada bahagian hadapan atau belakang kereta.
- Pemasangan apa – apa lampu tambahan selain warna putih / amber pada bahagian hadapan dan selain warna merah / amber pada bahagian belakang.
- Pemasangan hon yang berirama atau hon dengan dua nada.
- Pemasangan cermin gelap atau tinted film pada cermin hadapan dengan ketelusan cahaya kurang daripada 70%.
- Pemasangan cermin gelap atau tinted film pada cermin sisi dengan ketelusan cahaya kurang daripada 50% dan belakang dengan ketelusan cahaya kurang daripada 30%.
PENGUBAHSUAIAN YANG PERLU DAPATKAN KEBENARAN
Berikut adalah jenis-jenis pengubahsuaian pada kenderaan persendirian dan perdagangan yang perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada JPJ:
Kenderaan Persendirian
- Pengubahsuaian ke atas kenderaan OKU.
- Penukaran sistem bahan bakar.
- Penukaran enjin.
- Status kenderaan Vintaj/Klasik
- Penukaran Panel struktur kenderaan (kes kemalangan)
Kenderaan Perdagangan
- Pengubahan ke atas bes roda kenderaan.
- Pemasangan iklan (utk kenderaan decontrolled sahaja)
- Mengubah bilangan tempat duduk
- Penukaran Had Berat
- Pemasangan Pagar Sisi & Kanvas
- Penukaran Kabin
- Pemasangan Lantai/Lapik Besi
- Mengubah Kegunaan Kenderaan
- Penukaran Gandar
- Penukaran Jenis Badan
Untuk pengubahsuaian di atas atau yang sama dengannya, permohonan boleh dikemukakan kepada Bahagian Kejuruteraan Automotif di JPJ Negeri yang berhampiran.