Proses Dan Tips Untuk Mendapat Lantikan Guru Cemerlang
Ramai yang tak tahu macam mana cara memohon Guru Cemerlang dan tips untuk memohon. Seorang Guru Cemerlang bernama Cikgu Sharifah Noraziah melalui laman facebooknya berkongsikan panduan dan tip untuk guru-guru yang ingin memohon Guru Cemerlang.
Untuk memegang nama Guru Cemerlang (GC) ini, guru mestilah memohon terlebih dahulu untuk melalui peringkat-peringkat tapisan sebelum dilantik. Ada yang 3 – 4 tahun memohon sehingga ke peringkat pemantauan di sekolah, tetapi tiada rezeki.
Namun jangan pernah luntur semangat dan jangan berhenti berusaha untuk memohon setiap tahun.
Isi Kandungan
PERINGKAT MEMOHON GURU CEMERLANG
Berikut adalah peringkat yang perlu dilalui untuk bergelar Guru Cemerlang:
- Permohonan
- Saringan & Tapisan (Putrajaya)
- Pemantauan di sekolah untuk verifikasi (jika melepasi tapisan-tapisan kelayakan)
- Keputusan & pelantikan
SYARAT KELAYAKAN
Guru yang ingin memohon Guru Cemerlang mestilah menepati syarat kelayakan berikut:
- Sah jawatan
- Telah dinaikkan pangkat ke gred semasa, tidak layak memohon jika sedang memangku
- Bebas tindakan tata tertib
- Lulus tapisan keutuhan SPRM
- Telah isytihar harta
- Markah prestasi sekurang-kurangnya 80% untuk 3 tahun kebelakangan
- Mendapat sokongan Ketua Jabatan
Aspek Yang Diambil Kira
- Mempunyai sumbangan di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan, antarabangsa.
* Jangan lupa simpan semua sijil-sijil sumbangan, penyertaan di pelbagai peringkat untuk dokumentasi. Sebagai bukti sumbangan cikgu. - Kemenjadian murid-murid cikgu sendiri dari aspek peningkatan dalam peperiksaan, pencapaian murid dalam pertandingan dan sebagainya.
- Sumbangan sebagai Ketua Panitia, JU Daerah, JU Kebangsaan, panel-panel KPM, semua itu ada kreditnya.
- Anugerah / Pencapaian dalam Profession Perguruan
*Sekiranya cikgu-cikgu pernah mendapat apa-apa anugerah, contohnya Guru Inovatif, Ikon, dan sebagainya, anda digalakkan mohon Guru Cemerlang.
*Ini antara kredit terbesar untuk berjaya
Hasil Keluaran
Guru yang mempunyai hasil keluaran berikut adalah layak untuk memohon:
- Hasil Penulisan
*Sekiranya cikgu-cikgu ada menghasilkan apa-apa bahan penulisan ilmiah, simpan cikgu, sebagai evidens.
*Modul, buku kerja, laman blog, youtube channel, bahan-bahan ceramah yang cikgu hasilkan sendiri. - Inovasi dalam Pdpc & Kajian Tindakan
*Sebagai guru, kita memahami murid-murid kita sendiri. Kenalpasti kelemahan murid dan buatlah inovasi untuk membantu murid.
*Bahan inovasi boleh dijadikan Kajian Tindakan. - Dokumentasi
*Ini evidens paling penting untuk verifikasi semasa pemantauan. Saya pasti ramai antara kita yang kerjanya sangat cemerlang, tapi lemah dalam bahagian dokumentasi.
DOKUMEN YANG PERLU ADA UNTUK PEMANTAUAN
Semasa sesi pemantauan, sediakan fail-fail berikut:
- Sumbangan peringkat sekolah (kurikulum, HEM & kokurikulum)
- Sumbangan peringkat negeri
- Sumbangan peringkat kebangsaan / antarabangsa
- Sumbangan luar yang melibatkan komuniti
- Sijil kursus-kursus peningkatan profesion yang pernah dihadiri
- Hasil-hasil penulisan
- Inovasi dan Kajian Tindakan
- Rekod pencapaian murid (semua kelas yang cikgu ajar, terutamanya kelas peperiksaan)
- Slide powerpoint (berdasarkan kehendak / syarat yang dikemukakan dalam surat makluman pemantauan)
- PdPc – Pemantauan PdPc cikgu pun antara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan. Pastikan rph dan bbm cikgu lengkap. PAK21 dan teknologi dalam Pdpc sangat digalakkan.
Pemantau akan turut bertemu dengan rakan-rakan sejawat kita untuk temuduga. Hubungan yang positif, ikhlas, inshaAllah akan membantu kita nanti. Guru Cemerlang akan disandang oleh guru yang betul-betul layak sahaja bukan sahaja dari segi pencapaian malah sikap dan perwatakan yang baik.
Semoga bermanfaat