Macam Mana Nak Tahu Samada Pembuangan Kerja Kita Ikut Undang-Undang Atau Tidak. Ini Perkongsian Peguam
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini sudah masuk minggu kedua untuk fasa ketiga dan dijadualkan bakal berakhir pada 28 April ini. Hanya berbaki 5 hari sahaja lagi kalau diikutkan. Namun sama-sama kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri sama ada PKP ini akan dilanjutkan lagi atau tidak.
Sepanjang PKP ini banyak isu mengenai pekerjaan kita dapat lihat. Banyak industri terjejas akibat daripada PKP ini dan menyebabkan mereka mengalami kerugian yang banyak. Oleh sebab itu, banyak majikan yang ambil keputusan untuk memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja dan ada juga yang terpaksa memberhentikan pekerja.
Jika anda salah seorang daripada pekerja yang terpaksa menanggung derita diberhentikan kerja, macam mana nak tahu samada pemberhentian kerja anda ikut undang-undang atau tidak?
Jom baca perkongsian oleh peguam yang dikenali sebagai Mohamad Nasruddin berumur 26 tahun dari syarikat Baharuddin Ali & Co. Beliau berkongsi ilmu mengenai hak pekerja yang perlu anda tahu kalau nama disenaraikan untuk diberhentikan pada musim PKP ini.
Isi Kandungan
MACAM MANA NAK TAHU PEMBUANGAN KERJA MENGIKUT UNDANG-UNDANG ATAU TIDAK
Memang tidak dapat dinafikan majikan memang ada hak untuk buang pekerja. Tetapi adakah pembuangan kerja itu didasarkan dengan alasan yang adil dan munasabah?
Sepanjang tempoh PKP yang telah dilanjutkan sehingga 28 April ini, sudah ramai di kalangan kita kehilangan pekerjaan mereka.
Namun rata-rata alasan pembuangan kerja yang diberikan kepada pekerja adalah :
- syarikat sedang mengalami kerugian dan
- jawatan jadi “redundant”
Jika dilihat, alasan-alasan itu memang logik, tetapi sejauh mana kebenarannya dan bagaimana untuk kita tahu alasan yang diberikan betul atau tidak?
PEMBUANGAN KERJA ATAS ALASAN SYARIKAT MENGALAMI KERUGIAN
Sekiranya anda dibuang kerja dan alasan yang diberikan kepada anda oleh majikan adalah disebabkan syarikat menanggung kerugian, sila tanya soalan-soalan ini dalam diri anda:
- Betul ke syarikat tengah kerugian?
- Jika betul, ada ke bukti seperti penyata syarikat yang menunjukkan kerugian?
- Pernah ke dimaklumkan sebelum ini bahawa syarikat sedang mengalami kerugian?
- Pernah ke ada apa-apa kaedah penjimatan yang dilakukan oleh syarikat?
- Adakah syarikat ada membuat pembayaran lain yang tidak penting?
- Adakah elaun pengarah pada ketika ini dinaikkan?
- Adakah syarikat akan mengambil pekerja baru dalam masa terdekat ini?
Jika banyak soalan-soalan di atas berakhir dengan jawapan yang negatif, mungkin anda perlu membuat laporan ke JPP untuk pembuangan kerja secara tidak adil.
PEMBUANGAN KERJA ATAS ALASAN “REDUNDANT”
Jika majikan memberhentikan anda atas alasan “redundant”, sila tanya soalan-soalan ini dalam diri anda:
- Apakah bukti syarikat ada melaksanakan ‘restructuring’?
- Selepas pembuangan kerja, adakah fungsi, tanggungjawab dan tugas anda masih lagi wujud?
- Selepas pembuangan kerja, adakah fungsi, tanggungjawab dan tugas anda diambil alih oleh orang lain?
- Adakah pihak syarikat pernah berbincang dan berunding dengan anda sebelum ditamatkan perkhidmatan?
- Adakah syarikat mengamalkan polisi FWFO dalam menamatkan perkhidmatan anda?
- Adakah terdapat apa-apa VSS ditawarkan kepada anda sebelum ditamatkan perkhidmatan?
Satu perkara penting yang anda perlu tahu tentang ‘redundancy’ adalah sekiranya masih ada orang yang melakukan tugas dan fungsi anda selepas anda dibuang kerja, maka ‘redundancy’ tidak berlaku.
‘Redundancy’ yang sebenar adalah tugas, tanggungjawab dan fungsi anda itu memang tidak wujud langsung dan bukannya sekadar jawatan ataupun pangkat. Jika anda merasakan banyak soalan-soalan di atas perlukan penjelasan daripada majikan anda, maka sebaiknya laporkan ke JPP untuk pembuangan kerja secara tidak adil dibuat.
Semoga bermanfaat!