Calon Peperiksaan SPM/STPM/Setaraf Diminta Buat Pengisytiharan Kesihatan Dalam Tempoh Peperiksaan
Keadaan pandemik Covid-19 di negara kita yang kini membimbangkan telah memberi kerisauan kepada ibu bapa, guru dan calon peperiksaan awam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan duduki peperiksaan penting tidak lama lagi.
Untuk makluman anda, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan seperti biasa seperti JADUAL SPM 2020 yang ditetapkan iaitu bermula 22 Februari 2021 ini memandangkan peperiksaan penting ini memang tidak boleh ditangguhkan lagi. Oleh itu, calon yang akan duduki peperiksaan SPM diminta buat pengisytiharan kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan.
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui kaedah pengisytiharan kesihatan bagi calon sekolah dan calon persendirian.
Isi Kandungan
CALON YANG PERLU RENTAS DAERAH
Calon peperiksaan TIDAK PERLU mendapatkan surat kebenaran pihak polis bagi merentas daerah/negeri untuk hadir ke pusat peperiksaan.
- Calon hanya perlu mengemukakan dokumen pengesahan sebagai calon peperiksaan awam seperti Penyataan Pendaftaran Peperiksaan/ Laporan Pendaftaran Kemasukan Calon sekiranya diminta oleh pihak PDRM
PENGISYTIHARAN KESIHATAN SEMUA CALON
Semua calon peperiksaan termasuk calon sekolah dan persendirian diminta untuk buat pengisytiharan kesihatan setiap hari melalui salah satu kaedah berikut:
- Calon boleh mendapatkan Borang Deklarasi Saringan Covid-19 yang disediakan oleh pihak sekolah/ Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri (SPP,JPN). Borang yang telah lengkap diisi perlu diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan; atau
- Calon boleh memuat turun Borang Deklarasi Saringan Covid-19 dari postal rasmi Lembaga peperiksaan Malaysia melalui pautan mpm.edu.my. Borang yang telah lengkap diisi perlu diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan
Borang Deklarasi Saringan Covid-19 bertujuan untuk memastikan maklumat tahap kesihatan calon dimaklumkan dengan tepat bagi membantu petugas peperiksaan mengurus calon mengikut SOP yang bersesuaian dan peperiksaan dapat berlangsung dengan lancar.
TINDAKAN CALON YANG MEMPUNYAI GEJALA
Calon yang hadir ke pusat peperiksanaan dan mempunyai suhu badan melebihi 37.5 adalah TIDAK DIBENARKAN menduduki peperiksaan.
- Bagi calon sekolah, calon/ibu bapa hendaklah menghubungi pihak sekolah. Manakala bagi calon persendirian, calon/ ibu bapa hendaklah menghubungi pihak SPP, JPM tempat calon mendaftar.
- Calon dikehendaki mendapatkan rawatan di klinik/hospital untuk mendapatkan surat tahap kesihatan diri
- Sekiranya calon disahkan bebas gejala Covid-19, calon dibenarkan duduki peperiksaan di pusat peperiksaan
- Setelah mendapatkan rawatan di klinik/hospital dan calon dikehendaki hadir semula ke pusat peperiksaan sebelum 30 minit peperiksaan bermula
- Calon yang disahkan mempunyai gejala Covid-19 hendaklah menyerahkan surat/dokumen pengesahan tahap kesihatan diri/arahan kuarantin kepada pihak sekolah bagi proses permohonan menduduki kerja peperiksaan yang dijadualkan semula
CALON YANG DIARAH KUARANTIN
Calon Sekolah:
- Calon/Ibubapa hendaklah menghubungi pihak sekolah. Calon juga dikehendaki kekal berada di rumah/asrama/pusat kuarantin
Calon Persendirian
- Calon/ ibu bapa hendaklah menghubungi pihak SPP, JPM tempat calon berdaftar. Calon dikehendaki kekal berada di rumah/pusat kuarantin.
Calon yang positif Covid-19 serta diarahkan kuarantin boleh menduduki peperiksaan bagi baki kertas peperiksaan yang masih berlangsung selepas tempoh rawatan/kuarantin dan disahkan sihat. Calon dibenarkan menduduki kertas yang dijadualkan semula bagi subjek yang ketinggalan.