Senarai Manfaat Buat Golongan Belia Dalam Bajet 2023

Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan menyedia bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.

Golongan belia mewakili lebih seperempat populasi negara. Sememangnya, pada tangan-tangan merekalah yang menentukan lakaran wajah masa depan negara. Elok acuan kita, moleklah peribadi mereka.

Sungguhpun negara berjaya mencapai tahap guna tenaga penuh, tetapi kadar pengangguran bagi mereka di bawah 25 tahun, termasuk lepasan sekolah dan institut pengajian tinggi masih berada pada tahap 11 peratus setakat suku kedua 2022. Hal ini akan terus diberi perhatian.

SENARAI MANFAAT BUAT GOLONGAN BELIA TAHUN 2023

Insentif Penggajian PERKESO

Bagi memastikan anak muda diberi akses pekerjaan sewajarnya, Kerajaan akan menyediakan:

  • insentif penggajian di bawah PERKESO kepada majikan yang menggaji belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan.
  • Selain itu, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang mengambil graduan TVET.

Pembiayaan Perniagaan

Malaysia sememangnya telah melahirkan ramai anak muda yang berjaya dalam perniagaan. Bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga:

  • sejumlah 305 juta ringgit tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, TEKUN, MARA, BSN dan Agrobank.
  • Antaranya, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana 50 juta ringgit akan menawarkan pinjaman sehingga 50 ribu ringgit untuk 10 ribu anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan food truck.

Lesen Pemanduan

Bagi membantu kumpulan B40 khususnya belia menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, Kerajaan bersetuju untuk:

  • menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV.
  • Selain itu, Kerajaan turut bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2.

Skim TEKUN Belia Mobilepreneur

Tidak cukup dengan itu, bagi menggalakkan lagi belia bekerja:

  • Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan 10 juta ringgit bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Pakej Remaja Keluarga Malaysia

Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah membantu belia untuk mendapatkan:

  • pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya 30 ringgit untuk tempoh tiga bulan.
  • Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia di samping melancarkan sesi pembelajaran pelajar, inisiatif ini dilanjutkan sehingga April 2023.

e-Dompet

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Inisiatif e-Pemula tahun ini telah menawarkan kredit e-dompet berjumlah 150 ringgit kepada belia. Atas komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menambah baik program ini,:

  • e-Pemula akan diteruskan dengan menaikkan jumlah kredit kepada 200 ringgit untuk manfaat 2 juta belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa 21 tahun ke atas dengan peruntukan 400 juta ringgit.

Semoga bermanfaat!

Pilihan Editor

Join Channel Telegram Portal Pendidikan Terbesar Di Malaysia Percuma